Sejak 15 tahun lalu, Juanda Ismail berhasrat menunaikan ibadah Haji. Tahun ini, impian beliau tercapai setelah berjaya mendapat salah satu daripada seribu visa Haji yang diperuntukan untuk umat Islam di Australia oleh kerajaan Arab Saudi. Juanda memberitahu Zaini Ahmad bagaimana beliau berjaya mendapatkan visa yang kini akan memenuhi hajat beliau untuk menunaikan ibadah Haji setelah sekian lama menunggu.
Musim Haji telah tiba dan kini, lebih setengah juta jemaah Haji telah pun tiba di tanah suci Mekah.
Antaranya, jemaah dari Australia.
Tahun ini, kerajaan Arab Saudi memperuntukan seribu visa kepada Australia untuk diagihkan di kalangan umat Islam negara ini yang ingin menunaikan ibadah Haji.
Menurut banci 2021, seramai 813,392 umat Islam menetap di Australia.
Bilangan ini dijangka meningkat lebih sejuta pada tahun 2025.
Bayangkan kesukaran mendapatkan visa Haji yang tahun ini dihadkan kepada seribu sahaja.
Lebih-lebih lagi tempoh menempah tempat ke tanah suci Mekah hanya dibuka selama tiga jam setiap pusingan untuk ratusan ribu umat Islam dari Australia, Rantau Pasifik, Amerika Syarikat dan Eropah melayari laman web khusus untuk mendapatkan visa Haji.
Bagi Juanda ismail, impian menunaikan ibadah Haji telah lama tersirat di hati.
Tahun ini, beliau berjaya mendapat visa untuk menyertai umat Islam lain menunaikan ibadah Haji mereka.
Zaini Ahmad menemubual Juanda Ismail untuk mengetahui bagaimana beliau berjaya memperolehi visa Haji tahun ini walaupun menghadapi saingan hebat.






