Banci 2026: Selasa, 11 Ogos mungkin telah berlalu namun masih ada masa untuk melengkapi borang banci anda. Biro Statistik Australia memaklumkan mereka yang gagal berbuat demikian akan dihubungi susulan minggu ini dan yang masih enggan melengkapi borang berisiko didenda $364 sehari.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Banci 2026 kini selesai, dengan berjuta-juta penghuni seisi rumah di seluruh Australia mengambil langkah awal untuk melengkapkan banci mereka.
Menurut Biro Statistik Australia, ABS, lebih lima juta penghuni seisi rumah telah melengkapkan borang banci mereka menjelang jam 10 pagi Selasa 11 Ogos, iaitu lebih separuh daripada jumlah keseluruhan penghuni seisi rumah yang direkodkan dalam banci lima tahun lalu.
Ini merupakan banci terbesar dan bilangan yang paling tinggi menggunakan kaedah digital dalam sejarah Australia.
Lebih 85 peratus penduduk dijangka melengkapkan borang mereka secara online.
Menurut jurucakap ABS, Emily Walter, malam banci merupakan detik yang cukup mengujakan bagi pihak biro.
Malam Selasa, 11 Ogos, memang cukup mengujakan bagi kami. Hampir dua pertiga penghuni seisi rumah kini telah memberikan maklum balas kepada banci dan ini sesuatu yang amat menggembirakan. Kami benar-benar berterima kasih kepada rakyat Australia kerana memberikan kerjasama dalam banci kali ini. Ini sememangnya sesuatu yang amat baik.Emily Walter / Biro Perangkaan Australia
Bagi mereka yang masih belum melengkapi borang banci, ABS berkata pegawainya akan menghubungi penghuni rumah terbabit dalam tempoh seminggu akan datang.
Mereka yang enggan melengkapi borang banci boleh dikenakan denda sebanyak $364 sehari.
Walaupun banci dijalankan dalam bahasa Inggeris, bantuan disediakan dalam pelbagai bahasa.
ABS turut menawarkan khidmat sokongan melalui telefon serta pusat bantuan sementara secara bersemuka di seluruh negara.
Ramin Sediqi, yang berasal dari Afghanistan, memberitahu SBS bahawa beliau berbesar hati untuk melengkapi borang banci beliau.
Saya rasa tiada soalan yang terlalu peribadi. Jika kerajaan meminta maklumat tentang diri kita, kita sepatutnya memberikan jawapan dengan baik. Tiada masalah untuk memberikan maklumat itu. Tiada soalan yang benar-benar bersifat peribadi. Semua soalan berkaitan tempat kita tinggal, tempat kita berada beberapa tahun lalu, pekerjaan kita dan sebagainya. Soalannya mudah, sangat mudah. Di Afghanistan, kami tidak mempunyai perkara seperti ini. Saya berasa amat berbesar hati dapat melalui pengalaman seperti ini.Ramin Sediqi / Pendatang dari Afghanistan
Emily Walter berkata, tugas mereka di Biro Statistik Australia masih jauh daripada selesai.
Terdapat 66 soalan dalam borang ini, tetapi daripada soalan-soalan itu, kami menghasilkan lebih 200 pemboleh ubah data. Jadi, sejumlah besar kerja perlu dilakukan sekarang untuk mengumpulkan data tersebut dengan cara yang membolehkan kami menghasilkan pemboleh ubah data berkenaan serta maklumat yang tepat.Emily Walter / ABS
Data banci yang kumpulkan kali ini akan diterbitkan pada Jun 2027.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






