Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Kini hampir sebulan sejak Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran dan penyelesaian masih belum tercapai.
Iran tegas dengan pendirian mempertahan kedaulatannya, manakala Trump semakin resah memberitahu dunia bahawa negara di Teluk parsi itu kini bersetuju untuk mengadakan perundingan damai.
Dakwaan yang ditolak dengan tegas oleh Iran.
Trump turut mengecam beberapa negara Kesatuan Eropah dan sasaran pertama beliau, Sepanyol yang enggan membenarkan tentera U.S. menggunakan pangkalannya.
Itu tidak mengapa. Kami tidak mahu melakukannya, kami boleh menggunakan pangkalan mereka jika kami mahu, kami boleh sahaja terbang masuk dan menggunakannya. Tiada siapa boleh menghalang kami daripada menggunakannya.Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat
Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan Sepanyol menyatakan ia tidak akan membenarkan Amerika Syarikat menggunakan pangkalan di wilayah selatannya bagi sebarang serangan yang tidak dilindungi di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Trump turut mengkritik Sepanyol atas keputusan negara itu tahun lalu untuk menarik diri daripada sasaran perbelanjaan pertahanan NATO sebanyak 5 peratus, yang ketika itu mencetuskan ancaman tarif oleh Amerika Syarikat.
Trump berkata beliau mempertimbangkan pembatalan sepenuhnya perdagangan Amerika Syarikat dengan Sepanyol.
Saya boleh menghentikan segala urusan berkaitan Sepanyol. Semua perniagaan yang berurusan dengan Sepanyol berhak untuk menghentikannya, sekatan, melakukan apa sahaja yang saya mahu terhadapnya. Dan kami mungkin akan lakukan itu terhadap Sepanyol, apa pendapat anda?Presiden Trump
Namun, Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles, mempertahankan keputusan negaranya dengan menyatakan Sepanyol tidak akan dipaksa melanggar undang-undang antarabangsa.
Jelas beliau, "Pangkalan di Moron de la Frontera dan Rota tidak memberikan sebarang bantuan, langsung tiada, kepada tindakan atau serangan yang sedang dijalankan ke atas pangkalan tersebut."
Memang benar terdapat perjanjian dengan Amerika Syarikat, namun kami berpendapat perjanjian itu mesti beroperasi dalam kerangka undang-undang antarabangsa. Mesti ada perlindungan antarabangsa dalam apa jua bidang agar tindakan ini dapat dilaksanakan.Margarita Robles, Menteri Pertahanan Sepanyol
Sepanyol bukan satu-satunya sekutu Amerika Syarikat yang menjadi sasaran cemohan Donald Trump.
Beliau turut menegur Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer.
Starmer memberitahu parlimen bahawa kerajaannya tidak yakin perubahan rejim melalui serangan udara dan berkata United Kingdom enggan memain peranan dalam perang terhadap Iran.
Saya juga tidak gembira dengan UK. Kepulauan Chagos yang anda baca tentang pajakan itu, atas apa jua sebab dia membuat pajakan pulau tersebut. Seseorang datang dan mengambil daripadanya. Dan kami mengambil masa tiga, empat hari untuk menentukan di mana kami boleh mendarat di sana sedangkan ia akan menjadi lebih mudah untuk mendarat di situ berbanding terbang berjam-jam tambahan. Jadi kami sangat terkejut. Ini bukan Winston Churchill yang sedang kami hadapiPresiden Trump
Namun, Perdana Menteri Britain itu akhirnya bersetuju dengan permintaan Amerika Syarikat untuk menggunakan dua pangkalan tentera Britain, menjelaskan bahawa ianya tidak bermakna United Kingdom kini terbabit dalam peperangan ini.
Untuk menjelaskan, penggunaan pangkalan Britain adalah terhad kepada tujuan pertahanan yang telah dipersetujui. Kami tidak menyertai serangan ofensif Amerika Syarikat dan Israel.Keir Starmer, Perdana Menteri United Kingdom
Bader al-Saif, Associate Fellow di Chatham House berkata, retorik cemohan dan ugutan dari Donald Trump sudah menjadi sesuatu yang dijangka.
Sejujurnya, saya tidak akan membaca terlalu jauh mengenainya. Kita pernah mendengar kenyataan yang lebih keras terhadap pemimpin lain sebelum ini. Jadi saya fikir ia sebahagian daripada pendekatan pentadbiran Amerika Syarikat ini dan saya rasa mereka akan menanganinyaBader al-Saif, Associate Fellow Chatham House
Sejurus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, negara Perancis, Jerman dan United Kingdom, dikenali sebagai negara E-3, mengeluarkan kenyataan bersama yang mengutuk rejim Iran dan memberi isyarat pendekatan defensif.
Sejak itu, Jerman dan Perancis masing-masing menyatakan sokongan terhadap serangan tersebut, dengan Perancis berikrar menghantar kapal pengangkat pesawat ke Lautan Mediterranean serta berusaha memastikan keselamatan laluan maritim di rantau berkenaan.
Bader al-Saif berkata negara-negara Eropah akan mendapat manfaat jika mereka memperjelaskan pendirian masing-masing mengenai peperangan ini.
Setakat ini, tiada negara Eropah yang menyertai serangan terhadap Iran, walaupun sesetengah penganalisis berspekulasi situasi ini mungkin berubah pada satu ketika nanti.
Utusan tertinggi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ali Bahreini, berkata Iran akan bertindak balas sewajarnya jika negara Eropah membabitkan diri dalam serangan ini.
Ali Bahreini berkata Amerika Syarikat membuat “keputusan bodoh” dengan menyerang Iran ketika rundingan sedang berlangsung dan ketika serangan balas melanda rantau itu, beliau menegaskan Iran tidak akan membenarkan sesiapa memudahcarakan apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan Amerika Syarikat dan Israel.
Perang ini bukan perang terhadap jiran-jiran kami. Perang ini adalah perang terhadap Amerika Syarikat dan Israel. Ini bukan perang serantau. Dan menurut norma antarabangsa yang diterima, jika mana-mana pangkalan, lokasi atau kemudahan di sesebuah negara digunakan untuk menyerang dan menceroboh negara lain, maka ia akan menjadi sasaran yang sahAli Bahreini, Utusan Tertinggi Iran ke PBB
Dengan serangan dilakukan ke atas beberapa negara Teluk, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, berkata semua garis merah telah dilanggar.
Berhubung kemungkinan tindak balas, seperti yang saya katakan, semua pilihan berada di tangan kepimpinan kami. Namun kami perlu menjelaskan bahawa serangan seperti ini tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindak balas.Majed Al Ansari, jurucakap Kementerian Luar Qatar
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Stephane Dujarric, menyeru agar diplomasi diteruskan.
Menurut beliau, penyelesaian tidak akan ditemui melalui peperangan.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.







