Di Australia, pegawai polis mempunyai pelbagai kuasa di bawah undang-undang untuk menjaga ketenteraman awam, menyiasat jenayah dan menguatkuasakan undang-undang lalu lintas. Kuasa ini termasuk meminta maklumat, mengarah seseorang meninggalkan sesuatu tempat atau kawasan, yang dikenali sebagai arahan ‘move on’, serta menjalankan pemeriksaan atau penggeledahan. Ketahui apakah hak anda sekiranya anda dihenti atau ditahan oleh pegawai polis di negara ini.
Key Points
- Kuasa polis berbeza bagi setiap negeri dan wilayah Australia.
- Keengganan mematuhi arahan ujian penafasan adalah salah dari segi undang-undang.
- Mengikut perundangan, anda perlu menunjuk bukti identiti sekira disoal, namun anda tidak perlu menjawab soalan selebih itu.
- Pohon nasihat guaman professional jika anda sangsi akan interaksi anda dengan pihak polis.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Tahukah anda hak di bawah undang-undang jika anda dihenti atau ditahan oleh pihak polis?
Menurut Samantha Lee, peguam di pusat perundangan Redfern di New South Wales, ramai anggota masyarakat, sama ada mereka dilahirkan di Australia atau baru datang ke negara ini tidak memahami batasan kuasa polis, termasuk keadaan yang membolehkan pegawai terbabit menggunakan kekerasan.
Bila Pihak Polis Boleh Menggunakan Kekerasan Terhadap Seseorang?
Jelas Samantha Lee, semata-mata mereka pegawai polis tidak memberi pegawai terbabit kuasa untuk memnggunakan kekerasan.
Adalah sangat penting untuk orang ramai mengetahui pegawai polis tidak mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan. Mereka hanya boleh menggunakan kekerasan dalam keadaan tertentu, jika ia benar-benar diperlukan secara munasabah berdasarkan keadaan.Samantha Lee / Pusat Perundangan Redfern
Apa yang harus diingati ialah undang-undang berbeza antara satu bidang kuasa negeri atau wilayah dengan bidang kuasa negeri atau wilayah yang lain.
“Pastikan anda rujuk bidang kuasa ini di negeri atau wilayah anda."

Apakah Hak Asasi Dan Obligasi Sekiranya Anda Didekati oleh Pegawai Polis?
Walaupun terdapat perbezaan mengikut negeri dan wilayah, wujud juga beberapa prinsip undang-undang umum yang terpakai ketika berurusan dengan polis di seluruh Australia.
Sebagai contoh, sebenarnya tiada kewajipan di sisi undang-undang untuk membawa dokumen pengenalan diri di Australia, tak kira di negeri atau wilayah anda berada.
Namun, wujud situasi di mana polis boleh meminta dokumen pengenalan diri.
Pihak polis dikehendaki memberitahu anda kenapa anda dihentikan dan kenapa mereka meminta dokumen identiti anda.
Satu-satunya nasihat yang saya boleh berikan kepada orang ramai dalam semua situasi yang melibatkan polis ialah minta mereka mengaktifkan rakaman video kamera badan sebelum anda bercakap dengan mereka. Apabila rakaman itu telah diaktifkan, tanya mereka mengapa anda dihentikan.Samantha Lee / Pusat Perundangan Redfern
Dalam beberapa keadaan ketika berurusan dengan polis, anda tidak diwajibkan di bawah undang-undang untuk menjawab soalan lanjut selain memberikan dokumen pengenalan diri.
Menurut Klaire Coles, pengarah amalan undang-undang di Caxton Legal Centre di Brisbane, anda masih boleh bersikap sopan dan memberikan kerjasama tanpa memberikan terlalu banyak maklumat daripada yang diwajibkan oleh undang-undang.

Apakah Arahan "Move-On"?
Satu lagi kuasa polis yang mungkin anda hadapi ialah arahan ‘move on’.
Polis boleh mengeluarkan arahan undang-undang ini dengan serta-merta di tempat awam, meminta anda meninggalkan kawasan tertentu dan tidak kembali untuk tempoh yang terhad, lazimnya sehingga 24 jam.
Undang-undang di setiap negeri dan wilayah menyenaraikan sebab-sebab yang membolehkan polis menggunakan kuasa arahan move-on ini.
Ini termasuk keadaan apabila pegawai polis secara munasabah percaya anda menghalang lalu-lintas, mengganggu ketenteraman orang lain atau menimbulkan risiko terhadap keselamatan.

Polis mempunyai kuasa meluas membolehkan mereka menahan kenderaan dan meminta seseorang menjalani ujian nafas.
Dalam keadaan ini, undang-undangnya sememangnya jelas.
Anda perlu mematuhi arahan untuk menjalani ujian nafas.
Jika anda enggan berbuat demikian, anda boleh didakwa atas suatu kesalahan. Dan hukumannya agak berat.Marlene Dixon / Pusat Perundangan Komuniti Inner Melbourne
Apakah Saya Boleh Merakam Interaksi Dengan Polis?
Jika urusan anda dengan pegawai polis berlaku di tempat awam, anda juga boleh merakam apa yang berlaku.
Anda boleh meminta orang lain merakam perbualan anda dengan pegawai polis.

Apakah Yang Boleh Dilakukan Sekiranya Anda Tidak Puas Hati Ekoran Interaksi Bersama Pihak Polis?
Pihak polis di seluruh Australia mesti bertindak mengikut undang-undang dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Saranan Samantha Lee, Jika anda percaya polis telah bertindak melampaui kuasa yang diberikan kepada mereka di bawah undang-undang, adalah penting untuk anda mencatat apa yang berlaku dan mendapatkan nasihat undang-undang secepat mungkin selepas kejadian itu.
Anda juga boleh mengambil tindakan seterusnya:
- Simpan segala rakaman yang telah dibuat berkaitan interaksi anda dengan polis
- Dapatkan laporan doktor serta bukti gambar jika anda menjadi mangsa kekerasan polis
- Pohon nasihat guaman profesional.
* Cadangan ini tidak menyeluruh serta bidang kuasa polis berbeza mengikut undang-undang negeri dan wilayah di Australia. Untuk maklumat khusus dengan situasi anda, sila pohon nasihat guaman profesional.
Langgani atau ikuti podcast Australia Explained untuk mendapatkan maklumat serta petua membantu anda memulakan hidup baru di Australia.
Apakah anda mempunyai pertanyaan atau ingin mengutarakan topik menarik? Email australiaexplained@sbs.com.au
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






