Banci 2026: Apa Yang Perlu Diketahui Bagi Memastikan Anda Terbilang

Census other dwelling visits_credit ABS.jpg
Borang banci wajib dijawab dan dilengkapi oleh semua orang yang tinggal di Australia. Credit: ABS

Setiap lima tahun, Australia menjalankan banci kebangsaan bertujuan mengemaskini data dan maklumat mengenai bilangan serta komposisi warganya. Tahun ini, banci 2026 akan berlansung pada Selasa, 11 Ogos. Setiap individu yang berada di Australia pada malam terbabit wajib menjawab dan mengisi borang banci yang bakal dihantar kepada semua. Data banci digunakan untuk memahami lokasi tempat tinggal penduduk, bahasa pertuturan di rumah, bentuk sokongan yang diperlukan oleh komuniti, serta bagaimana Australia berubah sebagai sebuah negara. Mengambil bahagian dalam banci ini akan memastikan komuniti dan budaya anda diwakili.


Published

By Melissa Compagnoni

Presented by Zaini Ahmad

Source: SBS



Share this with family and friends


Setiap lima tahun, Australia menjalankan banci kebangsaan bertujuan mengemaskini data dan maklumat mengenai bilangan serta komposisi warganya. Tahun ini, banci 2026 akan berlansung pada Selasa, 11 Ogos. Setiap individu yang berada di Australia pada malam terbabit wajib menjawab dan mengisi borang banci yang bakal dihantar kepada semua. Data banci digunakan untuk memahami lokasi tempat tinggal penduduk, bahasa pertuturan di rumah, bentuk sokongan yang diperlukan oleh komuniti, serta bagaimana Australia berubah sebagai sebuah negara. Mengambil bahagian dalam banci ini akan memastikan komuniti dan budaya anda diwakili.


Key Points

  • Banci adalah wajib bagi semua yang tinggal di Australia pada malam banci, 11 Ogos, 2026.
  • Jawapan anda membantu pihak berkuasa serta pembekal perkhidmatan memahami kehendak terkini komuniti anda serta apa yang diperlukan untuk masa yang akan datang.
  • Segala maklumat yang diberi adalah rahsia dan sulit bagi memastikan identiti anda tidak terdedah.
  • Data banci membantu perangkaan perkhidmatan serta bantuan yang diperlukan oleh komuniti anda.

Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.

Apakah banci semata-mata mengira bilangan penduduk?

Setiap lima tahun, Biro Statistik Australia atau ABS akan mengira setiap individu dan anggota seisi rumah di Australia.

Inilah yang dikenali sebagai Banci Penduduk dan Perumahan, atau ringkasannya, Banci.

Banci bukan sekadar mengira bilangan penduduk yang tinggal atau melawat Australia.

Jurucakap Kebangsaan Banci ABS, Emily Walter, berkata maklumat yang dikumpulkan membantu memahami keperluan penduduk pada masa kini serta bagaimana keperluan tersebut mungkin berubah pada masa hadapan.

Banci memberikan gambaran tentang siapa kita dan bagaimana kita berubah dari masa ke semasa. Ia mengemukakan soalan berkaitan kesihatan, pendidikan, latar belakang budaya, pekerjaan dan pelbagai aspek lain yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai struktur ekonomi, sosial dan budaya Australia.
Emily Walter / Biro Statistik Australia

Data banci membantu memastikan perkhidmatan dan infrastruktur yang diperlukan tersedia kepada individu, keluarga dan komuniti di tempat dan pada masa yang sesuai.

Ini termasuk perkhidmatan bahasa, sekolah, penjagaan kesihatan, program komuniti, pengangkutan awam serta sokongan penempatan.

Pegawai banci menghantar borang banci_credit ABS.jpg
Pegawai banci akan mengunjung setiap rumah untuk mengingatkan penghuni supaya mengisi borang banci. Credit: ABS

Siapa yang perlu mengisi borang banci?

Setiap individu yang berada di Australia pada malam banci, 11 Ogos, 2026, perlu dikira.

Anda tidak perlu menjadi warganegara Australia atau pemegang hak bermastautin tetap untuk mengambil bahagian dalam banci.

Apabila melengkapkan banci bagi seisi rumah, anda perlu memasukkan semua individu yang berada di rumah anda, termasuk bayi, pada malam banci.

Bagaimana sekiranya saya tiada di rumah pada malam banci?

Sekiranya anda berada di luar negara pada 11 Ogos, anda tidak perlu melengkapkan borang banci.

Namun, jika anda sedang melancong dalam Australia, umpamanya berkhemah atau menginap di rumah rakan, anda perlu mengisi borang banci tak kira di mana jua anda berada.

Banci juga mengemukakan soalan mengenai tempat tinggal tetap anda.

Anda tidak semestinya perlu melengkapkan borang banci tepat pada malam terbabit, tetapi jawapan anda mestilah berdasarkan lokasi anda pada malam 11 Ogos.

Anda juga boleh melengkapkannya sebaik sahaja menerima arahan, sekiranya anda sudah mengetahui di mana anda akan berada pada malam banci.

Apakah soalan yang akan ditanya?

Beberapa hari sebelum malam banci, sebilangan besar penghuni rumah akan menerima surat yang menerangkan cara melengkapkan borang banci secara online.

Manakala, sebilangan penduduk akan menerima borang bercetak.

Mengisi borang banci_credit ABS.jpg
Anda boleh menjawab soalan banci secara online, melalui borang banci atau dengan bantuan kakitangan banci. Credit: ABS
Banci mengemukakan soalan mengenai kesihatan, pendidikan, pekerjaan serta pelbagai lagi perkara yang secara keseluruhannya memberi gambaran menyeluruh tentang latar belakang seseorang. Ini termasuk sama ada seseorang itu berketurunan Orang Asli dan Orang Kepulauan Selat Torres, bahasa selain bahasa Inggeris yang digunakan di rumah, negara kelahiran, negara kelahiran ibu bapa, keturunan, agama serta tahun ketibaan di Australia.
Emily Walter / ABS

Apakah butiran peribadi saya terjamin selamat?

Jika anda bimbang tentang keselamatan serta penggunaan maklumat peribadi anda, terdapat beberapa langkah perlindungan bagi memastikan privasi dan keselamatan data anda terjamin.

Banci bukanlah mengenai individu, sebaliknya mengenai gabungan maklumat seluruh penduduk.

Soalan banci termasuk nama dan alamat anda bagi membantu mengemaskini kualiti serta ketepatan data yang dikutip.

Kami mengumpul nama dan alamat bagi memastikan setiap individu terbilang. Nama dan alamat dipadamkan pada peringkat awal pemprosesan data. Dari segi undang-undang, kami tidak dibenarkan berkongsi data banci dengan mana-mana pihak, termasuk agensi kerajaan, dalam apa-apa cara yang boleh mengenal pasti seseorang individu.
Emily Walter /ABS

Data Banci tanpa maklumat peribadi individu digunakan oleh kumpulan komuniti, pertubuhan NGO, perniagaan dan kerajaan.

Salah satu organisasi tersebut ialah Welcoming Australia yang bekerjasama dengan kerajaan tempatan, kelab sukan, universiti dan tempat kerja di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Welcoming Australia, Aleem Ali, menggesa semua warga Australia supaya menjawab setiap soalan dengan jujur.

Kebimbangan mengenai privasi sememangnya wajar dan berpatutan. Namun, jika anda tidak merekodkan bahasa, agama atau budaya anda, secara tidak langsung komuniti anda kerugian apabila keputusan mengenai pembiayaan dana dan peruntukan perkhidmatan diagihkan kepada semua komuniti berbilang kaum.
Aleem Ali / CEO Welcoming Australia
Pegawai banci membuat lawatan susulan_credit ABS.jpg
Pegawai banci membuat lawatan susulan sekiranya penghuni rumah gagal melengkapi borang banci mereka. Credit: ABS

Kenapa ianya penting untuk memberi jawapan setepat dan sejujur mungkin?

Banci tidak memantau individu. Ia mengenal pasti kumpulan dan komuniti. Jika anda gagal melengkap atau menjawab secara jujur soalan yang terkandung dalam borang banci, anda dan komuniti anda mungkin tidak terkira dan terbilang dengan tepat.

Ianya seolah-olah komuniti anda tidak kelihatan atau diambilkira berbanding komuniti lain.

Menyertai banci dan menjawab soalan sejujur mungkin mampu memastikan peruntukan dan perkhidmatan yang setimpal dengan keperluan komuniti anda.
Aleem Ali / Welcoming Australia

Peter Doukas, Pengerusi Persekutuan Majlis Komuniti Etnik Australia, atau FECCA, berkata maklumat yang anda berikan membantu kumpulan komuniti, perniagaan dan kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat mengenai jenis perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti anda.

Anggota seisi rumah menjawab soalan banci_RGB.jpg
Anggota seisi rumah menjawab soalan banci. Credit: ABS/CHRIS BUDGEON PHOTO

Bagaimana data banci membantu komuniti kepelbagaian budaya?

Data banci boleh diibaratkan sebagai peta yang menunjukkan siapa diri kita sebagai sebuah negara.

Sebagai contoh, apabila data menunjukkan terdapat ramai penduduk di sesuatu kawasan yang mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang rendah, bukti itu boleh digunakan untuk menyokong penyediaan perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan dalam bahasa ibunda dan perkhidmatan penterjemahan di hospital tempatan. Ia juga membantu mengenal pasti komuniti yang sering terlepas pandang dalam proses rundingan dan pembiayaan.
Aleem Ali / Welcoming Australia

Menurut Peter Doukas, gambaran keseluruhan serta kepelbagaian komuniti berbilang budaya Australia amat penting untuk direkodkan.

Jelas beliau, "Di Australia, wujud pendatang yang baru tiba dan ada juga yang telah lama menetap dan gelombang penghijrahan yang berbeza ini mewujudkan keperluan yang berbeza."

"Melalui banci, kerajaan dapat mengumpulkan data demografik yang tepat dan mengagihkan sumber mengikut kawasan tempat tinggal penduduk serta keperluan mereka" tambah Doukas.

Sebagai contoh, komuniti yang telah lama menetap mungkin memerlukan lebih banyak sokongan untuk warga emas, manakala pendatang baru mungkin memerlukan sokongan bahasa, bantuan penempatan dan kemudahan persekolahan

Kakitangan banci 2_credit ABS (1).jpg
Anda boleh mendapatkan bantuan mengisi borang banci di pop-up hub yang kini wujud di sekitar Australia.

Apakah bantuan dan sokongan akan disediakan?

Menjelang tarikh banci pada 11 Ogos, ABS akan menyediakan risalah, panduan audio, bahan video dan pelbagai sumber dalam pelbagai bahasa.

Anda juga boleh mengunjungi pop-up hub banci rasmi untuk mendapatkan bantuan secara bersemuka.

Selain itu, sokongan turut disediakan melalui Pusat Hubungan Banci.

Jika anda memerlukan jurubahasa, anda boleh menggunakan perkhidmatan TIS National.

Justeru, jangan lupa malam Banci pada 11 Ogos.

Jika anda berada di Australia pada malam ini, pastikan anda dikira.

Borang banci hanya mengambil sedikit masa sahaja untuk dilengkapi, namun maklumat yang anda berikan mampu membantu membentuk perkhidmatan dan sokongan kepada komuniti anda.

Untuk maklumat lanjut mengenai banci, termasuk maklumat dan bantuan dalam pelbagai bahasa, layari census.abs.gov.au/language

Maklumat ini diterbitkan dengan kerjasama ABS, Biro Statistik Australia.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Latest podcast episodes

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Stream now