Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Demokrasi dan sistem antarabangsa berasaskan peraturan kini terancam, khusus di Amerika Syarikat, yang kini mengalami kemerosotan hak asasi manusia akibat dasar imigresen dan penahanan kanak-kanak di negara terbabit.
Australia turut disebut sebagai satu-satunya negara demokrasi barat yang tidak mempunyai akta hak asasi manusia kebangsaan.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch, dalam l;aporan tahunan terbarunya, dasar imigresen dan penahanan kanak yang dianggap tidak berperikemanusiaan ini disifatkan suatu kegagalan besar negara yang dahulunya menganggap ianya lambang demokrasi.
Philippe Bolopion dari Human Rights Watch berkata, sistem hak asasi manusia sejagat kini berada dalam keadaan bahaya.
Tambah beliau, "Kita berada dalam satu persekitaran yang tidak menguntungkan, saya boleh katakan, sepanjang 20 tahun ini, dengan banyak negara menjadi semakin kurang bebas."
Dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini di seluruh dunia, demokrasi telah semakin merosot secara berterusan. Dan setiap kali demokrasi merosot, ia membawa kesan buruk kepada hak asasi manusia, kepada keseluruhan spektrum hak asasi manusia.Philippe Bolopion, Human Rights Watch
Amerika Syarikat menjadi tumpuan utama laporan terbaru ini.
Human Rights Watch mempersoal sama ada hak asasi manusia mampu bertahan dalam dunia yang memegang nilai ala Trump.
Memang sukar dipercayai untuk melihat bagaimana pentadbiran Trump telah benar-benar melemahkan semua tonggak demokrasi Amerika Syarikat, menolak semua mekanisme semak dan imbang kuasa. Kini kita masih melihat usaha untuk melemahkan kepercayaan terhadap pilihanraya, kesucian proses pilihanraya, serangan terhadap badan kehakiman dan para hakim serta tindakan terhadap wartawan.Philippe Bolopion, Human Rights Watch
Negara China dan Rusia juga tidak terkecuali dalam laporan ini.
Kebebasan di kedua-dua kuasa besar ini dianggap semakin berkurangan berbanding 20 tahun lalu.
Satu lagi negara yang menerima tumpuan, India, yang melihat demokrasinya juga semakin merosot.
Ashkaya Kumar, Pengarah Advokasi Krisis di Human Rights Watch, berkata Amerika Syarikat kini mula mengguna dasar autoritarian negara China, Rusia dan India.
Jelas beliau, "Umpamanya, dalam penggunaan notis merah Interpol oleh China untuk memburu pembangkang serta penyekatan kenyataan pelbagai hala yang merujuk kepada isu jantina oleh pentadbiran Putin."
Semua ini merupakan satu ‘manual tindakan’ yang turut digunakan oleh negara autoritarian kuasa sederhana lain. Kini kita melihat Amerika Syarikat turut menyertai arus tersebut. Baru-baru ini di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat menyatakan bahawa mereka tidak boleh menerima sebarang bahasa berkaitan jantina. Sebelum ini, bantahan sebegini lebih dijangka dibuat oleh negara Rusia. Kita juga sangat menyedari kempen maklumat palsu yang sebelum ini dikaitkan dengan entiti milik kerajaan di China dan Rusia.Ashkaya Kumar, Pengarah Advokasi Krisis / Human Rights Watch
Namun, kecaman terbaru ini tidak terhad kepada kuasa global sahaja.
Australia turut dikritik atas kegagalannya melindungi hak pemohon suaka dan pelarian, selain beberapa isu lain.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini mengecam kekurangan ketelusan kerajaan Australia berhubung dasar dan amalan penahanan imigresen dan selepas lawatan pada akhir tahun lalu, PBB menyatakan bahawa rejim penahanan mandatori Australia melanggar hak asasi manusia antarabangsa.
Annabel Hennessy, Penyelidik Australia di Human Rights Watch, berkata, organisasinya kecewa dengan kegagalan kerajaan Australia menjawab kenyataan PBB ini.
Sebaliknya, apa yang kita lihat ialah peningkatan dasar-dasar yang menindas melalui pengumuman perjanjian baru dengan Nauru, yang berpotensi menyaksikan ratusan orang dihantar pulang ke negara itu. Apa yang amat membimbangkan tentang undang-undang ini ialah apabila ia diluluskan, kerajaan Australia turut meluluskan undang-undang baru yang menafikan hak pemohon suaka atau individu lain yang dipindahkan secara paksa ke Nauru daripada mendapatkan proses perbicaraan yang adil.Annabel Hennessy, Penyelidik Australia / Human Rights Watch
Perang Israel di Gaza telah menarik perhatian dan kecaman masyarakat global apabila negara-negara menandatangani kenyataan bersama yang mengkritik keras penggunaan kebuluran sebagai senjata perang serta pembunuhan orang awam yang tidak bersalah.
Human Rights Watch juga menggambarkan perang Israel di Gaza sebagai satu pembunuhan beramai-ramai iaiatu genoside, dakwaan yang terus ditolak oleh Israel.
Ashkaya Kumar berkata salah satu aspek paling berbahaya dalam konflik ini ialah sokongan dan pembekalan senjata kepada Israel oleh negara-negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Jerman, yang menghakis tataterbib antarabangsa yang sepatutnya menghalang penjualan senjata kepada pihak yang melanggar undang-undang peperangan.
Ini merupakan masalah besar untuk kita semua kerana ia memaksa mereka sama ada untuk berhujah bahawa Israel tidak melanggar undang-undang peperangan, yang sukar diterima akal dan memaksa kita menafikan fakta yang kita semua ketahui. Atau menerima satu bentuk ‘pengecualian Israel’, di mana undang-undang akan diterapkan kepada negara seperti Sudan Selatan atau Republik Afrika Tengah, namun tidak kepada pihak seperti Israel. Kedua-duanya tidak baik untuk sistem antarabangsa berasaskan peraturan.Ashkaya Kumar, Human Rights Watch
Menurut Human Rights Watch, negara-negara yang menghargai hak asasi manusia mempunyai peranan penting dalam memastikan pihak lain dipertanggungjawabkan.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.







