Kembara Kulinari Sempena Lawat Malaysia 2026
- Warung Mummy di Carlton menyajikan menu sarapan popular di Malaysia, termasuk nasi lemak.
- Budaya sarapan pagi Malaysia kini telah didaftar sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.
- Raja segala buah-buahan, durian, kini dicalonkan sebagai buah kebangsaan Malaysia.
- Pesta Colours of Malaysia bakal berlansung 29 & 30 November, 2025, di Queen Victoria Market, Melbourne.
Warung Mummy sememangnya sudah lama popular di kalangan penduduk tempatan di subbandar Springvale, Victoria.
Tuan punya restoran yang menyajikan makanan Melayu ini, Ariff Shakur, sering digesa oleh pelanggan supaya membuka cawangan Warung Mummy di pusat bandar Melbourne.
Permintaan peminat restoran akhirnya ternyata dengan pembukaan cawangan kedua Warung Mummy di Lygon Street, Carlton.
Menurut Ariff, keputusan membuka cawangan kedua di tengah bandar Melbourne ini hasil tinjauan beliau yang mendapati kekurangan restoran Melayu halal di pusat bandar Melbourne.
Antara tarikan Warung Mummy ialah sajian sarapan popular dari tanahair yang kini didaftar sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.
Ketika kunjungan waktu pagi oleh SBS Bahasa Melayu sempena sambutan Lawat Malaysia 2026 anjuran Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, jelas tetamu jemputan berpuas hati menikmati sajian yang ditawarkan pagi itu, termasuk nasi lemak, mee, bihun dan nasi goreng serta pisang goreng dan keropok lekor.
Destinasi Kembara Kulinari seterusnya melihat Zaini Ahmad menyertai sambutan makanan dan buah-buahan di Konsulat Jeneral Malaysia, Melbourne, di South Yarra.
Di majlis ini, tetamu disajikan satu lagi makanan paling popular bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia, iaitu satay.
Tetamu juga berpeluang menikmati kueh mueh tepung talam dengan pelbagai perisa serta buah nangka madu yang manis dan rapuh.
Namun, tarikan utama pada majlis itu ialah sajian raja segala buah-buahan, durian.
Rata-rata, durian sememangnya buah kegemaran ramai dan sewajarnya dijadikan sebagai buah kebangsaan Malaysia.
Jangan terlepas peluang menikmati buah durian serta pelbagai sajian enak dari tanahair di pesta Colours of Malaysia pada 29 dan 30 November, 2025, di Queen Victoria Market, Melbourne.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






