Watch FIFA World Cup 2026™

LIVE, FREE and EXCLUSIVE

Petua Mengurangkan Beban Kos Petrol | Fokus Terhadap Harga Petrol

Pam minyak di sebuah stesen minyak di Australia.

Pam minyak di sebuah stesen minyak di Australia. Source: iStockphoto / moisseyev/Getty Images

Kenaikan harga petrol memberi tekanan terhadap kos kehidupan di seluruh Australia dan bagi sebilangan besar penduduk negara ini, ianya mengubah cara mereka bergerak. SBS Bahasa Melayu memaparkan petua yang boleh diamalkan untuk meringankan bebanan kos petrol tanpa mengorbankan rutin seharian anda.


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu

Bagi mereka yang mengimbangi kerja dan keluarga, memandu adalah sebahagian daripada kehidupan seharian.

Namun, apabila harga bahan api meningkat, sesetengah pemandu mula mempertimbangkan semula tabiat memandu mereka.

Umpamanya, Manjil Tamrakar, yang memandu lebih kurang 70 kilometer antara Melbourne dan Geelong tiga hari seminggu.

Setakat ini, perjalanan itu dilakukan melalui kereta beliau sendiri, namun kini, Manjil lebih kerap menggunakan pengangkutan awam.

Sebelum ini, saya kadang-kadang selalu berjalan dengan kereta dan kadang-kadang naik kereta api. Tetapi dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini, sekarang saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam
Manjil Tamrakar, pengguna kereta yand merasai tekanan kenaikan harga petrol

Mengguna kenderaan awam termasuk kereta api bermakna perjalanan yang lebih lama, namun ia membantu Manjil Tamrakar menjimat wang.

Kos mengisi tangki minyak kereta sebelum serangan Amerika ke atas Iran yang menyebabkan harga petrol melambung tinggi dahulunya mampu bertahan selama dua minggu untuk perjalanan ke tempat kerja.

Kini kos yang sama hanya mencukupi untuk satu minggu sahaja.

Pengalaman Manjil mencerminkan apa yang dilalui warga Australia yang memandu.

Satu kajian pada Mac 2026 oleh persatuan pemandu National Roads and Motorists’ Association atau NRMA menunjukkan lebih separuh pemandu Australia kini mengurangkan penggunaan kereta mereka.

Sesetengah menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap.

Ada juga yang menggabungkan tujuan perjalanan untuk menjimat minyak.

Peter Khoury dari NRMA berkata harga petrol mungkin akan turun sekali lagi, namun ia akan mengambil masa.

Perubahan kecil mampu menghasilkan perbezaan.

Untuk membantu mengurangkan kos, kerajaan Australia telah mengurangkan cukai ke atas petrol dan diesel.

Langkah ini berkuat kuasa sehingga 30 Jun.

Tabiat memandu setiap hari mampu membantu mengurangkan penggunaan petrol.

Umpamanya, menggabungkan perjalanan pendek menjadi satu perjalanan pelbagai tujuan boleh menjimatkan kos petrol.

Juga, memastikan tekanan tayar yang betul boleh mengurangkan penggunaan petrol setinggi lima peratus.

Dan kelajuan kereta anda juga amat penting.

Memandu pada 90 km/jam berbanding 110 km/jam boleh mengurangkan penggunaan petrol yang ketara.

Menurut Peter Khoury, tabiat memandu lain juga boleh diamalkan.

Jangan membawa beban yang tidak perlu di dalam kenderaan. Jangan memandu dengan kaki berat, terutama ketika memecut. Dan pastikan jika anda memandu di kawasan bandar dan cuaca baik, matikan penghawa dingin dan turunkan tingkap. Tetapi jika anda memandu di lebuh raya pada kelajuan tinggi, hidupkan penghawa dingin, tutup tingkap. Ini akan mengurangkan rintangan udara.
Peter Khoury, NRMA

Menurut Khoury, amalan memandu sebegini mampu menjimatkan lebih 30% penggunaan petrol.

Satu lagi cara mudah untuk menjimatkan wang ialah membandingkan harga petrol yang ditawarkan oleh stesen minyak yang sentiasa bersaing untuk menarik pelanggan.

Setiap negeri dan wilayah di Australia mempunyai aplikasi atau laman web untuk membantu anda mencari petrol termurah berdekatan anda.

Umpamanya di Victoria, aplikasi rasmi kerajaan digelar Servo Saver, manakala di New South Wales, aplikasi yang sama bergelar FuelCheck.

Mengguna applikasi ini mampu menjimatkan wang tanpa mengerah tenaga dan usaha berlebihan.

Dengan harga petrol yang kini tidak menentu, mengurangkan keperluan mengisi tangki minyak kereta adalah salah satu cara paling mudah untuk menjimatkan wang.

Untuk petua praktikal mengurus kos sara hidup di Australia selanjutnya, sila layari laman web SBS Bahasa Melayu dan SBS Australia Explained atau ikuti kami di mana sahaja anda mendapatkan podcast anda.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Share

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Watch now