SBS menghormati kedaulatan warga Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres di seluruh Australia sebagai Pemilik Asal Negara ini, serta memaklumkan hubungan berterusan mereka dengan bumi, perairan dan komuniti.
Lirik asal Advance Australia Fair telah dikarang pada tahun 1878 oleh seorang guru yang juga pencipta lagu berbangsa Australia, Peter Dodds McCormick. Lagu ini diisytihar sebagai lagu kebangsaan rasmi Australia pada 19 April 1984.
Pada tahun 2021, istilah barisan kedua lirik lagu kebangsaan ini telah dikemaskini dari 'negara muda dan bebas' menjadi 'bersatu dan bebas' bagi mencerminkan keterangkuman masyarakat.
Lagu kebangsaan dimainkan pada setiap upacara rasmi, acara sukan dan pelbagai majlis serta keramaian komuniti.
Lirik Lagu Kebangsaan Australia Rakyat Australia ayuh kita riang gembira
Masyarakat majmuk, bersatu dan bebas
Tanah subur keemasan, membanting tulang meraih kekayaan
Benua indah dikelilingi lautan
Bumi dianugerahi pemberian semulajadi
Yang indah, mewah serba sukar ditemui
Dalam halaman sejarah, kita mengorak langkah
Majulah Australia yang indah permai
Dengan suara lantang ayuh kita berdendang
Majulah Australia yang indah permai.
Di bawah bintang gemerlapan Salib Selatan
Bertungkus lumus jiwa dan raga
Bagi memastikan Komanwel kita
Harum namanya di seluruh dunia
Bagi yang merentasi lautan ke sini
Dataran meluas bersama dinikmati
Gagah berani, sehati sejiwa ayuh bersama
Demi memajukan Australia yang indah permai
Dengan suara lantang, ayuh kita berdendang
Majulah Australia yang indah permai
Warga Australia menyambut Hari Australia walaupun kesesuaian tarikh sambutan hangat diperdebatkan. Credit: Don Arnold/Getty Images
Ikrar Kewarganegaraan Australia
Sejak penganugerahan kewarganegaraan Australia bermula pada tahun 1949, lebih enam juta pendatang telah menjadi rakyat negara ini melalui penganugerahan secara rasmi.
Lazimnya, majlis ikrar kewarganegaraan dianjurkan oleh majlis tempatan, termasuk pada Hari Kewarganegaraan Australia setiap 17 September.
Sebahagian dari aturcara majlis termasuk nyanyian lagu kebangsaan dan mereka yang bakal menjadi warga negara melafazkan ikrar menerima tanggungjawab sebagai seorang rakyat Australia.
Kini wujud dua versi ikrar, satu daripadanya menyebut istilah Tuhan.
Ikrar versi 1
Mulai sa'at ini, demi Tuhan,
Saya berikrar kesetiaan kepada Australia dan rakyatnya,
berkongsi kepercayaan demokratik mereka,
menghormati hak dan kebebasan mereka, juga
menegak serta mematuhi undang-undang sedia ada.
Ikrar versi 2
Mulai sa'at ini,
Saya berikrar kesetiaan kepada Australia dan rakyatnya,
berkongsi kepercayaan demokratik mereka,
menghormati hak dan kebebasan mereka, juga
menegak serta mematuhi undang-undang sedia ada.
Sila baca dan dengari lagu kebangsaan Australia dan ikrar kewarganegaraan dalam Bahasa Melayu.