Sistem immigresen Australia yang kompleks dan rumit seringkali menimbulkan ketakutan serta salah fahaman di kalangan pendatang ke negara ini yang kurang arif tentang hak mereka sebagai pemegang visa.
Umpamanya Sunil, seorang warga India berusia 25 tahun yang mempunyai visa untuk berada di negara ini.
Tahun lalu, Sunil menghadapi masalah setelah membeli sebuah kereta melalui pasaran online Facebook Marketplace.
Menurut Sunil, setelah memandu kereta yang baru saja dibeli dari rumah penjual, enjin kenderaan terbabit mula meragam dengan kebisingan yang teramat kuat.
Sunil memaklumkan masalah itu kepada penjual yang tetap menggesa Sunil membeli kenderaan terbabit.
Sunil akhirnya setuju untuk membeli kereta itu namun berhasrat memperbaiki enjin yang meragam dan menolak kos membaiki dari harga jualan.
Namun, menurut Sunil, "Penjual mengugut saya, kononnya peguam beliau akan menghubungi saya untuk dihadapkan ke mahkamah."
"Akibat status visa saya yang masih lagi tidak menentu, saya khuatir sekiranya saya berdepan mahkamah, ianya akan memburukkan rekod justeru menjejas visa saya."
Akhirnya, Sunil mengambil keputusan menanggung kos membaiki enjin kereta yang sememangnya rosak sebelum kenderaan itu dijual kepada beliau.
Bukan Sunil sahaja yang mempungai tanggapan sedemikian.
Ramai di kalangan ahli komuniti beliau dan juga warga Melayu di negara ini khuatir visa mereka akan terjejas sekiranya mereka perlu ke mahkamah.
Ramai juga warga asing, termasuk warga Melayu, yang mengalami masalah di tempat kerja atau keganasan domestik turut khuatiri status visa mereka mungkin terjejas sekiranya kes mereka membabitkan pihak polis dan mahkamah.
Ann Emanuel ialah peguam kanan di pusat nasihat guaman, Immigration Advice and Rights Centre.
Menurut Ann, apabila berlakunya keganasan, seringkali mangsa takuti akan pihak lawan, termasuk majikan atau individu berstatus tetap di negara ini yang dianggap mempunyai kuasa menjejaskan status visa mereka.
Tambah beliau, sistem immigresen dan penghijrahan yang kompleks serta kesukaran memperolehi maklumat yang tepat dan sahih adalah antara punca masalah ini.
Jelas Ann, "Malangnya, akibat ketakutan status visa yang mungkin terjejas, ramai mangsa berdiam diri dan terus berada di tempat kerja, situasi atau jalinan perhubungan yang tidak selamat."
Dalam episod SBS Examines kali ini, SBS Bahasa Melayu meninjau apakah jenis kesalahan yang boleh menyebabkan pembatalan visa serta penyebaran maklumat palsu yang menyumbang terhadap penyalahgunaan peruntukan visa.