Bazaar Ramadan 2026
- Seperti tahun lalu, Bazaar Ramadan 2026 dianjurkan oleh Komuniti Melayu Victoria
- Bazaar Ramadan kali ini bertempat di Burden Park, Springvale, Victoria
- Bazaar Ramadan bermula 21hb Februari dan berlansung setiap Juma'at, Sabtu dan Ahad sehingga 15 Mac, 2026
- Waktu operasi: 4.00 ptg hingga 9.00 mlm
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Tahun ini, warga dan pelawat ke Melbourne yang teringin mengunjungi bazaar Ramadan mempunyai tiga pilihan.
Dua adalah pasar malam membabitkan peniaga berbilang kaum, satu daripadanya lebih berunsurkan ke-Timur Tengahan.
Namun, jika anda rindukan bazaar Ramadan seperti yang terdapat di Malaysia sepanjang bulan puasa ini, beroperasi di sebelah petang sehingga waktu berbuka, anda tidak akan kecewa dengan Bazaar Ramadan anjuran Komuniti Melayu Victoria di subbandar Springvale.
Tahun lalu, timbul desas-desus di kalangan segelintir masyarakat Melayu di Melbourne yang mendakwa peniaga gagal mempamerkan senarai harga serta juadah yang ditawarkan terlalu mahal.
Jadi apakah dakwaan ini tepat dan berpatutan?
SBS Bahasa Melayu berpeluang mengunjungi hari pertama Bazaar Ramadan Komuniti Melayu Victoria tahun ini untuk meninjau pandangan pengunjung dan peniaga sambil menikmati juadah enak yang disajikan.
Antara gerai yang dikunjungi, gerai murtabak lagenda dari Pulau Pinang dikelolakan oleh warga Malaysia yang menggelar diri beliau, Abg Zack, bersama isteri, Pn Liza, dan anak-anak serta menantu.
Jelas sekali tanda harga dipaparkan di bahagian depan gerai dengan tawaran roti canai $7, roti telur $8 dan murtabak $10.
Menurut Abg Zack, yang berasal dari Bukit Mertajam, beliau dan isteri sememangnya menjual murtabak, roti canai dan nasi kandar di tanahair sebelum datang ke Australia untuk mengubah nasib hampir lapan tahun lalu.
Abg Zack menganggap harga jualan beliau sebagai harga marhaen, istilah yang sering digunakan untuk membezakan harga berpatutan dengan harga "cekik darah" yang terlalu mahal.
Harga ini adalah harga marhaen, iaitu harga yang murah, berpatutan dan mampu dibeli oleh rakyat biasa serta golongan marhaen.Abg Zack, Gerai Lagenda Murtabak Pulau Pinang
Para pengunjung yang ditemui oleh SBS Bahasa Melayu rata-rata berpuas hati dengan juadah yang ditawarkan pada harga yang mereka anggap berpatutan.
Antaranya, Danial Jalil, berasal dari Kuala Lumpur yang kini berada di Australia selama sebelas tahun.
Menurut Danial, sebilangan besar peniaga di pasar malam kali ini adalah rakan-rakan beliau.
Katanya, peniga harus membayar duit tapak dan segala barangan bagi menyediakan juadah untuk dijual.
Pastinya mereka nak buat sedikit keuntungan. Juga, kenapa bila kita mencuba makanan Eropah yang mungkin berharga tinggi kita terima tetapi bila datang ke makanan kita sendiri, kita rasa tak berpatutan. Itu terpulanglah (kepada setiap individu).Danial Jalil, pengunjung Bazaar Ramadan 2026 di Springvale, Victoria
Menurut Md Kamal Ismail, salah seorang penganjur Bazaar Ramadan ini, peniaga telah dimaklumkan bahawa harga juadah perlu dijual tidak melebihi $20.
Tambah beliau, peniaga disaran supaya menawarkan juadah yang enak-enak belaka pada harga yang berpatutan supaya pengunjung berpuas hati.
Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai juadah termasuk nasi bryani, nasi kukus Terengganu, satay dan aneka kueh-mueh. Antara manisan menarik dijual oleh warga Sarawak, Rosmiati Kamaruddin, lebih dikenali sebagai Megaa. Beliau menyediakan manisan creme caramel keju bergelar quesillo atau "little cheese" yang diberi gelaran Megquesillo.
Kepada semua para pengunjung, tepuk dada, tanya selera.
Bazaar Ramadan 2026 di Burden Park, Springvale ini beroperasi sepanjang bulan Ramadan tahun ini, bermula Sabtu, 21hb Februari dan berlansung setiap Juma'at, Sabtu dan Ahad seterusnya sehingga 15hb Mac, 2026.
Bazaar Ramadan bermula dari jam 4.00 petang sehingga 9.00 malam.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.







