Kes Mabo Dalam Sejarah Moden Australia: Perjuangan Hak Milik Asli Berterusan

Australia - Bungle Bungles - Eco Tourism

Tebing Sungai Tamba yang dimiliki hak aslinya oleh suku kaum Jaru, yang menetap di persekitaran Bungle Bungles, turut dikenali sebagai suku kaum Billingjal. Suku kaum Jaru ialah antara pemilik asal taman negara Purnululu. Credit: Barry Lewis/Corbis via Getty Images

Australia terkenal di seluruh dunia dengan kepelbagaian dan kekayaan budaya kaum orang aslinya, yang juga dimaklumkan sebagai Warga Pertama negara ini. Namun, dalam isu hak milik asli dan hak milik tanah, ramai di kalangan masyarakat umum masih kurang arif dengan istilah terbabit. Dalam episode ini, SBS Bahasa Melayu menerangkan erti, sejarah dan kepentingan hak milik asli serta kesan mendalam kes Mabo dan Akta Hak Milik Asli bagi kaum orang asli serta masyarakat umum Australia.


Tajuk Utama
  • Pengiktirafan sah hak milik asli kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres memaklumkan hubungan berterusan mereka dengan bumi dan kawasan perairan yang didiami mengikut undang-undang dan warisan tradisional mereka.
  • Hak milik asli membolehkan komuniti Warga Pertama negara ini melindungi budaya mereka.
  • Sebilangan besar masyarakat umum, khususnya penduduk bandar dan pemilik rumah tiada kaitan dengan hak milik asli, namun memahami konsep ini mampu memupuk persefahaman yang lebih mendalam.
AMARAN: Episod ini mengandungi gambar dan nama kaum orang asli yang telah meninggal dunia.
    Hak milik asli, hak milik tanah dan perjanjian ialah tiga pendekatan berbeza yang digunakan untuk memperkukuh budaya kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres serta memastikan masyarakat mereka terus terhubung dengan tanah yang didiami

    Episod ini menngupas isu hak milik asli, perbezaannya dengan hak milik tanah serta kepentingannya pada masa kini.

    Asal-Usul Hak Milik Asli

    Selama lebih 200 tahun, Australia diisytiharkan sebagai terra nullius, yang bermaksud tanah kosong, tanpa mengiktiraf kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres telah lama mendiami benua ini sebelum kedatangan penjajah Eropah.

    Namun, pemahaman dan anggapan salah ini berubah ekoran kes mahkamah bersejarah yang kini dikenali sebagai Kes Mabo.

    Pada tahun 1982, sekumpulan warga asli dari suku kaum Meriam yang diketuai oleh Eddie Koiki Mabo melancar tindakan undang-undang menuntut pengiktirafan hak milik tradisional mereka terhadap daerah Kepulauan Murray di Selat Torres yang terdiri dari sekumpulan pulau kecil di utara Queensland.

    Kes yang dilancarkan itu berlanjutan hampir sedekad.

    Akhirnya, pada tahun 1992, Mahkamah Tinggi Australia memutuskan keputusan bersejarah yang mengiktiraf bahawa masyarakat Meriam mempunyai hak milik asli atau native title ke atas tanah mereka.

    Keputusan ini amat penting kerana ia mencantas rekaan penjajah yang memutuskan anggapan terra nullius ini bahawa kononnya benua Australia tidak didiami sesiapa sebelum ketibaan orang kulit putih.

    Berikutan keputusan itu, Akta Hak Milik Asli atau Native Title Act 1993 diluluskan oleh Parlimen Australia dan pada 15 November 1993, Perdana Menteri ketika itu, Paul Keating, berucap di Parlimen, menggariskan respons kerajaan Australia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam Kes Mabo ini.

    Apakah Ertinya Hak Milik Asli?

    Native title atau hak milik asli ialah pengiktirafan bahawa sesetengah masyarakat orang asli masih mempunyai hak le atas bumi yang didiami serta kawasan perairan mereka, berdasarkan undang-undang serta adat tradisional kaum orang asli.

    Hak ini tidak diberi oleh kerajaan atau diwujudkan melalui rundingan, sebaliknya ia diiktiraf oleh mahkamah Australia.

    ak milik asli sering digambarkan sebagai sekumpulan hak kerana ia merangkumi pelbagai hak, bukan setakat satu sahaja.

    Hak-hak ini termasuk penggunaan tanah dan perairan bagi tujuan memburu, memancing, upacara adat istiadat orang asli serta hak penjagaan kawasan yang mempunyai kepentingan budaya mereka.

    Ia juga mengiktiraf hak berkongsi atau hak kumpulan yang berakar umbi daripada tradisi budaya dan kerohanian yang berpanjangan

    Namun, ia bukanlah pemilikan persendirian atau komersial.

    Hak milik asli tidak menggantikan penggunaan tanah lain seperti pertanian, perlombongan atau aktiviti pihak berkuasa tempatan.

    Di beberapa kawasan, penggunaan tanah ini wujud serentak dengan hak milik asli.

    Ini bermakna bahawa masyarakat Warga Pertama negara ini sering berkongsi hak milik asli mereka ke atas kawasan yang turut dimiliki oleh pihak lain, termasuk petani, pelombong dan majlis tempatan.

    Bagi kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres, pengiktirafan hak milik asli ini lebih daripada sekadar pengiktirafan di bawah undang-undang, ianya juga berkait rapat dengan identiti, budaya dan perasaan bahawa masyarakat mereka terbilang.
    Perdana Menteri Australia, Paul Keating.jpg
    Perdana Menteri Australia, Paul Keating. (1993).

    Kenapa Isu Hak Milik Asli Rumit?

    Pengiktirafan hak milik asli tidak tercapai dengan mudah.

    Untuk membuktikan kelayakan menuntut hak milik asli, setiap komuniti orang asli perlu membuktikan kaitan dan hubungan berterusan mereka dengan tanah yang hak miliknya dituntut.

    Lazimnya, bukti ini berbentuk sejarah lisan, kisah, cerita dan rekod yang diturunkan dari generasi ke generasi.

    Proses undang-undang ini amat kompleks serta adat tradisional tidak semestinya selaras dengan struktur serta pemahaman undang-undang Barat.
    Peguam berbangsa kaum asli, Gwynette Govardhan.png
    Ahli suku kaum Yinhawangka, Marlon Cooke (kiri) dan David Cox Barndu (kanan) bersama peguam, Gwynette Govardhan, di daerah Yinhawangka ketika lawatan mereka mengutip bahan bukti warisan budaya suku kaum mereka melalui penceritaan dan tanda-tanda di permukaan bumi yang didiami nenek moyang mereka sejak berpuluh ribu tahun lalu.

    Keluasaan permukaan benua Australia yang tertakluk di bawah Akta Hak Milik Asli

    Sejak Akta Hak Milik Asli diperkenalkan, hak milik asli yang dikurniakan kepada kaum orang asli merangkumi sekitar 40 peratus permukaan benua Australia.

    Sebahagian besarnya di kawasan luar bandar dan kawasan terpencil di mana hubungan tradisional dengan negara atau country masih dipelihara.

    Namun perbezaan di antara hak milik asli dan pemilikan tanah amat penting difahami.

    Jika anda tinggal di kawasan bandar atau luar bandar seperti sebilangan besar golongan pendatang ke negara ini, konsep hak milik asli mungkin tidak memberi kesan terhadap kehidupan seharian anda.

    Menurut Gwynette Govardhan, memahami erti serta kepentingan hak milik asli adalah langkah permulaan ke arah penghormatan dan perdamaian.
    Gwynette Govardhan.jpg
    Gambar lanskap kawasan Yinhawangka di daerah Pilbara yang diambil oleh Gwynette Govardhan semasa lawatan beliau ke negeri ini.
    As Paul Keating said when reflecting on the Mabo decision, bringing native title into Australia’s land management system was not just about justice for First Nations peoples, it was a step forward for all Australians.

    Kenapa Isu Hak Milik Asli Penting Bagi Semua Warga Australia

    Seperti yang dinyatakan Paul Keating dalam ucapan beliau ekoran kemenangan Mabo, langkah memaklum dan menyenaraikan hak milik asli dalam sistem pengurusan tanah Australia bukan setakat memastikan keadilan bagi kaum orang asli negara ini.

    Ianya juga melambangkan suatu langkah ke hadapan bagi kesemua rakyat Australia.

    Menurut Paul Keating, “Kita boleh melihat Mabo sebagai peluang besar. Peluang untuk membetulkan ketidakadilan sejarah. Peluang untuk mengatasi sejarah perampasan tanah. Peluang untuk memulihkan hubungan kuno antara tanah orang asli dan budaya. Peluang untuk menyembuhkan punca kekecewaan. Peluang untuk mengiktiraf budaya orang asli sebagai unsur yang mendefinisikan kenegaraan kita dan untuk menjelaskan bahawa Australia ini ialah Australia moden, bebas dan toleran yang mampu menjadi negara aman dan makmur untuk semua, termasuk masyarakat Warga Pertama Australian."
    Bagi sebilangan besar Warga Pertama Australia, hak milik asli bukan sekadar suatu proses undang-undang.

    Ianya juga memastikan warisan nenek moyang kaum orang asli terus berkekalan.

    Bagi golongan migran yang baru tiba di Australia, memahami hak milik asli membantu kita melihat hubungan mendalam antara kaum orang asli dengan bumi yang didiami mereka, hubungan yang wujud sejak ribuan tahun lalu dan masih kukuh sehingga kini.

    Isu hak milik asli terus berkembang dengan perjanjian baru yang membentuk bagaimana bumi, perairan dan warisan mampu dilindungi untuk generasi akan datang.

    Hak milik tanah, perjanjian dan hak milik asli membabitkan proses undang-undang dan politik yang berbeza, namun ketiga-tiga konsep ini bertujuan mengiktiraf hubungan di antara kaum orang asli dengan negara atau bumi yang didiami.

    Ia juga memberi kuasa kepada masyarakat Warga Pertama Australia mnentukan sendiri secara bebas hala-tuju nasib dan masa depan mereka.
    Sila langgani atau ikuti podcast Australia Explained untuk mendapatkan maklumat serta petua berguna bagi membantu anda menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di Australia.

    Apakah anda mempunyai pertanyaan atau cadangan topik atau isu seterusnya?

    Hantarkan e-mel kepada kami di australiaexplained@sbs.com.au

    Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App. 

    Share
    Follow SBS Malay

    Download our apps
    SBS Audio
    SBS On Demand

    Listen to our podcasts
    Independent news and stories connecting you to life in Australia and Malay-speaking Australians.
    Ease into the English language and Australian culture. We make learning English convenient, fun and practical.
    Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

    Watch on SBS
    SBS World News

    SBS World News

    Take a global view with Australia's most comprehensive world news service