Lebih lima tahun dahulu, Nur Sajat terpaksa melarikan diri dari tanahair setelah dikecam dan diancam oleh pihak berkuasa dan segolongan warga Malaysia kerana ingin hidup secara terbuka sebagai seorang ahli komuniti LGBTQI+. Apakah perkembangan terkini beliau? Zaini Ahmad sempat berbual dengan Nur Sajat ketika menghadiri sambutan Eidul Adha di Melbourne baru baru ini.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Walaupun sering mendengar nama beliau disebut dikalangan warga Melayu di Melbourne, ini adalah kali pertama saya bertemu dan berkenalan dengan Nur Sajat.
Kisah beliau di Malaysia sudah memang terkenal dan perjalanan beliau ke Australia berbeza dengan warga Malaysia lain yang datang ke negara ini memohon perlindungan.
Sebilangan besar kemasukan lebih kurang 40,000 warga Malaysia ke Australia adalah melalui visa pelawat, kemudian memohon perlindungan setelah berada di negara ini.
Namun perjalanan Nur Sajat ke Australia agak berbeza kerana setelah dikecam dan diancam di Malaysia, beliau dibantu oleh Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNHCR, untuk ditempatkan di negara ini dari negara ketiga.
Setibanya di Australia, Sajat menetap di Sydney selama 5 tahun namun berpindah ke Melbourne lebih kurang sebulan lalu.
Kalau di Sydney, saya teramat homesick. Di Melbourne, saya mempunyai lebih ramai kenalan dan kawan serta saudara. Saya lebih tenang, lebih bahagia bersama-sama kawan-kawan dan komuniti Melayu sejak berpindah ke Melbourne.Nur Sajat, pelarian dan kini usahawan
Ketika di Malaysia, Sajat berjaya sebagai seorang usahawan.
Kini di Australia, beliau berkecimpung dalam bidang kecantikan, bekerja dengan sebuah syarikat fesyen dan kosmetik Perancis.
Keluhan Sajat, sikap dan pandangan warga Malaysia terhadap golongan LGBTQI+ di tanahair tidak berubah sejak pemergian beliau.
jadi, apakah maklum balas yang Sajat terima dari pengikut beliau di Malaysia?
Kita sebagai seorang public figure, ada juga yang memberi pendapat baik. Namun ada yang tak bagus. Tapi kita kena terima (hakikat) ada orang sokong dan ada yang tak sokong kita. Tapi sejak berada di sini, saya tetapkan kerja saya. Kehidupan saya lebih tenang, lebih damai, lebih berkualiti.Nur Sajat, pelarian LGBTQI+
Tambah Sajat, walaupun kehidupan beliau di Australia kini tidak sebegitu mewah berbanding di Malaysia, apa yang paling penting ialah kebebasan yang boleh dikecapi sekarang ini.
Katanya, ketenangan itu lebih penting dari kemewahan.
Kehidupan saya tak sehebat, tak sekaya di Malaysia tapi di sini lebih 'freedom'. Kecam tu memang pasti ada yang kecam, kita hanya mampu melakukan apa yang terdaya. Ketenangan itu kunci untuk seseorang, tak kisahlah sama ada dia golongan LGBT, golongan cisgender, bagi saya kalau kita ada 'freedom', di mana saja pun kita boleh hidup.Nur Sajat, pelarian LGBTQI+
Nur Sajat memuji Australia sebagai sebuah negara yang memberi perlindungan kepada mereka yang terancam di tanahair.
Beliau juga menyaran warga Malaysia yang ingin datang ke Australia, namun menghadapi kesukaran untuk mendapat visa pelawat supaya mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap.
Katanya, "Kita kena menghormati peraturan untuk masuk ke negara ini."
Nur Sajat menyatakan apa yang penting dalam menentukan hala-tuju kehidupan beliau ialah kebebasan dan matlamat.
Kalau kita tak happy di sana, mungkin kita happy di tempat lain. Kat sini tak pernah sepi, kita masih boleh merasai mood komuniti Malaysia. Malaysia tu tak akan hilang.Nur Sajat, pelarian LGBTQI+
Bagi Nur Sajat, walaupun beliau terpaksa meninggalkan tanahair akibat kecaman dan ancaman yang dihadapi, Malaysia masih tetap dihati.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






