SKIP TO MAIN CONTENT

Apakah Rahsia Kejayaan Dua Warga Malaysia Buka Restoran Ke-3 Di Melbourne?

Chef Ray Ulaganathan dan Ju Lin Tan meraikan pembukaan restoran Malaysia ketiga mereka di High Street, Prahran, Victoria. Credit: SBS Bahasa Melayu
Chef Ray Ulaganathan dan Ju Lin Tan pada malam pembukaan restoran Malaysia ketiga mereka di High Street, Prahran, Victoria. Credit: SBS Bahasa Melayu

Apakah inspirasi yang mendorong dua warga Malaysia kecapi kejayaan membuka restoran ketiga mereka di bandar Melbourne? SBS Bahasa Melayu berpeluang menemubual pemilik bersama, Ju Lin Tan, dan Chef Ray Ulaganathan, serta menikmati sajian yang menggabungkan citarasa terbaik dari Timur dan Barat.


Published

By Zaini Ahmad

Presented by Zaini Ahmad

Source: SBS


Skip to podcast episode content

Apakah inspirasi yang mendorong dua warga Malaysia kecapi kejayaan membuka restoran ketiga mereka di bandar Melbourne? SBS Bahasa Melayu berpeluang menemubual pemilik bersama, Ju Lin Tan, dan Chef Ray Ulaganathan, serta menikmati sajian yang menggabungkan citarasa terbaik dari Timur dan Barat.


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.

Restoran baru ketiga dijayakan oleh Ju Lin Tan dan Chef Ray Ulaganathan terletak di High Street, Prahran, yang dianggap oleh Ju Lin seakan kawasan hiburan dan makanan Jalan Telawi di Bangsar, Kuala Lumpur.

Restoran ketiga ini melanjutkan idea dan inspirasi kedua-dua warga Malaysia ini untuk memperkembangkan lagi kekayaan dan keunikan makanan Malaysia di persada antarabangsa.

Restoran pertama mereka memaparkan segala yang terbaik berkonsepkan restoran mamak di tanahair, manakala yang kedua pula lebih berunsur makanan dari India.

Restoran terbaru ini sekali lagi kembali ke Malaysia memaparkan sajian popular dari tanahair, termasuk nasi lemak, laksa, nasi ayam, mee kari dan roti canai, sajian kegemaran semua yang diguna sebagai nama restoran terbaru ini.

Apabila ditanya apakah rahsia kejayaan beliau, Ju Lin enggan menganggap pencapaian ini sebagai suatu kejayaan, sebaliknya menyifatkan restoran ketiga ini sebagai satu lagi mercu tanda dalam perjalanan kerjaya beliau.

Perjalanan saya masih panjang lagi. Tetapi, motivasi saya untuk menawarkan makanan Malaysia ialah demi memartabatkan lagi nama Malaysia itu sendiri. Saya ingin memaparkan bagaimana indahnya negara kita, bagaimana indahnya orang kita. Saya mahu restoran ini dan komuniti Malaysia kecil kita di sini untuk menyuluh cahaya terhadap negara Malaysia di mana saja kita berada. Itulah motivasi saya.
Ju Lin Tan / Pemilik & Pengurus Restoran Canai

Bagi rakan pemilik, Chef Ray pula, tiada rahsia kejayaan yang dimiliki, sebaliknya menganggap sikap ingin tahu dan ingin belajar mendorong beliau untuk sentiasa mencuba resepi yang menggabungkan sajian Timur dan Barat.

Saya tiada rahsia. Saya ingin belajar sesuatu, sentiasa ingin tahu. Saya selalu cuba menggabung sesuatu, mencampurkan masakan Asia dan Barat. Saya benar-benar ingin memberi inspirasi kepada orang Malaysia.
Chef Ray Ulaganathan / Pemilik Restoran Canai

Ju Lin akui cabaran membuka tiga restoran di negara asing bukannya mudah, terdapat pelbagai cabaran dan halangan.

Di Australia, tak senang nak membuka restoran. Dari permohonan permit dari majlis perbandaran dan lesen menjual minuman, macam-macam cabaran. Tak seperti di Malaysia. Di sini (Australia), kita tak ada contact, orang yang dapat membantu. Kita semua baru di sini, banyak cabaran. Tetapi, jika kita kuat dan tahu apa yang kita mahu, kita akan memperolehinya.
Ju Lin Tan / Pemilik Canai

Justeru, apakah saranan Ju Lin kepada warga Malaysia lain yang menganggap beliau dan Chef Ray sebagai inspirasi untuk menjayakan restoran mereka tersendiri?

Mereka mesti ada perancangan, terutamanya, di kalangan golongan muda. Golongan ini mempunyai pelbagai kemudahan terbaik yang ditawarkan di negara ini. Mereka mempunyai pelbagai sumber bantuan. Namun, mereka harus mempunyai visi dan tekun bekerja untuk mencapainya. Mereka kena turun padang dan buat kerja. Itulah yang akan menentukan kejayaan.
Ju Lin Tan / Canai

Pada malam pembukaan, Chef Ray menyajikan sajian fusion cuisine termasuk Kampung Arancini, iaitu bebola nasi berinti keju yang digoreng garing kekuningan emas, daging itik dan gnocchi dalam sos rendang serta nasi goreng ditaburi truffle dan ayam panggang.

Manisan pula dihidangkan di atas talam kayu yang indah memaparkan kek lapis, kek keju Basque berperisa teh tarik dan Rose Lychee Bloom.

Menurut Ju Lin, sebahagian besar menu restoran baru ini menawarkan sajian popular dari tanahair, manakala 30% terdiri daripada sajian fusion cuisine.

Harapan beliau ialah untuk menarik pelanggan asing yang datang untuk mencuba menu fusion cuisine ini, namun akan tertarik juga untuk menikmati sajian asli dari Malaysia.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Latest podcast episodes

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Stream now