Baba Cedric Tan terkenal di Malaysia dan negara jiran serantau sebagai pejuang untuk mengekal dan memartabatkan warisan budaya masyarakat peranakan. Demi mencapai matlamat ini, beliau menyertai pameran Threads of Heritage, A Kebaya Showcase, di Melbourne baru bari ini. SBS Bahasa Melayu berpeluang berbual dengan baba generasi ke-enam dari Melaka ini untuk mengetahui apakah yang mendorongi beliau.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Bangga dengan warisan beliau, Baba Cedric Tan menganggap usaha mengekalkan budaya peranakan sebagai sesuatu yang tersemat di sanubari.
Beliau sentiasa aktif mempromosi warisan peranakan melalui penganjuran ceramah budaya, peragaan busana tradisional kebaya nyonya serta seni sulaman manik yang mencerminkan kekayaan warisan budaya komuniti peranakan serantau.
Menurut Baba Cedric, istilah peranakan itu lebih daripada pemahaman umum yang menganggap komuniti ini terhad kepada kaum baba dan nyonya di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sahaja.
Katanya, orang peranakan tu sebenarnya berasal dari beberapa negara lain.
"Umpamanya, nenek moyang saya dari negera Cina, manakala kaum Chetti Melaka pula dari India dan komuniti Portugis dari Portugal", jelas Baba Cedric.
Mereka serap elemen tempatan dan cara hidup mereka pun menjadi seperti orang tempatan. Mereka sudah tidak bertutur sepenuhnya dalam bahasa asal mereka, sebaliknya mengguna bahasa Melayu campur dengan Hokkien, umpamanya. Kalau orang Chetti pula, mereka guna bahasa Chetti dicampuri bahasa Melayu. Tetapi ada telo mereka.Baba Cedric Tan / Aktivis Warisan Budaya Peranakan
Baba Cedric menjelaskan kehidupan beliau sejak kecil lagi berbeza dengan apa yang dilalui oleh komuniti Cina di tanahair.
Jelas beliau, "Umpamanya, saya tak banyak cakap bahasa Cina di rumah dan kita ni suka makan lauk tempatan pedas-pedas, makan dengan jari."
Kaum wanita pula memakai sarong kebaya. Makanan pula, kegemaran saya ialah gerang asam, seperti asam pedas tapi lebih pekat. Ianya dicampur dengan buah keluak, orang Melayu gelar buah kepayang. Kita ketuk buah keluak masukkan dalam kuah. Masaklah dengan daging atau ayam. Sedap tu.Baba Cedric Tan
Setelah sekian lama memperjuang dan memartabatkan warisan Peranakan, antara pencapaian Baba Cedric ialah mendaftar pakaian kebaya sebagai warisan tak ketara dunia dengan pertubuhan UNESCO.
Jadi kebaya ini bukan hanya dipakai oleh komuniti peranakan tetapi juga oleh orang Melayu serta kaum wanita Nusantara. Malahan, komuniti peranakan ini tersebar luas bukan sahaja di Malaysia, malahan di Indonesia, Thailand dan seluruh rantau Asia Tenggara.Baba Cedric Tan / Aktivis Warisan Budaya Peranakan
Menurut Baba Cedric, komuniti peranakan di Australia agak tersisir daripada Malaysia, Singapura, Indonesia atau Thailand.
Katanya, pameran yang dianjurkan oleh komuniti peranakan Victoria akan memastikan warisan dan identiti mereka tidak pupus.
Apa yang saya bawa ialah cerita. Cerita yang mereka pernah alami masa dulu. Dan cerita ini diiringi, seperti dalam pameran ini, dengan koleksi kebaya nyonya. Mungkin ini dianggap sebagai nostalgik tetapi apa yang penting ialah aktiviti sebegini mampu memelihara pakaian kebaya ini. Kebaya itu bukan sekadar pakaian. Ia juga menunjukkan identiti kita.Baba Cedric Tan
Sempena pameran kali ini, Baba Cedric membawa bersama beliau hanya sebilangan kecil koleksi kebaya nyonya yang dimiliki beliau.
Sambil tersenyum, Baba Cedric akui bahawa koleksi kebaya nyonya beliau melebihi 300 helai dan bilangannya kian bertambah.
Sebelum berpisah, Baba Cedric memberi saranan terakhir kepada kaum wanita yang berhasrat mengekalkan warisan budaya peranakan mereka.
Kalau ada baju kebaya yang lama-lama tu, pakai-pakailah. Jangan simpan dalam almari sampai koyak. Keluarkan dan pakai. Dan berbanggalah dengan budaya kita.Baba Cedric Tan / Aktivis Warisan Budaya Peranakan
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






