Apakah anda teringin snek popular dari Malaysia atau perlu bahan rempah basah untuk menyediakan sajian masakan Malaysia, namun tidak ada masa atau kesempatan untuk pergi ke pasaraya Asia? Kini kempen Authentic Malaysia menawarkan khidmat pesanan yang membolehkan barangan makanan Malaysia dihantar terus ke rumah anda.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Menurut Abdul Latif Nordin, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Australia, program Authentic Malaysia ini menawarkan perkhidmatan pemesanan melalui online barangan makanan Malaysia yang boleh dihantar terus ke rumah.
Program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau MATRADE kini masuk tahun kedua bertujuan mempromosikan produk makanan Malaysia di Australia.
Jelas Abdul Latif, kali ini MATRADE bekerjasama dengan beberapa online platform untuk menawarkan lebih banyak pilihan barangan makanan Malaysia kepada pengguna di negara ini.
Kita nak membuka lebih banyak market access dan mempromosikan lebih banyak produk Malaysia di pasaran ini. Bukan sahaja di Melbourne, ada juga di South Australia, di New South Wales dan Queensland. Justeru, banyak produk Malaysia yang boleh didapati.Abdul Latif Nordin / Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Australia
Program Authentic Malaysia ini selaras dengan matlamat MATRADE mempertingkatkan program eBizLink atau electronic business linkage.
Ianya satu inisiatif impak tinggi oleh MATRADE untuk membantu usahawan kecil dan sederhana mempromosikan produk dan jenama mereka ke pasaran antarabangsa secara digital.
Abdul Latif berkata antara produk makanan Malaysia, barangan makanan proses ialah yang keempat tertinggi yang diimport oleh Australia.
Potensinya masih tinggi. Antara produk yang paling laris sekali yang dipesan oleh pengguna ialah sos, paste atau bahan rempah basah serta makanan beku. Itu kelebihan Malaysia. Mungkin ramai juga warga Malaysia yang berada di Australia yang merindui dengan citarasa Malaysia.Abdul Latif Nordin / Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Australia
Program Authentic Malaysia kali ini dirasmikan oleh ahli majlis Bandaraya Melbourne, Councillor Gladys Liu.
Beliau menganggap kempen ini mampu menggalakkan persefahaman kepelbagaian budaya di kalangan warga Melbourne.
Gladys yang berhijrah ke Australia dari Hong Kong lebih kurang 40 tahun lalu melihat sendiri bagaimana Australia bertukar dari negara yang pada mulanya mempunyai polisi kulit putih kepada masyarakat majmuk berbilang kaum.
Kini saya melihat penduduk yang berasal dari negara-negara yang berlainan, termasuk dari Malaysia. Malahan, salah seorang rakan serumah saya ketika saya baru tiba di negara ini ialah seorang warga Malaysia.Councillor Gladys Liu / Ahli Majlis Bandaraya Melbourne
Apabila ditanya apakah makanan Malaysia kegemaran beliau, Gladys tidak teragak menjawab, "char kway teow!"
"Dan jangan sebut durian yang sememangnya kegemaran saya", tambah beliau.
Promosi Authentic Malaysia kali ini berlansung mulai 8hb hingga 24hb September, 2026, menawarkan beratus barangan makanan Malaysia, termasuk snek, minuman dan paste rempah asli yang boleh dipesan secara online atau dibeli di pasaraya yang mengambil bahagian dalam kempen ini.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






