SKIP TO MAIN CONTENT

Golongan Migran Hadapi Risiko Kelemasan Lebih Tinggi Berbanding Warga Tempatan

SYDNEY WOMEN DROWNING
Papan tanda tepi pantai di Jalan Yena, Kurnell, Sydney, di mana dua wanita maut setelah terjatuh dan hanyut akibat tempias ombak besar. Credit: AAP Image/Bianca De Marchi Source: AAP / BIANCA DE MARCHI/AAPIMAGE

Royal Life Saving Australia dan Surf Life Saving Australia mengeluarkan laporan kebangsaan mengenai kematian akibat lemas yang menunjuk 313 nyawa terkorban di kawasan perairan Australia dalam tempoh 12 bulan lalu. Apa yang membimbangkan, kadar kematian akibat lemas jauh lebih tinggi di kawasan luar bandar dan menimpa lebih ramai mangsa yang berasal dari luar negara.


Published

Updated

By Zaini Ahmad, Essam Al-Ghalibfor

Presented by Zaini Ahmad

Source: SBS


Skip to podcast episode content

Royal Life Saving Australia dan Surf Life Saving Australia mengeluarkan laporan kebangsaan mengenai kematian akibat lemas yang menunjuk 313 nyawa terkorban di kawasan perairan Australia dalam tempoh 12 bulan lalu. Apa yang membimbangkan, kadar kematian akibat lemas jauh lebih tinggi di kawasan luar bandar dan menimpa lebih ramai mangsa yang berasal dari luar negara.


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.

Laporan Kebangsaan Kematian Akibat Lemas 2026 yang baru saja dikeluarkan merekodkan 313 kematian sepanjang tahun lalu.

Jumlah ini menurun daripada 357 kematian pada tahun sebelumnya, namun masih 10 peratus lebih tinggi berbanding purata sedekad.

Justin Scarr ialah ketua pegawai eksekutif Royal Life Saving Australia.

Menurut beliau, ini bukan sekadar angka kerana ianya membabitkan kehilangan nyawa seseorang individu.

Ini adalah keluarga. Ini adalah individu yang kehilangan orang tersayang dalam tempoh 12 bulan lalu. Ada juga penyelamat yang terlibat, yang cuba menyelamatkan individu dalam keadaan cemas. Selalunya, mereka ialah anggota masyarakat setempat, rakyat Australia biasa yang sedang menjalani kehidupan seharian tetapi dipanggil untuk membantu dalam usaha menyelamat.
Justin Scarr / Royal Life Saving Australia

Salah satu jurang paling ketara yang dikenal pasti dalam laporan baru ini berkaitan dengan lokasi tempat tinggal.

Kadar kematian akibat lemas di kawasan luar bandar hampir tiga kali ganda berbanding di bandar utama, manakala di komuniti terpencil, kadarnya hampir empat kali ganda.

Laporan ini juga mendapati bahawa bagi kes yang maklumat negara kelahiran mangsa diketahui, 39 peratus daripada mereka yang lemas dilahirkan di luar negara.

Satu dalam tiga kes lemas yang kami laporkan membabitkan individu yang dilahirkan di luar negara. Mereka dalam komuniti pelarian dan pendatang yang baru tiba, termasuk pelajar antarabangsa, kesemuanya menghadapi pendedahan yang jauh lebih tinggi dengan risiko lemas. Kami sedang melaksanakan Program We Swim Multicultural yang menawarkan geran kepada kumpulan masyarakat pelbagai budaya di seluruh Australia untuk meningkatkan kemahiran berenang mereka serta menggalakkan rasa kebersamaan di kolam renang tempatan dan juga kelab penyelamat nyawa.
Justin Scarr / Royal Life Saving Australia

Advokat masyarakat, Suresh Rajan, berkata budaya berenang yang begitu kukuh di Australia tidak semestinya dikongsi oleh mereka yang membesar di negara lain.

Katanya, bagi sesetengah pendatang dari negara yang tidak mempunyai kawasan laut, setibanya mereka di Australia mungkin bermakna mereka buat kali pertamanya berdepan dengan lautan dan bahayanya

Mereka mungkin tidak pernah melihat air laut sehinggalah mereka datang ke sini. Jadi, ini merupakan pengalaman pertama mereka, dan mereka tidak memahami bahaya arus deras atau arus mengheret ke laut. Papan tanda pula semuanya dalam Bahasa Inggeris dan mereka tidak pernah mempelajari cara menghadapi arus tersebut, cara berhadapan dengan keadaan air, mahu pun ombak.
Suresh Rajan / Advokat Masyarakat

Bahaya bukan hanya tertumpu di kawasan pantai dengan 90 kematian direkodkan di kawasan perairan pedalaman, termasuk 68 kematian di sungai dan anak sungai.

Faktor usia juga membimbangkan.

Walaupun kadar kematian akibat lemas di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun adalah 39 peratus lebih rendah daripada purata sedekad, seramai 95 individu berusia 65 tahun ke atas lemas, hampir satu pertiga daripada keseluruhan kematian.

Dan dengan kadar kematian akibat lemas melebihi purata sedekad bagi setiap kumpulan umur 45 tahun ke atas, laporan ini memberi amaran bahawa Australia belum lagi menuju ke hala yang betul untuk mengurangkan sehingga separuh jumlah kematian akibat kelemasan menjelang tahun 2030.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Latest podcast episodes

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Stream now