Tajuk Utama
- Armada Pertama mendarat di Botany Bay pada 18 Januari, 1788, bukan pada 26 Januari.
- Australia secara rasminya ditubuh pada 7 Februari, 1788, bukan pada 26 Januari.
- 26 Januari sekian lama menjadi hari bantahan serta tuntutan kebenaran oleh Warga Pertama Australia.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Artikel ini berdasarkan persembahan video NITV oleh John-Paul Janke, pengarang Hal-Ehwal Kebangsaan Orang Asli di SBS selaku hos program The Point yang disiarkan melalui NITV.
Janke meninjau bagaimana 26 Januari menjadi Hari Australia dan kenapa kini, tarikh ini membawa makna yang berbeza bagi semua warga negara ini.
Apakah Sebenarnya Yang Berlaku Pada 26 Januari Di Australia??
26 Januari, 1788, memperingati tarikh Kapten Arthur Phillip menaikkan bendera British di Sydney Cove.
Pada petang yang sama, armada pertama yang terdiri dari sebelas buah kapal telah berlabuh di Port Jackson, lebih kurang lapan bulan setelah belayar dari England.
Sejak itu, 26 Januari dianggap permulaan negara Australia walaupun ianya bukanlah tarikh ketibaan pendatang British, mahupun hari penubuhan rasmi koloni dari England.

Apakah Armada Pertama/First Fleet Tiba Pada 26 Januari?
Jawapannya, TIDAK.
Armada Pertama mula tiba di Boatny Bay pada 18 January 1788.
Setelah menilai keadaan ketika itu, Kapten Phillip memutuskan bahawa kawasan terbabit tidak sesuai untuk didiami kerana keadaan tanah yang dianggap tidak subur serta kekurangan sumber air segar.
Angin kencang menyebabkan armada terperangkap di Botany Bay dan keesokan harinya anak kapal terkejut apabila melihat dua buah kapal asing muncul di luar teluk terbabit.
Kedua-dua kapal itu kepunyaan Perancis di bawah pimpinan Kapten La Pérouse, yang tiba pada 25 Januari.
Keadaan cuaca memaksa semua kapal kecuali satu supaya menghentikan pelayaran mereka.
Kapal yang berjaya ialah kapal bekalan.
Pada awal pagi 26 Januari, Kapten Phillip dan rombongannya mendarat.
Bendera Union Jack dikibarkan dan satu upacara kecil diadakan dengan kehadiran beberapa dozen pegawai marin dan kelasi, sementara banduan menyaksikannya dari atas dek kapal bekalan.
Bilakah Negara Australia Ditubuhkan Secara Rasmi?
Koloni baru British hanya diasaskan secara rasmi pada 7 Februari, 1788, ekoran pelantikan Kapten Arthur Phillip sebagai gabenor.
Koloni baru ini merangkumi hampir separuh benua Australia ke bahagian timur garisan 135 meridian.
Garisan ini mencerminkan garis pemisah antara tuntutan kuasa Sepanyol dan Portugal, seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Tordesillas pada tahun 1494.
Perjanjian menentukan tuntutan antara pendatang kulit putih ini dibuat tanpa mengambil-kira hakikat sebenarnya, iaitu benua Australia ini telah didiami oleh kaum orang asli berpuluh ribu tahun sebelum ketibaan orang kulit putih.
Orang asal negara ini yang kini dikenali sebagai Warga Pertama Australia.

Apakah Kesan Kedatangan Pendatang Kulit Putih Terhadap Kaum Orang Asli Negara ini?
Armada Pertama telah mendarat di tanah yang telah pun didiami dan dimiliki oleh sekurang-kurangnya 29 suku kaum asli yang menetap dikawasan merangkumi lembah Sydney.
Pendatang kulit putih tidak menjumpai benua yang kosong, sepertimana yang didakwa.
Bagi Warga Pertama negara ini, 26 Jamuari menandakan permulaan perampasan tanak mereka, keganasan yang dialami ditangan pendatang kulit putih serta penentangan kaum orang asli akan pencerobohan orang kulit putih.
Kesannya terus dialami oleh masyarakat orang asli sehingga kini.
Kenapa 26 Januari Diisytihar Hari Australia?
26 Januari diwartakan sebagai cuti umum bagi Koloni New South Wales oleh Gabenor Lachlan Macquarie pada tahun 1818.
Sebelum itu, tarikh ini dirujuk sebagai Hari Pendaratan Pertama atau Hari Penubuhan.
Koloni pendatang di bahagian lain pula mempunyai hari penubuhan yang berbeza.
Menjelang tahun 1888, 26 Januari mula diraikan sebilangan besar koloni yang wujud ketika itu.
Pada penghujung abad ke-19, sebuah persatuan yang dikenali sebagai Australian Natives Association, ANA, muncul sebagai kumpulan pelobi yang kuat bagi pembentukan persekutuan serta pengisytiharaan cuti kebangsaan pada 26 Januari.
Namun, keahlian persatuan ini terhad kepada lelaki kulit putih yang dilahirkan di Australia sahaja.
Apakah Hari Australia Menandakan Penubuhan Persekutuan Australia?
TIDAK.
Apa yang diraikan pada Hari Australia bukanlah penubuhan Komanwel Australia.
Persekutuan ini berlaku pada 1 Januari 1901.
Ianya juga bukan persidangan pertama Parlimen Komanwel, yang berlangsung pada 9 Mei 1901.
Sebaliknya, tanggal 26 Januari merujuk kepada pendaratan pada tahun 1788, apabila Kapten Arthur Phillip bersama pegawai dan banduan yang dibawa dari England mendarat di pantai Sydney Cove.
Bilakah Gelaran Hari Australia Mula Digunakan?
Konsep Hari Australia sebagai satu sambutan kebangsaan muncul semasa Perang Dunia Pertama dan pada mulanya, ia merupakan sebahagian daripada kempen bertujuan mengumpul dana peperangan.
Walaupun sambutan mulanya berlansung pada penghujung bulan Julai selama beberapa tahun, menjelang tahun 1918, beberapa cawangan Australian Natives Association dengan ahli orang kulit putihnya, mula merujuk kepada 26 Januari sebagai Hari Australia.
Pada Mac 1930, persidangan tahunan ANA memutuskan untuk menamakan 26 Januari sebagai Hari Australia.
Menjelang 1935, sebilangan besar negeri dan wilayah Australia mengiktiraf 26 Januari sebagai Hari Australia, kecuali New South Wales yang masih merujuk tarikh itu sebagai Hari Ulang Tahun.
Kenapa 26 Januari Ialah Hari Berkabung Bagi Warga Pertama Australia?
Isu tarikh 26 Januari bukan sekadar tentang sambutan sahaja, sebaliknya ia juga menyentuh isu penentangan oleh kaum orang asli terhadap pendatang Eropah yang gelar diri mereka penjajah.
Pada tahun 1938, sempena ulang tahun ke-150 pendaratan orang kulit putih, pemimpin kaum orang asli menganjurkan Hari Berkabung atau Day of Mourning.
Ini ialah antara protes hak kaum orang asal peringkat kebangsaan yang terawal, menarik perhatian masyarakat umum akan ketidakadilan, pengecualian dan pembuangan serta perampasan tanah nenek moyang Warga Pertama Australia oleh pendatang kulit putih.
Bilakah 26 Januari Diisytihar Sebagai Hari Cuti Umum Kebangsaan?
Pada tahun 1994, 26 Januari diisytiharkan Hari Australia secara kebangsaan, walaupun sesetengah negeri memilih hari Isnin pertama selepas tarikh terbabit sebagai hari cuti umum.
Pada tahun 1988, sempena sambutan ulang tahun ke-200 pendaratan Arthur Phillip, semua negeri dan wilayah di Australia mengumum 26 Januari sebagai cuti umum.
Justeru, pewartaan 26 Januari sebagai cuti umum Hari Australia akhirnya diseragamkan pada tahun 1994

Kenapa Tarikh 26 Januari Masih Menjadi Isu Pertikaian?
Sejarah 26 Januari sememangnya panjang, rumit dan sarat dengan emosi.
Tarikh ini menjadi satu hari perayaan bagi sesetengah pihak, namun bagi Warga Pertama Australia serta penyokong mereka, ianya melambangkan Hari Berkabung.
Kini perbahasan masih berterusan, namum apa yang penting ialah pemahaman tentang sejarah yang sebenarnya.
Episod Australia Explained ini diterbitkan dengan kerjasama NITV.
Audio John-Paul Janke dipetik daripada video penerangan yang dihasilkan oleh NITV
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.










