Di Australia, anda akan melihat tiga bendera dikibarkan bersama: bendera kebangsaan Australia, bendera kaum Orang Asli Australia dan bendera Orang Kepulauan Selat Torres. Kaum Aborigine dan Orang Kepulauan Selat Torres adalah dua kelompok masyarakat warga asal yang berbeza di Australia, masing-masing mempunyai sejarah, budaya, bahasa dan bendera tersendiri. Bagi ramai Orang Kepulauan Selat Torres, bendera ini merupakan lambang identiti dan rasa kekitaan yang amat bermakna, sama ada mereka menetap di pulau-pulau, di tanah besar Australia mahupun di luar negara.
Tajuk Utama
- Bendera Orang Kepulauan Selat Torres melambangkan bumi, laut dan penghuni.
- Bendera ini hasil rekaan Uncle Bernard Namok Snr pada tahun 1992 yang kini menjadi salah satu daripada tiga bendera kebangsaan Australia.
- Warna hijau, biru, hitam dan putih termasuk bentuk dari atau sarong kepala disertai bintang lima bucu melambangkan gugusan lima pulau Selat Torres.
- Bendera ini melambangkan identiti, kebanggaan dan ketahanan yang kini terkibar megah di seluruh dunia.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Asal-usul bendera Orang Kepulauan Selat Torres
Kepulauan Selat Torres ialah gugusan pulau yang terletak di antara hujung Semenanjung Cape York di Queensland dan Papua New Guinea, terdiri daripada pulau-pulau berikut:
- Divisyen Utara (Boigu, Dauan, Saibbai)
- Kepulauan Timur (Erub, Mer, Ugar)
- Divisyen Barat (St Pauls, Kubin, Badu, Mabuiag)
- Divisyen Tengah (Masig, Poruma, Warraber, Iama)
- Divisyen Selatan (Thursday, Horn, Kepulauan Prince of Wales dan Hammond, NPA dan tanah besar Australia.
Pada tahun 1992, Majlis Penyelarasan Kepulauan menganjurkan pertandingan bagi Orang Kepulauan Selat Torres untuk membentuk sebuah bendera komuniti.
Reka bentuk yang dipilih sebagai pemenang dihasilkan oleh Uncle Bernard Namok dari Pulau Thursday.
Uncle Bernard meninggal dunia tidak lama selepas pertandingan itu, sebelum sempat menyaksikan reka bentuknya menjadi lambang yang begitu penting sekali.
Bagi anaknya, Bernard Namok Junior, bendera terbabit terus menghidupkan hubungan beliau dengan bapanya.
Setiap kali melihat bendera itu, beliau teringat zaman kanak-kanaknya dan malam-malam yang dihabiskan menyaksikan bapanya melukis.

Apakah makna warna dan simbol pada bendera Orang Kepulauan Selat Torres?
Setiap warna dan simbol pada bendera mempunyai maknanya yang tersendiri.
Warna hijau melambangkan tanah, biru melambangkan perairan Selat Torres, manakala hitam mewakili orang Kepulauan Selat Torres.
Simbol dari berwarna putih melambangkan identiti budaya Orang Kepulauan Selat Torres, sementara bintang putih berbucu lima mewakili lima kumpulan utama pulau di Selat Torres.
Pelajar jurusan undang-undang kaum Orang Asli dan Orang Kepulauan Selat Torres, Tyrell Viti, dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Thursday, dan kini menetap di Townsville, Queensland.
Beliau berkata, bendera ini melambangkan komuniti, budaya dan orang Kepulauan Selat Torres.
Jelas beliau, "Bagi saya, bendera Orang Kepulauan Selat Torres merupakan sebahagian daripada identiti budaya kami. Ia memainkan peranan besar dalam kisah kami. Sangat penting untuk kami mempunyai lambang yang mewakili kami. Lebih-lebih lagi apabila membesar dalam komuniti kecil, setiap kali melihat bendera ini, ia menceritakan siapa kami, ke mana hala tuju kami dan bagaimana kami terus melangkah ke hadapan walaupun berdepan pelbagai ketidakadilan sejak zaman penjajahan."
Dahulu, masyarakat kami pernah dianggap seperti flora dan fauna, bukannya manusia. Jadi bagi saya, bendera ini sudah cukup untuk berbicara dengan sendirinya. Ia membuatkan saya berasa diiktiraf sebagai seorang insan kerana ia mewakili masyarakat saya.Tyrell Viti / Warga Orang Kepulauan Selat Torres

Membesar setelah kewujudan bendera Orang Kepulauan Selat Torres
Bernard Junior dan Tyrell sama-sama membesar di Pulau Thursday, yang mereka sifatkan sebagai sebuah komuniti kecil tetapi sibuk, kaya dengan nilai kekeluargaan dan budaya.
Bagi Tyrell, bendera itu adalah sebahagian daripada kehidupan seharian
Katanya, "Apabila saya melihat bendera ini dikibarkan di tempat-tempat seperti mahkamah dan lokasi lain di tanah besar Australia, saya benar-benar berasa dihargai, walaupun saya berasal dari sebuah pulau kecil. Apabila saya datang ke tanah besar dan melihat bendera kami di mahkamah, di pejabat pos, malah dipakai pada pakaian orang ramai, saya merasakan masyarakat di tanah besar begitu menghormati dan menyayangi kami di utara sana."
Di manakah bendera Orang Kepulauan Selat Torres dikibarkan?
Kini, bendera Kepulauan Selat Torres dikibarkan di seluruh Australia.
Anda boleh melihatnya di luar sekolah, universiti, parlimen, majlis tempatan dan mahkamah.
Lazimnya, ia dikibarkan bersama Bendera Orang Asli Australia dan Bendera Kebangsaan Australia.
Bagi Tyrell, yang kini mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan dan undang-undang di Cairns, kehadiran bendera itu di tempat-tempat awam memberi makna yang sangat besar.

Bernard Junior juga pernah melihat Bendera Kepulauan Selat Torres dikibarkan jauh dari tanah air.
Beliau mengembara ke beberapa pesta antarabangsa bersama dokumentarinya Carrying the Flag, dan pernah melihat bendera tersebut dikibarkan di Kedutaan Australia di London, Paris dan New York.
Setiap kali melihatnya, beliau berkata kenangan itu membawanya kembali ke zaman kanak-kanak di Pulau Thursday, menyaksikan bapanya menghasilkan lakaran-lakaran awal bendera tersebut.
Apakah ertinya dan makna bendera ini kepada generasi seterusnya?
Bernard Junior berharap kanak-kanak membesar dengan mengetahui kisah di sebalik Bendera Kepulauan Selat Torres.
Beliau turut menulis bersama buku kanak-kanak Our Flag, Our Story bersama Thomas Mayo, dengan ilustrasi oleh Tori-Jay Mordey.
Menurut beliau, "Saya sering mengadakan sesi bacaan di sekolah-sekolah, khususnya semasa Minggu Rekonsiliasi dan NAIDOC. Ramai guru serta kakitangan sokongan sekolah memberitahu saya bahawa murid-murid benar-benar menikmati buku tersebut."
Apabila anda melihat bendera Orang Kepulauan Selat Torres, anda melihat satu lambang hidup yang mencerminkan tanah, laut dan penghuninya.
Ia menggambarkan budaya Orang Kepulauan Selat Torres yang terus berkembang dan subur di Selat Torres, di seluruh Australia dan juga di luar negara.
Bendera itu bukan sekadar menceritakan kisah masa lalu dan masa kini, malahan ianya menjadi sumber inspirasi kepada kisah-kisah masa hadapan.
Langgani atau ikuti podcast Australia Explained untuk mendapatkan maklumat serta petua membantu anda memulakan hidup baru di Australia.
Apakah anda mempunyai pertanyaan atau ingin mengutarakan topik menarik? Email australiaexplained@sbs.com.au
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






