Pesta Winter Night Market, anjuran Komuniti Melayu Victoria sekali lagi muncul menawarkan pelbagai sajian untuk pengunjung berbilang kaum seisi keluarga. SBS Bahasa Melayu mengunjungi pasar malam musim sejuk ini untuk meninjau bagaimana warga Melayu Melbourne menghadapi cabaran kos kehidupan yang semakin hari, semakin meningkat.
Pesta Winter Night Market
- Menawarkan pelbagai sajian popular dari tanahair
- Setiap Sabtu & Ahad bermula 6hb Jun hingga 5 Julai, (kecuali 20hb & 21hb Jun)
- Lokasi: Noble Park Skate Park, 9 Memorial Drive, Noble Park, Vic. 3174
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Sebagai salah seorang penganjur pesta tahunan Winter Night Market, Solsila Abu Samah, bersyukur sambutan dari khalayak ramai pada hujung minggu pertama amat memeransangkan.
Menurut beliau, lokasi pesta kali ini amat strategik, beberapa minit sahaja dari stesen keretapi Noble Park, yang mampu menarik pengunjung ke pasar malam kali ini.
Walaupun ramai yang merasai keperitan kos kehidupan yang kini semakin tinggi, Solsila yakin pasar malam ini tetap mampu menarik pengunjung.
Kos kehidupan memang semakin tinggi, tetapi makan tetap makan. Harga jualan juga berpatutan. Alhamdulillah, setakat ini tak ada yang complain. Semua vendor telah diarah memaparkan harga supaya pelanggan sentiasa tahu kos yang perlu dibelanja.Solsila Abu Samah, co-penganjur Winter Night Market
Aniza Sainuddin, berasal dari Sabah adalah salah seorang vendor di pasar malam tahun ini.
Gerai beliau menawarkan sajian murtaba Jawa, wonton rangup dan jagung bakar yang ketika tinjauan SBS Bahasa Melayu malam itu, telah habis dijual.
Kos kehidupan yang semakin tinggi mendorong Aniza berpada-pada ketika berbelanja.
Saya potong membeli barangan yang tak penting. Saya tak shopping sangat sekarang ini. Dulu, bila nampak handbag, mesti hendak beli. Lepas itu, beli banyak tetapi akhirnya, pakai hanya satu sahaja.Aniza Sainuddin, Keningau, Sabah / 8 tahun merantau
Aniza menyaran mereka yang teragak sama ada mahu atau tidak mengunjungi pasar malam kali ini supaya tetap datang.
Katanya, "Datang tetap datang kerana pasar malam bukannya selalu diadakan."
Mohd Hazwan Mustapha dari Batu Pahat, Johor, membantu rakan beliau menjual nasi lemak di Winter Night Market tahun ini.
Hazwan yang dahulunya berkhidmat sebagai anggota polis bantuan di Malaysia, kini bekerja sebagai tukang cat rumah sejak datang ke Australia hampir sebelas tahun lalu.
Kita orang peniaga juga rasa effect kenaikan harga barangan tinggi. Tapi pandai-pandailah kita mengurus kewangan kita sendiri.Md Hazwan Mustapha, Batu Pahat, Johor / 11 tahun merantau
Hazwan menggesa pengunjung datang ke Winter Night Market untuk mencuba nasi lemak yang disajikan.
Katanya, "Jimat duit. Datang dulu, tengok, beli ikut keperluan. Kalau nak rasa nasi lemak yang sebiji rasa kat Malaysia, nasi kerabu sebiji rasa kat Kelantan, marilah. Tapi beli ikut keperluan."
Tahun ini, Winter Night Market diberi tapak yang lebih baik, lebih luas dan selesa berbanding tahun sebelum ini.
Co-penganjur, Zahari Afendi, amat berpuas hati setelah berjaya memujuk majlis perbandaran tempatan meluluskan permohonan beliau untuk menganjur pasar malam di lokasi ini.
Zahari turut mengendali gerai yang menawarkan sajian popular dari tanahair, termasuk pisang goreng, keropok lekor dan kali ini, kacang rebus untuk mengubati kerinduan beliau dengan suasana perhentian lebuhraya, R&R, di Malaysia.
Sebagai ketua keluarga, Zahari, juga perlu menguruskan perbelanjaan dengan teliti.
Walaupun gaji di Australia dibayar setiap minggu, namun keperitan kos kehidupan itu boleh dirasai. Di mana-mana pun sama, di Malaysia boleh dirasai, di sini juga turut dirasai.Zahari Afendi, co-penganjur Winter Night Market
Namun, Zahari menggesa pengunjung untuk datang ke Winter Night Market ini untuk menikmati suasana atau vibe pasar malam yang amat beliau sukai.
Menurut beliau, "Vibe memang bagus. Yang paling best ialah bunyi generator yang benar-benar menimbulkan suasana pasar malam."
Orang kita bab makan, Alhamdulillah, mereka pasti datang. Silalah datang dan beri sokongan kepada orang Malaysia kita.Zahari Afendi, co-penganjur
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






