Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Persatuan Australia Malay Muslim Community atau sengkatannya, AMMC, ditubuhkan pada tahun 2024 dengan matlamat utamanya membina sebuah masjid di negeri Victoria.
Presidennya, Mohd Nasharudin, menganggar kos pembinaan sebuah masjid, termasuk harga tanah, ialah sekitar AUD$4 juta.
Nasharudin, yang merantau ke Australia 15 tahun lalu, benar-benar mengharapkan masjid ini akan dibina kerana kini bilangan warga Melayu di negeri Victoria, khususnya, semakin bertambah.
Matlamat utama AMMC ialah untuk membina sebuah masjid Melayu di bumi kangkaroo. Target kami ialah (dalam lingkungan) dua tahun untuk mencapai hasrat ini.Mohd Nashrudin, Presiden AMMC
READ MORE

Menyambut Seruan Ilahi - Penutup
Nasharudin menyeru warga Melayu, bukan setakat di Melbourne dan Victoria sahaja, malahan di seluruh Australia untuk menyumbang terhadap tabung pembinaan masjid ini.
Selain pembinaan masjid, AMMC juga menganjurkan kelas mengaji dan agama serta memberi sokongan kepada ahlinya menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi warga Melayu beragama Islam yang berhijrah ke negara bukan Islam.
Menurut Nasharudin, setakat ini beliau belum lagi menerima sebarang aduan daripada ahlinya mengenai ancaman yang sering berlaku terhadap umat Islam di egara barat lain akibat Islamophobia.
Sentimen yang disokongi oleh ahli AMMC, Faisul Abu Hassan, yang berasal dari Pulau Pinang dan berhijrah ke Australia pada tahun 2018.
Menurut Faisul, selain cabaran waktu puasa yang panjang di Australia tahun ini kerana bulan Ramadan jatuh pada musim panas, mencari masjid terdekat di negara ini sememangnya agak sukar benrbanding di tanahair.
Di Malaysia, masjid wujud di merata-rata tempat. Di perantauan, lokasi masjid tersebar luas jadi terpaksa melalui perjalanan yang lebih jauh untuk mencari masjid terdekat. Namun, komuniti Melayu di sini ramai dan ianya memupuk suasana kekeluargaan atau 'family vibe'.Faisul Abu Hassan, Kajang / 8 tahun merantau
Bagi seorang lagi ahli AMMC, Munir Ismail, cabaran yang dihadapi beliau pada mulanya ialah di tempat kerja.
Keinginan menunaikan solat ketika waktu kerja menimbulkan tanda tanya di kalangan pihak pengurusan.
Mengikut beliau, "Kadang kala, boss saya tanya kenapa saya menghilangkan diri?"
Namun, isu ini berjaya diselesaikan melalui penjelasan daripada beliau agar pihak majikan memahami keperluan pekerja beragama Islam.
Boss saya yang pada mulanya tidak memahami, setelah diberi penerangan, kini bersetuju menyediakan ruang khas untuk pekerja beragama Islam mengerjakan ibadah solat.Munir Ismail, Kajang / 8 tahun merantau
Tahun ini, AMMC menganjurkan tiga majlis Iftar Perdana setiap Sabtu pada 28 Februari, 7 dan 14 Mac, 2026, bertempat di Noble Park Secondary School.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.





