Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Sejak datang ke Australia 15 tahun lalu, Nasharudin Abdullah, melihat kewujudan pelbagai masjid di negara ini, termasuk di negeri Victoria.
Namun katanya, kesemua masjid ini ditubuhkan oleh komuniti Islam dari negara selain Malaysia dan Singapura.
Kini selaku Presiden Persatuan Melayu Islam Australia di Victoria, Nasharudin bersama ahli persatuan berhasrat mengubah situasi ini.
Jelas beliau, hasrat membina sebuah masjid khusus untuk komuniti Melayu di sekitar tenggara Melbourne amat penting demi mengekalkan budaya dan identiti kaum Melayu di negara ini.
Terutama sekali untuk generasi akan datang. Jika kita tiada masjid sendiri, komuniti kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan Islam. Masyarakat Melayu juga yang akan rugi.Nasharudin Abdullah / Presiden Australian Malay Muslim Community Victoria
Bagi Ustaz Md Helmi Md Som, ahli jawatan kuasa bahagian agama dan dakwah AMMC, masjid Melayu amat penting untuk menerapkan elemen budaya Melayu supaya ianya tidak luput di kalangan generasi akan datang.
Menurut beliau, kesemua masjid di sekitar Melbourne ditubuhkan mengikuti komuniti etnik islam yang telah sekian lama menapak di negara ini.
Jelas Ustaz Helmi, "Umpamanya, di subbandar Noble Park, ramai warga Melayu menyertai solat Juma'at di masjid Bosnia, di mana khutbahnya disampaikan dalam Bahasa Bosnia yang tidak boleh difahami, mahupun dihayati, oleh jemaah Melayu."
Tambah beliau, ada juga jemaah yang kurang memahami khutbah dalam Bahasa Inggeris.
Katanya, masjid Melayu mampu mengukuhkan agama dan budaya masyarakat Melayu yang membolehkan komuniti ini menyumbang kepada masyarakat umum.
Masjid Melayu bukan sekadar mengukuhkan agama Islam. Ia juga mengukuhkan budaya Melayu. Kekuatan ini mampu memupuk pemahaman tamadun Melayu Islam sebagai suatu tamadun sejagat yang menyumbang kepada masyarakat umum di Australia.Ustaz Md Helmi Md Som, AJK Bhg. Agama dan Dakwah AMMC / Singapura
Namun, hasrat membina sebuah tempat beribadah khusus untuk warga Melayu ini tidak seharusnya berbentuk bangunan yang lengkap dengan kubah yang indah.
Bagi Siti Syakirah Ismail, seorang lagi ahli AMMC, sudah mencukupi sekadar sebuah pusat komuniti yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk masyarakat Melayu di sekitar Melbourne.
Apa yang diingini ialah sebuah pusat sehenti untuk meraikan, meimarahkan dan meramaikan jemaah Melayu. Biasalah, di luar negara cabarannya lain. Kita ingin mengerjakan ibadah bersama-sama dengan penuh keukhuwahan, bersatu hati selaras dengan ajaran Islam.Siti Syakirah Ismail, ahli AMMC / Shah Alam
Menurut Ustaz Helmi, komuniti Melayu di Melbourne kini mengorak selangkah ke hadapan kerana di kawasan beliau, khutbah pertama solat Juma'at disampaikan dalam Bahasa Melayu diikuti dengan khutbah kedua dalam Bahasa Inggeris.
Tambah beliau, dengan cara ini, jemaah Melayu mampu menghayati sepenuhnya mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan.
Namun, sasaran tarikh pembinaan masjid Melayu dua tahun dari penubuhan AMMC kini terpaksa ditangguhkan.
Jelas Nasharudin, penangguhan ini akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu ekoran sengketa di Timur Tengah.
Katanya, ahli jawatan kuasa AMMC bersetuju untuk menangguhkan kutipan derma kos pembinaan masjid yang dianggar mencecah AUD$4 juta akibat krisis peperangan yang memberi kesan terhadap ekonomi sejagat.
Sambutan Eidul Fitri AMMC 2026 begitu meriah sekali, berjaya menarik kehadiran tetamu bukan setakat dari persekitaran Melbourne sahaja.
Pasangan Nora dari Sabah dan Roslan dari Melaka bersama rakan mereka, pasangan Yani, juga dari Sabah dan Abe dari Kelantan, sanggup memandu hampir empat setengah jam dari Swan Hill semata-mata ingin merasai suasana berhari raya bersama warga Melayu lain.
Itulah yang dimaksudkan sebagai semangat keukhuwahan di kalangan warga Melayu yang berada di negara ini jauh dari kaum keluarga dan sanak saudara di tanahair.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.





