Sejak zaman pertengahan hinggalah ke kurun tujuh-belas, rempah-ratus dianggap lebih bernilai daripada emas, menjadikannya bahan rebutan di antara kuasa besar ketika itu yang sanggup berperang untuk menguasai laluan rempah dikenali sebagai the Spice Route. Harganya kini mungkin tidak setinggi, namun nilai rempah-ratus sebagai penyatupadu komuniti sememangnya masih tidak terkira. SBS Bahasa Melayu berpeluang menikmati kembara kulinari yang memaparkan citarasa dari kepulauan Caribbean ke Australia, melalui India dan Malaysia.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Tidak semua orang mempunyai citarasa yang gemar makanan berempah.
Bagi warga Kota Kinabalu, Evangeline Tee, membesar dalam keluarga Sino-Kadazan bermakna sajian harian lebih diperisakan kicap manis daripada rempah-ratus.
Jadi, apakah yang mengubah citarasa beliau untuk menceburi dunia rempah-ratus.
Suami saya. Dia orang Punjabi. Jadi, ketika kami memulakan perjalanan ini, apabila kami pergi mencari rempah-ratus, banyak rempah yang dijual dicampur dengan pelbagai bahan lain, seperti bahan pengawet, bahan kimia dan pelbagai jenis perisa. Lama-kelamaan, suami saya mahu menghasilkan kari Punjabi yang benar-benar asli. Jadi, kami mencari rempah-ratus organik. Kemudian, kami menggunakan lesung batu untuk mengisar rempah-ratus itu sendiri.Evangeline Tee / Aunty Jenny Spices
Bagi Chef Keyma Vasquez Montero dari Venezuela pula, rempah ratus memberi peluang kepada beliau untuk menghasilkan sajian popular dari kepulauan Caribbean dengan sentuhan kulinari dari India dan Asia Tenggara.
Menurut Chef Keyma, "Kebelakangan ini berlaku penghijrahan besar-besaran dari India ke Caribbean."
"Jadi, kami mahu mengetengahkan perkara itu, bagaimana kedua-dua budaya ini bergabung dan saling melengkapi", tambah beliau.
Kita mengembara merentasi Caribbean, sedikit dari Jamaica, sedikit dari Trinidad dan sedikit juga dari Venezuela. Jadi, kami menggabungkan pelbagai citarasa, termasuk sedikit pengaruh India. (Malam ini) ada ayam jerk, beberapa jenis jeruk yang istimewa, kari kambing yang lazat dan kami juga menyediakan sajian vegetarian dengan labu dan kacang kuda.Chef Keyma Vasquez Montero / Venezuela
Chef Keyma bergabung dengan Chef Manpreet dari India yang membawa kehandalan dapur tandoor beliau menyediakan sajian sempena sambutan Caribbean Night ini.
Saya memang mengenali rempah-ratus saya tetapi hari ini, memasak dengan rempah-ratus Caribbean merupakan sesuatu yang sangat menarik bagi saya. Dan ini membuktikan bahawa kita bukan sekadar memasak kari atau menyediakan masakan India sahaja. Kita juga boleh memasak pelbagai jenis hidangan lain.Chef Manpreet
Kembara kulinari rempah-ratus bermula dengan sajian popular dari India melalui kepulauan Caribbean berbentuk poori yang kembung dan garing di luar, namun lembut di dalam, se-akan cucur kembung, diiringi mentega yang diperkayakan dengan rempah Caribbean.
Poori yang sekian lama menjadi kegemaran saya diikuti dengan Cordero al Mojo, sajian Chef Keyma memaparkan kutlet kambing yang diperap dengan jus sitrus dan bawang putih, dikenali sebagai mojo criollo, kemudian dipanggang di atas arang.
Hidangan ini diiringi acar Escovitch, iaitu jeruk Caribbean.
Hati-hati, tidak seperti di Malaysia di mana acar lazimnya masam dan manis, acar Escovitch mampu menyengat dengan kepedasannya.
Akhir sekali, hidangan utama, set kari ala Jamaica dengan kari kambing pekat yang dimasak secara perlahan.
Kari pekat se-akan rendang dinikmati dengan nasi kukus beras basmati, platanos Maduros atau pisang tanduk goreng yang menjadi kegemaran di rantau Amerika Latin.
Bagi tetamu yang inginkan sajian tanpa daging, hidangan Coconut Calabaza tidak mengecewakan.
Sajian kari labu dan kacang kuda kekuningan emas yang lemak manis ini sememangnya begitu enak sekali.
Rata-rata, Coconut Calabaza muncul kegemaran saya malam itu.
Dari kepulauan Caribbean, merentasi India dan Malaysia dibawa khas ke Brunswick, Victoria, Australia, rempah-ratus sememangnya suatu bahan makanan tidak ternilai yang mampu menggabung citarasa merentasi benua, sekaligus mampu menyatupadukan komuniti sejagat.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






