Pastinya anda sering melihat bendera merah hitam dan kuning terkibar di perkarangan bangunan sekolah, pejabat dan majlis sukan. Inilah bendera Aboriginal yang melambangkan kekuatan, kelangsungan hidup dan identiti kaum orang asli Australia.
Tajuk Utama
- Bendera masyarakat Aboriginal adalah antara tiga bendera rasmi Australia.
- Bendera ini direka bentuk pada 1971 sebagai lambang bantahan, menjadi bendera rasmi Australia pada 1995.
- Gabungan warna hitam, merah dan kuning melambangkan kaum Aboriginal, bumi dan matahari.
- Bendera ini berubah dari lambang protes menjadi tanda kebanggaan, kesaksamaan dan ketuanan, kini boleh digunakan secara bebas ekoran kempen “Free the Flag”.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Australia mempunyai tiga bendera rasmi:
- Bendera Australia
- Bendera Aboriginal
- Bendera Orang Kepulauan Selat Torres
Di kalangan masyarakat orang asli, bendera Aboriginal bukan setakat lambang sahaja, setiap hari ianya mengingatkan mereka akan kegagahan, pengorbanan dan identiti kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres di negara ini.

Asal-usul bendera Aboriginal
Bendera ini hanya wujud pada tahun 1971, hasil rekaan artis dan aktivis suku kaum asli Luritja dan Wombai, Uncle Harold Thomas.
Uncle harold adalah graduan Orang Asli pertama dari institusi seni, the South Australian School of Art.
Ia pertama kalinya dikibarkan pada 12 Julai 1971 ketika berlansung tunjuk perasaan oleh kaum orang asli yang menuntut hak tanah mereka di Adelaide.
Hari itu dikenali sebagai National Aborigines Day — istilah yang kini dianggap lapuk.
Setahun kemudian, ia menjadi lambang penting, berkibar di tapak perkhemahan yang digelar the Aboriginal Tent Embassy di Canberra, melambangkan tuntutan hak tanah dan penentuan nasib mereka sendiri oleh kaum orang asli.
Pada tahun 1995, kerajaan Australia mengiktirafkan bendera ini sebagai salah satu bendera rasmi Australia.
Apakah makna warna bendera Aboriginal?
Bendera Aboriginal terbahagi pada dua bahagian, warna hitam di bahagian atas, merah di bahagian bawah dan bulatan kuning di tengah.
- Hitam melambangkan warga Aboriginal
- Kuning melambangkan matahari
- Merah melambangkan bumi yang didiami
Artis muda, Jade Brennan, dari suku kaum Gomeroi and Fijian melihat bendera ini sebagai lambang identiti orang asli negara ini.
Bila saya renung bendera ini, saya bayangkan bumi kepunyaan masyarakat saya, ianya juga memaparkan ahli komuniti saya, manakala matahari adalah punca kehidupan.Jade Brennan, artis muda
"ianya sesuatu yang tersirat dalam sanubari. Bumi ini penting bagi masyarakat kami dan bendera ini mewakili kami."

Warga emas dari suku kaum Wonnarua, Aunty Susan Kendall, dibesarkan di bandar Condobolin di New South Wales dalam era 1960an dan 70an.
Aunty Susan mengingati suatu masa sebelum bendera ini terkibar di seluruh Australia.
Kenangan pertamanya bukan di sekolah atau di bangunan pejabat kerajaan sebaliknya, kali pertama beliau melihat bendera orang asli ialah di televisyen.
Sebenarnya, saya melihat bendera itu di televisyen semasa satu protes. Semua liputan televisyen dan media pada masa itu bersifat negatif. Ia mengenai orang yang membantah. Dan di situ ada bendera ini yang pada pandangan saya kelihatan seperti bendera Jerman tetapi bukan sepenuhnya bendera Jerman. Itulah pengalaman pertama saya melihat bendera Aboriginal Australia.Aunty Susan Kendall, wanita suku kaum Wonnarua
Kemudian, apabila Aunty Susan menjadi seorang guru, bendera itu masih belum dikibarkan di setiap sekolah di negara ini.
Katanya, “Pada awal pengalaman saya sebagai guru, ia bukan satu subjek pembelajaran. Ia sekadar, ‘Oh ya, ini pensil warna, ini bendera Orang Asli Australia. Siapa kenali warna-warna ini dan apakah maksudnya?’ Setakat itu sahaja pendidikan Orang Asli Australia pada masa awal dahulu.”
Bagi generasi muda kaum orang asli pula, termasuk Jade Brennan, pengalaman sangat berbeza kerana mereka membesar dengan bendera Aboriginal terkibar megah di sekeliling mereka.
Jade menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Matraville, Sydney.
Beliau masih mengingati satu mural dengan begitu jelas.
Saya tak ingat kali pertama saya melihatnya, tapi paling kerap saya melihatnya ialah di kawasan tempat saya membesar di Matraville, Saya pernah pergi ke pusat penjagaan harian di mana saya masih ingat ada mural besar bendera Koori (orang asli Australia). Ia sangat besar sehingga terasa mengagumkan bagi diri kecil saya ketika itu.Jade Brennan, artis muda

Bila bendera Aboriginal mula terbikar di merata tempat?
Bagi Jade Brennan, bendera ini membantunya mengenali komuniti dan ahli suku kaum lain.
Ia mengingati beliau siapakah yang berdiri bersamanya.
Jelas beliau, “Melihat bendera itu pada pakaian atau tatu sementara di sekolah kerana kami bertukar pakaian di tandas sekolah. Ia memberi keselesaan kerana kami saling mengenali sesama sendiri, terutamanya apabila rupa kami semua berbeza."
Manakala bagi Aunty Susan pula, setelah bendera Orang Asli menjadi salah satu Bendera Australia rasmi pada tahun 1995, beliau mula melihat perubahan.
Melihat pelekat kecil bendera Aboriginal pada kereta. Saya sangat suka melihatnya. Semua orang tahu, sama ada mereka menerimanya atau berbangga dengannya. Inilah bendera orang asli Australia. Ia mewakili masyarakat kami.Aunty Susan Kendall, wanita suku kaum Wonnarua
Kini. setiap kali Jade Brennan melihat bendera orang asli di pintu masuk sesebuah bangunan, beliau merasai seolah-olah bendera itu mengubah suasana ruang terbabit.
Apabila saya memasuki sesuatu ruang, saya mahu merasai saya diterima dan apabila melihat bendera ini terkibar di bangunan terbabit, lazimnya di perkarangan hadapan sebagai tanda alu-aluan. Ia sangat penting untuk golongan muda Warga Pertama Australia untuk melihat bendera ini mengalu-alukan kedatangan mereka.Jade Brennan

Siapakah yang memiliki hak cipta bendera kaum orang asli?
Selama bertahun-tahun, wujud perdebatan undang-undang dan budaya mengenai siapa yang boleh menggunakan bendera orang asli.
Sebagai perekanya, Uncle Harold Thomas memiliki hak cipta bendera ini.
Beliau memberikan lesen penggunaannya kepada sebuah syarikat swasta yang mengawal penggunaan bendera ini pada pakaian dan barangan dagangan.
Ini menyebabkan beberapa organisasi dan komuniti orang asli menerima surat tindakan mahkamah melarang mereka dari menggunakan bendera ini pada baju atau produk tanpa kebenaran serta bayaran lesen.
Sebagai tindak balas, jenama fesyen milik orang asli, Clothing The Gaps bersama penyokongnya melancarkan kempen membebaskan penggunaan bendera ini, kempen yang dikenali sebagai “Free the Flag”.
Mereka mendesak kerajaan supaya mengisytiharkan bahawa bendera ini diberi status seperti bendera kebangsaan lain dan bukannya seperti logo hak milik persendirian.
Setelah bertahun-tahun menghadapi tekanan awam serta kempen berleluasa, Kerajaan Persekutuan Australia mengumumkan pada tahun 2022 bahawa ia telah memperolehi hak milik cipta bendera orang asli daripada Uncle Harold Thomas.
Kini, bendera ini bebas digunakan oleh khalayak ramai, seperti bendera Australia.
Ianya boleh digunakan pada pakaian, karya seni dan barangan dagangan tanpa pembayaran lesen atau ancaman tindakan mahkamah.

Mengimbas kembali, Aunty Susan berkata bendera ini telah membantu mengubah persepsi masyarakat umum terhadap kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres.
Namun beliau yakin, masih banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan.
Bendera orang asli membawa makna. Kini semua orang tahu apakah maknanya dan siapa yang diwakilinya. Nikmati dan pelajarilah budaya kaum orang asli kerana bumi inilah tempat tinggal baru anda. Fahamilah budaya kami, anda tidak perlu menghayati sepenuhnya tetapi fahami dan berbanggalah kerana anda berada di negara baru anda.Aunty Susan Kendall
Kini apabila anda melihat bendera orang asli, pastinya anda boleh menghayati makna dan sejarahnya.
Memahami perkara ini ialah satu lagi langkah untuk memahami Australia dengan lebih mendalam.
Langgani atau ikuti podcast Australia Explained untuk mendapatkan maklumat serta petua membantu anda memulakan hidup baru di Australia.
Apakah anda mempunyai pertanyaan atau ingin mengutarakan topik menarik? Email australiaexplained@sbs.com.au
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App






