Australia Selangkah Lagi Mengharamkan Ucapan Kebencian

Undang-undang anti-ucapan kebencian bersifat perkauman bakal diperkenalkan di Australia. Credit: Getty Images

Undang-undang anti-ucapan kebencian bersifat perkauman bakal diperkenalkan di Australia. Credit: Getty Images

Anti-ucapan kebencian dan kawalan senjata api kini bakal menjadi undang-undang di Australia setelah ianya diluluskan oleh Dewan Rakyat. Namun, undang-undang ini ditentang oleh beberapa ahli Parlimen daripada Parti Nasional dan LNP Queensland, yang mahu perhatian ditumpukan kepada dakwaan bahawa penyerang bersenjata di Bondi baru-baru ini telah diilhamkan oleh kumpulan extremis, Islamic State.


Profil kumpulan neo-Nazi, Nationalist Socialist Network atau NSN, semakin meningkat sejak ahli kumpulan berkulit putih ini menyerang sebuah kem protes kaum orang asli Australia ketika perhimpunan anti-imigresen di Melbourne pada Ogos, 2025 yang mencetuskan keganasan.

Bagi Amara Ganesh, warga Malaysia yang berhijrah ke Australia lebih 20 tahun lalu, keganasan yang disaksikan itu sememangnya menakutkan.

Menurut Amara, beliau amat kecewa dan menganggap keganasan yang tercetus ekoran protest anti-immigresen itu sebagai suatu peristiwa yang amat menakutkan.
Terutama bagi anak-anak saya. Saya khuatir kerana jika sentimen ini bertambah, ianya akan menjadi lebih teruk untuk semua golongan migran.
Amara Ganesh, warga Malaysia yang berhijrah ke Australia pada tahun 2005
Menurit Amara, suatu ketika dahulu kumpulan anti-immigresen menumpu kebencian mereka terhadap pendatang dari Vietnam, namun kini kebencian mereka berubah kepada golongan pendatang dari India pula.

Apa yang Amara khuatir, semua golongan migran pasti menjadi sasaran, sekiranya sentimen bersifat perkauman pihak ekstremis ini tidak ditangani.
Sasaran mereka dahulu ialah orang Vietnam, lepas itu orang India. Nanti orang Malaysia pula ditarget.
Amara Ganesh, migran dari Malaysia
Sementara itu, ahli Parlimen Parti Buruh, Josh Burns, memberitahu SBS bahawa kerajaan membuat keputusan undang-undang ini setelah meneliti segala aspek, namun menegaskan bahawa ideologi Nazi memberi kesan kepada seluruh masyarakat umum di negara ini.
Saya tahu, sejarah komuniti Yahudi menunjukkan bahawa bukan sahaja orang Yahudi menjadi sasaran ideologi Nazi, tetapi juga komuniti LGBTQ.
Josh Burns, Ahli Parlimen Parti Buruh Australia
Kumpulan neo-Nazi NSN adalah salah satu daripada dua kumpulan ekstremis, bersama organisasi Hizbut al-Tahrir, yang telah dikenalpasti oleh agensi perisikan Australia, ASIO, sebagai kumpulan yang mengancam perpaduan sosial.

Ketua ASIO, Mike Burgess, memberitahu jawatankuasa Senat yang meneliti rang undang-undang ucapan kebencian baru ini bahawa retorik ekstremis telah sekian lama dibiarkan berkembang.

Jelas Burgess, "Kata-kata itu penting, kerana bahasa yang menghasut boleh mencetuskan ketegangan yang akhirnya membawa kepada keganasan."
Kita telah melihat peralihan dan peningkatan toleransi terhadap keganasan bermotifkan politik atau keganasan komunal dalam masyarakat kita dan malangnya, sebagai sebuah negara, kita telah membenarkan tingkah laku sebegini menjadi sesuatu yang dianggap perkara biasa.
Mike Burgess, Ketua ASIO
Undang-undang ini membolehkan kerajaan mengharamkan kumpulan yang terbabit meluahkan ucapan kebencian serta mempertingkatkan lagi hukuman terhadap mereka yang didapati bersalah.

Penganjur, penyokong dan individu yang merekrut ahli bertujuan menyebarkan sentimen kebencian terhadap mana-mana pihak atau komuniti boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, manakala ahli kumpulan pula boleh dipenjara sehingga 7 tahun.

Undang-undang baru ini juga membuat peruntukan hukuman ke atas sesiapa yang mempromosi atau menghasut kebencian bersifat perkauman secara terbuka.

Pemimpin kumpulan neo-Nazi NSN, Thomas Sewell, baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah parti politik.

Namun, ekoran pengumuman undang-undang ketat ini, Sewell mengumumkan pembubaran kumpulan neo Nazi NSN ini kerana takut didakwa.

Bagi warga Malaysia, Amara Ganesh, perkembangan ini suatu langkah yang positif kerana sejak berada di Australia, beliau pernah mengalami sentimen sifat perkauman ini.
Diserang tidak tetapi mungkin (dilempar dengan) kata-kata kesat (ketika) di dalam bas, tram dan keretapi.
Amara Ganesh, menetap di Australia sejak 2005
Dalam pada itu, Peter Wertheim, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Yahudi Australia, menyatakan kebimbangan beliau akan kewujudan kelemahan pada undang-undang baru ini yang membenarkan petikan teks agama digunakan bagi tujuan pengajaran atau perbincangan keagamaan.

Namun, Perdana Menteri, Anthony Albanese, berkata pengecualian tersebut penting bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak disengajakan akibat undang-undang ini.

Bagi golongan pendatang seperti Amara Ganesh, undang-undang membendung kebencian berdasarkan apa-apa sekali pun, termasuk bersifat perkauman, adalah suatu langkah yang perlu disokongi oleh semua.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.

Share
Follow SBS Malay

Download our apps
SBS Audio
SBS On Demand

Listen to our podcasts
Independent news and stories connecting you to life in Australia and Malay-speaking Australians.
Ease into the English language and Australian culture. We make learning English convenient, fun and practical.
Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS
SBS World News

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service