Watch FIFA World Cup 2026™ LIVE, FREE and EXCLUSIVE

Sengketa Timur Tengah Gagal Hambarkan Sambutan Eidul Fitri Warga Melayu Di Australia

Warga Sarawak, Rosmiati Kamaruddin, mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Eidul Fitri. Credit: SBS Bahasa Melayu

Warga Sarawak, Rosmiati Kamaruddin, mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Eidul Fitri. Credit: SBS Bahasa Melayu

Demi menghormati umat islam di Timur Tengah yang menghadapi sengketa ketika ini, warga Sarawak, Rosmiati Kamaruddin, berhasrat menyambut Eidul Fitri secara sederhana tahun ini. Namun, sengketa yang berlaku gagal menghambarkan keriangan tetamu warga Melayu beliau yang sekian lama menyambut Hari Raya jauh di perantauan.


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu

Rosmiati Kamaruddin, yang lebih dikenali sebagai Megaa, sememangnya berhasrat menyambut Eidul Fitri secara sederhana tahun ini demi menghormati rakan se-Islam di Timur Tengah yang kini menghadapi sengketa.

Menurut Megaa, beliau sendiri dapat merasai kesedihan setelah sekian lama merantau jauh dari sisi keluarga di tanahair.

Katanya, "Sedih tetap sedih kerana jauh dari sanak saudara, tapi saya terpaksa mengharunginya."

Kalau nak ikut sedih tu, memanglah sedih. Tetapi kita jalankan dan (teruskan) saja apa yang ada sebab kita dah ada matlamat tersendiri untuk dicapai.
Rosmiati Kamaruddin, Miri, Sarawak / 8 tahun merantau

Antara tetamu yang mengunjung rumah terbuka Megaa pada Hari Raya pertama ialah Fadly, seorang warga Melayu dari Seremban yang kini berada di Australia selama enam tahun.

Beliau juga berhasrat menyambut Eidul Fitri dalam serba kesederhanaan demi mengingati umat Islam di Iran.

Menurut Fadly, "Ukhuwah kita kuat berlandaskan iman, kasih sayang dan saling menyokong dan membantu sesama sendiri."

Tambah beliau, keluarga dan sanak saudara yang jauh di tanahair tetap dirindui, namun apabila di perantauan, beliau terpaksa pandai bawa diri.

"Kita kena pandai dalam segala segi, dari mengurus masa kita, kerjaya kita, ibadah kita." kata Fadly.

Jelas beliau, di perantauan, orang Melayu menjalin persahabatan dengan warga Melayu lain yang kini dianggap seperti sanak saudara.

Apa yang paling best, amazing, ialah, inilah famili kita. Itulah abang, itulah kakak kita. Mana kita jumpa orang Melayu, itulah keluarga kita.
Fadly, Seremban, Negeri Sembilan / 6 tahun merantau

Walaupun beliau menganggap sambutan Hari Raya kali ini hanya sederhana, namun Megaa menyediakan pelbagai hidangan termasuk burasa, rendang daging, sambal udang, ayam masak merah, kuah lodeh dan nasi impit.

Namun ramai di kalangan tetamu yang mengunjungi rumah beliau di subbandar Springvale, Victoria, pada hari itu benar-benar ingin mencuba kek lapis yang dibuat sendiri oleh Megaa.

Antara yang paling popular, kek lapis lumut pandan yang mengambil masa sepuluh jam untuk dikukus, selapis demi selapis.

Juga, kek lapis hati pari yang memerlukan bahan-bahan yang hanya boleh diperolehi dari Malaysia.

Jelas dilihat, tetamu hari itu berada dalam serba keriangan dan kemesraan.

Rata-rata, sengketa dunia gagal menghambarkan sambutan rumah terbuka 'sederhana' warga Sarawak ini.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Share

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Watch now