Tiga Tahun Selaku Konsul Immigresen, Hanizah Ucap Selamat Tinggal Melbourne

Siti Hanizah Tupani cemerlang selaku Konsul Immigresen Malaysia di Melbourne selama 3 tahun. Credit: SBS Bahasa Melayu

Siti Hanizah Tupani cemerlang selaku Konsul Immigresen Malaysia di Melbourne selama 3 tahun. Credit: SBS Bahasa Melayu

"Beliau adalah seorang kawan yang baik dan berintegriti." "Beliau selembut-lembut manusia, sentiasa lembut menerima teguran, menerima pandangan." "Beliau seorang yang ingin belajar, sentiasa mendengar arahan dan faham apa yang perlu dilaksanakan sebagai salah seorang anggota kanan Konsulat Jeneral Malaysia di luar negara."


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu

Demikian pandangan rakan-rakan setugas Siti Hanizah Tupani yang kini pulang ke tanahair setelah lebih tiga tahun selaku Konsul Immigresen Malaysia di Melbourne.

Pujian setinggi sebegini pastinya tidak diberi sewenang-wenangnya.

Bagi Abdul Latif Nordin, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia yang baru di Australia, Cik Hanizah dianggap seorang rakan yang berintegriti.

Menurut Abdul Latif, Hanizah sememangnya tegas melaksanakan tugasan beliau, namun dalam suasana keharmonian di Konsulat, beliau menjadi seorang rakan yang baik.

Beliau (sentiasa) mudah jika kita ingin mendapatkan bantuan. Kalau kita text waktu malam pun untuk memohon maklumat, beliau sentiasa bersedia untuk membantu. Itu yang akan saya rindui.
Abdul Latif Nordin, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Australia

Bagi Norazmi Nordin pula, yang bertugas di Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, Hanizah adalah seorang yang mungkin dianggap keras pada dasarnya melaksanakan tugasan, namun sebenarnya, beliau adalah selembut-lembut manusia.

Tambah Norazmi, Hanizah sentiasa bersedia menerima teguran dan pandangan demi mempertingkatkan prestasi diri.

Dari kita berkenalan sehingga kita berkawan dan dari kita berkawan, kita bersahabat dan kini kita bertaulan. Saya mendoakan agar beliau terus berjaya dan sentiasa sabar mengharungi cabaran dalam kehidupan.
Norazmi Nordin, Setiausaha Konsulat Jeneral Malaysia, Melbourne

Selaku Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud berpendapat Hanizah sangat memahami keperluan bertugas di luar negara.

Menurut Nik Nasyron, Hanizah adalah seorang yang ingin belajar dan sentiasa mendengar arahan serta memahami apa yang perlu dilaksanakan selaku anggota sebuah pejabat konsular di luar negara.

Katanya, yang paling penting bagi beliau ialah memahami bahawa Hanizah datang daripada agensi yang berbeza, di mana komitmen beliau tertumpu kepada urusan immigresen.

Saya mengguna sedikit pengalaman dan ilmu yang saya ada berkaitan isu konsular di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negara (Malaysia) untuk berkongsi bersama Cik Hanizah. Justeru, kita gabungkan pengalaman yang sedia ada untuk memupuk suasana harmoni di pejabat serta meningkatkan semangat untuk memajukan lagi Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, demi memupuk perhubungan yang rapat di kalangan diaspora Malaysia di sini,
Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud, Konsul Jeneral Malaysia, Melbourne

Setelah lebih tiga tahun berada di Melbourne, pastinya Siti Hanizah berasa sedih untuk meninggalkan ibu kota Victoria yang indah ini.

Katanya, beliau bersyukur diberi peluang untuk berkhidmat di Melbourne kerana tugasan luar negara ini bukanlah sesuatu yang dipohon sebelum ini.

Pastinya, memori yang di bawa pulang ialah mengenali ahli komuniti Malaysia di Australia, khususnya di Melbourne, yang beliau sifatkan sebagai "the best".

Cabaran yang dihadapi oleh beliau melaksanakan tugas sebagai Konsul Immigresen di Melbourne sememangnya berbeza dengan apa yang dilakukan di Malaysia.

Tugas saya di Melbourne bukan setakat membantu warga Malaysia sahaja. Saya juga membantu warga asing yang ingin melawat Malaysia demi pelbagai urusan. Juga, di pejabat immigresen di Malaysia, kita berurusan dengan warga tempatan. Namun di Melbourne, saya berdepan dengan warga Malaysia yang merantau dan cabaran serta gara mereka berbeza dengan warga di tanahair.
Siti Hanizah Tupani, bekas Konsul Immigresen Malaysia, Melbourne

Pada persoalan apakah yang bakal dirindui oleh beliau mengenai kehidupan di Melbourne, Hanizah tidak teragak memberi jawapan.

Saya akan rindukan kopi di Australia. Kopinya sedap dan saya sememangnya gemar meminum kopi. Coffee culture di Melbourne sememangnya terbaik (di dunia). Satu lagi, daging steak kerana kualiti daging di Australia tidak boleh dinafikan lebih tinggi dan enak. Sukar untuk mendapati kualiti sebegini di Malaysia.
Siti Hanizah Tupani

Hanizah diganti oleh Mohd Adzharuddien Baharom, yang mengambil alih jawatan Konsul Immigresen Malaysia di Melbourne.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Share

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Watch now