Watch FIFA World Cup 2026™ LIVE, FREE and EXCLUSIVE

Warga Islam Queensland Raikan Eidul Fitri Dengan Penuh Kesyukuran

Kumpulan acapella, Indonesian Islamic Society of Brisbane Voice, menyertai Pesta Pelbagai Budaya Eidul Fitri Queensland 2026.jpeg Credit: SBS Bahasa Melayu

Kumpulan acapella, Indonesian Islamic Society of Brisbane Voice, menyertai Pesta Pelbagai Budaya Eidul Fitri Queensland 2026.jpeg Credit: SBS Bahasa Melayu

Pesta Queensland Multicultural Eid Festival 2026 sekali lagi berjaya menarik warga Islam berbilang kaum dari sekitar bandar Brisbane meraikan Eidul Fitri tahun ini. SBS Bahasa Melayu berpeluang menyertai sambutan tahunan yang menyatupadukan komuniti migran di negeri yang terkenal sebagai "the Sunshine State".


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu

Ini ialah tahun ketiga sambutan Eidul Fitri pelbagai budaya berjaya dianjurkan, lebih dikenali sebagai the Queensland Multicultural Eid Festival.

Pesta yang berlansung di Woodbridge, lebih kurang 25 kilometer dari pusat bandar Brisbane, menarik pengunjung berbilang kaum menikmati pelbagai persembahan, sajian enak, penjualan pakaian tradisional dan hiburan untuk seisi keluarga.

Antara pengunjung yang hadir, Zubir dari Myanmar yang kini menetap di Australia selama 13 tahun.

Sebelum berhijrah ke negara ini, Zubir menetap di Malaysia selama 12 tahun, di mana beliau menjadi fasih bertutur dalam Bahasa Melayu.

Kefasihan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Burma dan Indonesia serta Bahasa Inggeris membolehkan beliau kini menjadi seorang penterjemah di Brisbane.

Menurut Zubir, perbezaan menyambut Eidul Fitri 13 tahun lalu setibanya beliau di Brisbane ketara berbeza berbanding sekarang.

Katanya, "Ketika saya baru sampai, saya sukar temui rakan se-Islam, namun sekarang lebih bagus kerana bilangan umat Islam di bandar ini lebih ramai."

Jelas pada hari itu, sebilangan besar pengunjung ke pesta ini terdiri dari pendatang dari Afghanistan, Pakistan dan India.

Saya amat merindui sanak saudara di Myanmar. Saya juga rindui Malaysia kerana sambutan Ramadan dan Eidul Fitri di sana lebih meriah. Kita ramai-ramai menunaikan solat tarawih dan Eidul Fitri serta makan minum hampir 99.99% halal.
Zubir dari Myanmar / 13 tahun di Australia

Pasangan adik beradik, Jihad dan Rumaisa, dari Malaysia turut menyertai pesta tahun ini untuk menikmati suasana berhari raya.

Kedua beradik bersama bapa mereka yang berasal dari Johor dan ibu dari Sabah kini berada di Australia selama 12 tahun.

Jihad yang telah tamat pengajian tinggi dan kini sedang mencari pekerjaan menganggap pesta sebegini sebagai peluang bagi umat Islam memperkenalkan agama serta budaya mereka kepada masyarakat umum.

Kita perlu berdakwah sedikit, perlu berusaha, termasuk pergi ke masjid untuk mengekal dan menegakkan identiti kita sebagai umat Islam. Kita perlu berkecimpung dalam aktiviti komuniti.
Jihad dari Malaysia / 12 tahun di Australia

Rumaisa, pelajar menengah tahun 10 mendapati rakan sekolah bukan Islam menghormati beliau sebagai seorang pelajar Muslimah.

Namun, beliau akui ada beberapa aspek yang agak sukar, termasuk menunaikan solat ketika waktu sekolah.

Abang dan adik ini juga merindui Malaysia kerana di Australia, mereka tidak mempunyai baju raya serta tidak berpeluang menerima duit raya kerana tiada rumah terbuka untuk dikunjungi.

Seorang lagi pengunjung pesta, Sulaiman dari Singapura yang telah menetap di Brisbane selama 24 tahun.

Beliau juga bersyukur melihat bilangan umat Islam di Brisbane kian meningkat.

Namun katanya, sambutan Eidul Fitri di Brisbane tidak sama seperti di Malaysia dan Singapura.

Di tanahair ada budaya Melayu, manakala di Queensland, sebilangan besar komuniti Islam terdiri daripada warga pelbagai kaum. Jadi sambutan Raya mereka agak berbeza. Tahun ini, saya tak dapat makan ketupat dan rendang. Kawan Muslim saya tak ramai dan mereka bukan orang Melayu.
Sulaiman dari Singapura / 24 tahun di Brisbane

Antara persembahan pesta tahun ini, kumpulan penyanyi acapella, Indonesian Islamic Society of Brisbane Voice.

Kumpulan ini terdiri daripada lima warga Indonesia, empat pelajar ijazah kedoktoran di Universiti Griffith dan Universiti Queensland, serta seorang pensyarah bidang perubatan dan pergigian di Universiti Griffith.

Kelima rakan ini menubuhkan kumpulan acapella mereka demi menyebarkan budaya serta mesej ajaran Islam yang murni.

Antara persembahan mereka, sebuah nasyid yang dinyanyikan dalam enam bahasa.

Nasyid dalam enam bahasa ini adalah peluang untuk kami memperkenalkan mesej kedamaian positif dengan lebih meluas demi kemanusiaan sejagat.
Febi Dwirahmadi / Pensyarah Kanan, Universiti Griffith

Pesta Queensland Multicultural Eid Festival 2026 berlansung sepanjang hari diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Share

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Watch now