SKIP TO MAIN CONTENT

Banci 2026: Bila, Untuk Siapa Dan Apakah Kepentingannya?

Banci 2026: Pengusaha Winter Night Market di Southbank, Melbourne diuji pengetahuan mereka tentang bila, siapa yang perlu diambil kira dan kepentingan banci untuk masyarakat Melayu di Australia. Credit: SBS Bahasa Melayu
Banci 2026: Pengusaha Winter Night Market di Southbank, Melbourne diuji pengetahuan mereka tentang bila, siapa yang perlu diambil kira dan kepentingan banci untuk masyarakat Melayu di Australia. Credit: SBS Bahasa Melayu

Setiap lima tahun, kerajaan Australia menjalankan banci untuk mengumpul data terkini mengenai penduduk di negara ini. SBS Bahasa Melayu mengunjungi pasar malam Winter Night Market di Southbank untuk meninjau tahap kesedaran mengenai Banci 2026 di kalangan warga Melayu di Melbourne.


Published

By Zaini Ahmad

Presented by Zaini Ahmad

Source: SBS


Skip to podcast episode content

Setiap lima tahun, kerajaan Australia menjalankan banci untuk mengumpul data terkini mengenai penduduk di negara ini. SBS Bahasa Melayu mengunjungi pasar malam Winter Night Market di Southbank untuk meninjau tahap kesedaran mengenai Banci 2026 di kalangan warga Melayu di Melbourne.


BANCI 2026

  • Banci adalah wajib bagi semua yang tinggal di Australia pada malam banci, 11 Ogos, 2026.
  • Jawapan anda membantu pihak berkuasa serta pembekal perkhidmatan memahami kehendak terkini komuniti anda serta apa yang diperlukan untuk masa yang akan datang.
  • Segala maklumat yang diberi adalah rahsia dan sulit bagi memastikan identiti anda tidak terdedah.
  • Data banci membantu perangkaan perkhidmatan serta bantuan yang diperlukan oleh komuniti anda.

Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.

Setiap lima tahun, Biro Statistik Australia akan mengira setiap individu dan anggota seisi rumah di Australia.

Inilah yang dikenali sebagai Banci Penduduk dan Perumahan, atau ringkasannya, Banci.

Kali ini, banci bakal berlansung pada malam 11 Ogos, 2026.

Banci bukan sekadar mengira bilangan penduduk yang tinggal atau melawat Australia.

Data banci membantu memastikan perkhidmatan dan infrastruktur yang diperlukan tersedia kepada individu, keluarga dan komuniti di tempat dan pada masa yang sesuai.

Ini termasuk perkhidmatan bahasa, sekolah, penjagaan kesihatan, program komuniti, pengangkutan awam serta sokongan penempatan.

Zahari Afendi ialah salah seorang penganjur pasar malam Winter Night Market yang berlansung di Southbank, bersebelahan kompleks hiburan Crown.

Zahari bersama isteri dan teman sepenganjur, Fatin, menjayakan gerai pisang goreng dan keropok lekor yang jelas popular.

Bagi Zahari, banci mengingatkan beliau akan kad merah jambu yang diisi oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara di tanahair.

Di Malaysia, orang JPN, tak silap saya, datang ke rumah menjalankan banci. Dia letak depan pintu rumah kad merah (jambu) supaya dia tahu bilangan penghuni rumah terbabit. Sama juga di Australia, pemahaman saya macam itu juga. Dia nak tahu bilangan seisi rumah, asal dari mana. Itulah saja pemahaman saya tentang banci.
Zahari Afendi / penganjur Winter Night Market, Southbank, Melbourne VIC

Dua rakan karib dari Melaka pula, Hani dan Azira, pada mulanya, kurang memahami apakah banci sebenarnya.

Kedua rakan ini membuka gerai menyajikan, antara lain, pulut kuning dengan rendang daging, asam pedas, lempeng kelapa dicicah sambal, kuih keria keledek dan yau char kway.

Mereka keliru, tersalah anggap banci itu sebagai pemungutan suara atau referendum.

Manakala sepasang lagi penganjur suami isteri, Md Kamal Ismail dan Solsila Abu Samah, memahami tujuan banci meskipun mereka kurang pasti akan tarikh ianya bakal berlansung.

Pasangan suami isteri ini menyajikan nasi goreng udang dan mee goreng serta minuman balang, kesemuanya ternyata digemari pengunjung.

Banci ini ialah tinjauan seisi rumah iaitu penuduk di negara ini. Itu yang saya faham tentang banci. Soalan: Tahukah bila banci tahun ini? Jawapan: Tak tahu, mungkin dah bermula saya rasa.
Md Kamal Ismail & Solsila Abu Samah / penganjur Winter Night Market

Setelah menggunakan telefon untuk mendapat bantuan Chat GPT, akhirnya rakan karib Hani dan Azira memahami apakah tujuan banci dan siapakah yang perlu menjawab soalan dalam borang yang dihantar kepada setiap rumah di seluruh Australia.

(Hani) Semalam, saya dapat email menyuruh saya mengisi borang, menjawab berapa orang dalam rumah. Betulkan? (Azira) Saya juga dapat surat tadi. Soalan: Bahasa apakah yang digunakan untuk bertutur di rumah? Jawapan Hani/Azira: Bahasa Melayu
Hani & Azira / pengusaha gerai Winter Night Market

Justeru, pastikan anda mengisi borang Banci Selasa ini, 11 Ogos, 2026.

Semua individu yang berada di Australia pada malam 11 Ogos, 2026 perlu diambil kira.

Tak kira sama ada penghuni rumah terbabit terdiri daripada seisi keluarga, rakan sekerja atau kawan serumah.

Juga setiap individu atau ketua keluarga perlu mengisinya sama ada anda seorang warganegara, penduduk tetap, pemohon perlindungan, pemegang visa sementara, termasuk bridging visa.

Pelajar dari luar negara dan pelancong yang berada di Australia pada 11 Ogos turut perlu mengisi borang banci mereka.

Dan tidak kira sama ada anda berada di rumah, tidur di rumah kawan, pergi berkemah, berpiknik atau bercuti dalam negeri.

Jika anda berada di Australia pada malam 11 Ogos, anda perlu mengisi borang banci anda.

Dan kenapa banci ini penting?

Pembabitan anda membolehkan keperluan warga Melayu diambil kira oleh pihak berkuasa bagi memastikan masyarakat Melayu dan komuniti yang bertutur dalam Bahasa Melayu akan sentiasa terbilang.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Latest podcast episodes

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Stream now