Tajuk Utama
- Heatwave atau gelombang haba dianggap berlaku apabila suhu yang ekstrem tidak menurun lebih tiga hari berturut-turut.
- Buat kali pertamanya, Australia melancarkan Penilaian Risiko Iklim Kebangsaan dengan amaran gelombang haba akan lebih kerap berlaku akibat perubahan iklim sejagat.
- Di Australia, gelombang haba mengakibatkan lebih banyak kematian berbanding risiko bahaya alam semulajadi yang lain, terumatama di kalangan warga emas, kanak-kanak kecil dan wanita hamil.
- Apakah yang dimaksudkan sebagai gelombang haba?
- Kenapa gelombang haba berbahaya?
- Kenapa gelombang haba berbahaya kepada wanita hamil?
- Apakah langkah yang perlu diambil untuk menangani gelombang haba?
- Apakah yang boleh dilakukan untuk bertahan ketika berlakunya gelombang haba?
- Apakah ciri reka bentuk bangunan yang berkesan untuk memastikan kedingingan ruang dalaman?
- Cara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai gelombang haba.
Apakah yang dimaksudkan sebagai gelombang haba?
Gelombang haba atau heatwave dianggap berlaku apabila suhu panas keterlaluan tidak menurun di suatu lokasi siang dan malam lebih daripada tiga hari berturut-turut.
Buat kali pertamanya, Biro Meteorologi Australia menerbitkan Penilaian Risiko Iklim Kebangsaan yang menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin panas, ancaman semulajadi juga turut berubah.
Akibat perubahan iklim sejagat, cuaca panas keterlaluan dijangka berlaku lebih kerap dan lebih teruk, sekaligus memberi kesan terhadap kehidupan kita dalam segala aspek sosial, kesihatan, ekonomi dan alam sekitar.
Profesor Ollie Jay, Pengarah Akademik Pusat Penyelidikan Suhu dan Kesihatan di Universiti Sydney berkata perubahan iklim kini jelas dialami oleh penduduk Australia.
Apa yang kita lihat sejak kira-kira 20 tahun lalu ialah bilangan gelombang haba semakin meningkat. Tempoh gelombang haba juga semakin panjang dan keadaannya menjadi lebih teruk.Professor Ollie Jay, Pengarah Akademik Pusat Penyelidikan Suhu dan Kesihatan / Universiti Sydney.

Senja di Sydney ketika gelombang haba. Credit: Hans / PIxabay
Kenapa gelombang haba berbahaya?
Cuaca panas terlalu ektrem disebabkan gabungan faktor persekitaran yang menghasilkan tekanan suhu dan kesannya terhadap tubuh badan dikenali sebagai beban haba.
Tekanan haba merujuk kepada ciri-ciri persekitaran; suhu yang diukur di kawasan teduh, tahap kelembapan, sama ada anda terdedah kepada cahaya matahari secara langsung atau tidak serta tahap kelajuan angin. Beban haba pula ialah tekanan fisiologi yang dialami oleh tubuh badan.Profesor Ollie Jay, Pengarah Akademik Pusat Penyelidikan Suhu dan Kesihatan
Apabila tubuh anda mengalami beban haba, suhu badan akan meningkat, sekali gus meningkatkan risiko heat stroke atau strok haba, iaitu sindrom tindak balas keradangan yang berpotensi membawa maut.
Apa yang kita lihat ialah peningkatan mendadak kejadian kardiovaskular yang serius. Individu yang menghidap penyakit jantung berisiko lebih tinggi mengalami serangan jantung semasa gelombang haba. Ini kerana tubuh mengalihkan aliran darah dari bahagian teras ke permukaan kulit untuk menyejukkan badan dan keadaan ini memberi tekanan besar terhadap jantung. Pada masa yang sama, kita berpeluh untuk meningkatkan penyejatan haba yang meningkatkan risiko dehidrasi berperingkat. Keadaan ini bukan saja meningkatkan risiko strok haba, malah memburukkan lagi tekanan kardiovaskular bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan jantung.Professor Ollie Jay, Universiti Sydney

Profesor Ollie Jay, Pengarah Akademik Pusat Penyelidikan Suhu dan Kesihatan di Universiti Sydney. Credit: University of Sydney. Credit: Joseph Byford Photography
Menurut Dr Michelle Hamrosi, di Australia, gelombang haba meragut lebih banyak nyawa berbanding ancaman risiko semulajadi yang lain.
Gelombang haba digelar pembunuh senyap kerana ia memberi tekanan kepada tubuh dan mampu memudaratkan lagi penyakit kronik, khususnya bagi mereka yang sudah mempunyai masalah kesihatan sedia ada. Kita juga tahu bahawa kesihatan mental turut terjejas. Kemasukan ke hospital akibat masalah kesihatan mental meningkat dengan ketara ketika berlakunya gelombang haba, termasuk peningkatan kadar bunuh diri dan keganasan.Dr Michelle Hamrosi, doktor perubatan umum
Kenapa gelombang haba berbahaya kepada wanita hamil?
Dr Michelle Hamrosi menjelaskan kenapa gelombang haba menimbulkan risiko tinggi terhadap wanita hamil.
Jika anda mengalami kepanasan yang ekstrem, ia boleh menjejaskan kesihatan bayi. Risiko dehidrasi meningkat, tekanan darah boleh naik dan anda juga berisiko mengalami kelahiran pramatangDr Michelle Hamrosi

Dr Michelle Hamrosi, doktor perubatan umum Credit: Dr Michelle Hamrosi.
Menurut Rebecca, persediaan awal amat penting.
Merancang dan menyedari apa yang bakal berlaku. Perkara seperti mandi air sejuk, mengurangkan masa di luar ketika cuaca panas dan mengurangkan haba di dalam rumah. Pertimbangkan manfaat antara penggunaan penyaman udara atau menyejukkan diri dengan cara lain seperti kipas. Kesedaran dan tindakan awal sangat penting sebelum keadaan bertambah teruk.Rebecca DeMarco
Apakah langkah yang perlu diambil untuk menangani gelombang haba?
Dr Hamrosi menyarankan perangkaan pelan terlebih awal sebelum berlakunya suhu panas yang terlalu ekstrem.
Di manakah bahagian paling sejuk di rumah anda? Bolehkah anda mewujudkan ruang perlindungan yang sejuk? Lazimnya, kawasan ini adalah bilik yang mempunyai penyaman udara. Jika anda tidak mempunyai akses penyejukan di rumah, fikirkan ke mana anda boleh pergi, sama ada ke rumah rakan, ahli keluarga, perpustakaan atau pusat membeli-belah. Sediakan perancangan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, seperti menyimpan botol air di dalam peti sejuk beku, menyediakan botol semburan air, serta memastikan makanan dan ubat-ubatan disimpan di dalam peti sejuk.Dr Hamrosi, doktor perubatan umum

Mengguna air sejuk ketika mandi boleh menyejukkan badan apabila suhu panas naik keterlaluan. Credit: PublicDomainPictures / Pixabay.
Apakah yang boleh dilakukan untuk bertahan ketika berlakunya gelombang haba?
Untuk mengekalkan kedingingan rumah anda, pastikan anda buka tingkap apabila suhu mula menurun dan angin sejuk bertiupan, lazimnya apabila matahari mula terbenam.
Namun, tutup semula semua tingkap rumah anda apabila suhu mula meningkat pada waktu siang hari.
Amalkan rutin mudah ini untuk mengekalkan kesejukan rumah.
Menurut Dr Hamrosi, perkara pertama yang dilakukannya ialah menutup semua langsir pada awal pagi dan memasang kipas.
Tambah beliau, kipas sangat berkesan untuk menyejukkan badan, terutamanya jika kulit lembap sedikit semasa berada di bawah kipas.
Juga, jika menggunakan penghawa dingin, tetapkan suhu pada 26 darjah Celsius untuk menjimatkan tenaga.
Dr Hamrosi turut mengingatkan semua supaya meminum air dengan kerap sepanjang hari.
Kipas siling berguna, namun hanya sehingga tahap tertentu, jelas Profesor Ollie Jay.
Kajian menunjukkan bahawa kipas boleh memburukkan tekanan haba apabila suhu udara melebihi 40 darjah Celsius. Justeru, hanya gunakan kipas apabila suhu di bawah 40 darjah Celsius. Jika suhu melebihi paras itu, lebih baik hentikan saja penggunaan kipas.Professor Ollie Jay

Kipas siling sememangnya berguna ketika berlakunya gelombang haba, namun hanya sekiranya suhu berada di bawah 40 darjah Celsius. Credit: Image eak_kkk / Pixabay.
Bolehkah anda mengelak daripada keluar rumah ketika suhu di luar terlalu tinggi? Itulah masa orang mudah menghadapi masalah. Jika anda mempunyai temu janji perubatan, pertimbangkan perkhidmatan telekesihatan supaya tidak perlu keluar pada waktu panas.Dr Hamrosi
Apabila suhu mula meningkat pastikan anda tidak melupai jiran tetangga serta sanak saudara warga emas yang paling terdedah terhadap risiko strok haba.
Jika anda dapati jiran atau saudara mara kelihatan seolah-olah keliru atau kurang sihat, pastkan anda mengambil langkah untuk menyejukkan badan individu terbabit.
Bolehkah mereka berehat di tempat yang sejuk? Minum air sedikit demi sedikit? Meletakkan kain sejuk pada badan atau mandi air sejuk? Jika keadaan tidak berubah dalam masa singkat atau simptom semakin teruk, hubungi doktor keluarga atau Health Direct. Jika simptom teruk, seperti kekeliruan, pengsan, sakit dada atau suhu badan yang sangat tinggi, hubungi ambulans dengan segeraDr Hamrosi
Bagi bayi pula, pakaikan pakaian yang ringan, malahan hanya pakaikan lampin saja kepada bayi anda pada hari yang sangat panas.
Dan pastikan mereka kekal terhidrat mengikut kesesuaian umur.
Bayi juga boleh dimandikan dengan air sejuk. Bermain air adalah aktiviti yang sangat baik semasa gelombang haba. Dan jangan sekali-kali meninggalkan bayi di dalam kereta, walaupun untuk tempoh yang singkat. Suhu badan bayi boleh naik dengan cepat mengakibatkan strok haba yang boleh mendatangkan maut.Dr Hamrosi
Apakah ciri reka bentuk bangunan yang berkesan untuk memastikan kedingingan ruang dalaman?
Professor Ollie Jay menyarankan penggunaan kaca dua atau tiga lapis yang gelap untuk tingkap bagi menahan sinaran matahari yang terik.
"Penggunaan bidai juga mampu mengurangkan keterikan panas matahari di kawasan dalaman", tambah Professor Jay.
"Juga, penebatan bumbung mampu mengurangkan suhu dalam rumah."

Budak lelaki bermain dalam kolam di halaman rumah. Source: iStockphoto / davidf/Getty Images/iStockphoto
Cara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai gelombang haba.
Laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO menyediakan pelbagai maklumat mengenai gelombang haba serta petua yang berguna.
Anda juga boleh layari laman web jabatan kesihatan setiap negeri dan wilayah di Australia, umpamanya di laman web NSW Health’s ‘Beat the heat’.
Professor Jay dan pasukan beliau turut menghasilkan aplikasi pemantauan cuaca dan suhu yang membolehkan anda menilai risiko tekanan gelombang haba.
Anda boleh mencatatkan umur anda, juga sebarang penyakit kronik dan sama ada anda mempunyai akses kepada penghawa dingin. Aplikasi ini menggunakan maklumat poskod untuk mendapatkan data cuaca di kawasan anda. Segala maklumat kemudian diberikan mata dalam skala tekanan haba indivisu, membantu anda memahami risiko peribadi sepanjang hari, termasuk ramalan cuaca selama tujuh hari.Professor Ollie Jay, Pengarah Akademik Pusat Penyelidikan Suhu dan Kesihatan / Universiti Sydney
Sila langgani atau ikuti podcast Australia Explained untuk mendapatkan maklumat serta petua berguna bagi membantu anda menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di Australia.
Apakah anda mempunyai pertanyaan atau cadangan topik atau isu seterusnya?
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.












