Selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, PYT Datin Paduka Sharrina Abdullah sentiasa berusaha mengeratkan lagi hubungan dua-hala di antara kedua-dua buah negara yang sememangnya mempunyai hubungan diplomatik kukuh sekian lama.
Hubungan Malaysia dengan Australia berdasarkan perkongsian strategik yang menyeluruh berfokus terhadap kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta pertahanan dan keselamatan serantau.
Warga Malaysia pula telah lama mula berhijrah ke Australia dari awal abad ke-20, namun bilangan pendatang baru dari tanahair melonjak naik dalam tempoh sedekad ini.
Peningkatan bilangan warga Malaysia di Australia memperkayakan lagi kepelbagaian budaya negara ini.
Namun, ia juga boleh dianggap seolah pedang bermata dua akibat segelintir golongan kecil yang mengeruhkan nama baik warga Malaysia, yang pada keseluruhannya, harum di seluruh dunia.
justeru, Datin Paduka Sharrina menyarankan agar warga Malaysia di Australia sentiasa menjaga imej tanahair mereka.
Jaga nama baik Malaysia, patuhi undang-undang, jangan melakukan kesalahan kerana ianya mampu menjejas peluang warga Malaysia lain yang ingin melawati negara ini.PYT Datin Paduka Sharrina Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia
Datin Paduka Sharrina merasmikan sambutan pesta tahunan Colours of Malaysia di Queen Victoria Market baru-baru ini.
Menurut beliau, pesta sebegini memaparkan kepelbagaian budaya Malaysia yang mempunyai persamaan dengan Australia.
Katanya, "Paling ketara ialah kepelbagaian masyarakat dari seluruh dunia yang menggelar Australia negara baru mereka, hidup serba harmoni serta saling menghormati budaya dan warisan masing-masing."
Keharmonian ini turut terjalin di kalangan masyarakat majmuk Malaysia, sebuah negara yang juga berbilang kaum.
Tambah Datin Paduka Sharrina, kekayaan budaya dan warisan Malaysia mampu dipaparkan di persada antarabangsa melalui program seperti pesta tahunan Colours of Malaysia ini.
Pengunjung yang melawat gerai-gerai di pesta Colours of Malaysia ini pastinya akan merasai kemesraan rakyat Malaysia serta menikmati sajian dari tanahair yang tidak boleh ditandingi.PYT Datin Paduka Sharrina Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia
Pesta tahunan Colours of Malaysia di Queen Victoria Market, Melbourne dianjurkan oleh Majlis Pelajar Malaysia di Australia, MASCA Victoria.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.







