Berdepan dengan dakwaan pendatang ke Australia, termasuk pemohon perlindungan, membebankan peruntukan perkhidmatan kebajikan di negara ini, apa kata warga Melayu kita? SBS Bahasa Melayu tinjau pandangan beberapa warga Melayu yang hadiri sebuah majlis sambutan Eidul Adha baru-baru ini.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Bagi Mohd Shukri, yang berasal dari Jengka, Pahang, dakwaan ketua Parti Liberal sememangnya tidak berpatutan.
Katanya, warga Melayu bersusah payah datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan dan menghadapi pelbagai dugaan.
Tak boleh lah cakap macam itu. Kita sebagai pekerja menyumbang terhadap ekonomi negara ini membantu membangunkan Australia.Mohd Shukri, Jengka Pahang / 6 tahun merantau
Din dari Lahad Datu, Sabah, juga kesal akan kenyataan ketua pembangkang itu.
Katanya, warga Malaysia di negara ini bekerja dalam pelbagai bidang, membayar cukai, justeru menyumbang terhadap ekonomi Australia.
Malahan, isu membayar cukai ditimbulkan oleh kesemua warga Melayu yang ditemui oleh SBS Bahasa Melayu.
Suziana Abdul Patah dari Terengganu datang ke negara ini hampir enam tahun lalu untuk mengubah nasib.
Ketika di tanahair, beliau mengendali bisness bersama suami sebagai juru mekap dan stylist, khususnya untuk pengantin.
Kini di Australia, beliau meneruskan kerjaya itu di kalangan masyarakat Melayu.
Menurut Suziana, warga Malaysia bekerja keras di negara ini untuk mencari rezeki, maka kenyataan ketua pembangkang itu sememangnya tidak patut.
Angus Taylor, selaku ketua pembangkang, turut berjanji pemohon perlindungan hanya akan diberi visa perlindungan sementara sahaja jika parti gabungan Coalition menang pilihanraya akan datang.
Ada rezeki kita nak duduk di sinilah, Insya'Aallah, tapi kalau ditakdirkan Tuhan kena pulang, kita nak buat macam mana. Itu pilihan masing-masing. Kita serah pada yang Maha Esa.Suziana Abdul Patah, Terengganu / 10 tahun merantau
Pada persoalan warga Malaysia yang memohon perlindungan di Australia kini menyukarkan warga di tanahair untuk mendapat visa pelawat ke negara ini, kesemua yang ditemui mempunyai jawapan yang hampir sama.
Kelulusan permohonan visa pelawat bergantung kepada status kerjaya dan kewangan pemohon serta keadaan ekonomi dan politik sejagat.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App






