Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Antara salah seorang penumpang penerbangan MH370 ialah Chandrika Sharma.
Sharma dalam perjalanan ke Ulaanbaatar, ibu negara Mongolia, untuk menghadiri persidangan dan perjalanan beliau dari India membabitkan transit melalui Kuala Lumpur dan Beijing.
Penerbangan MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014, menuju ke Beijing.
Seramai 227 penumpang dan 12 anak kapal berada di dalam pesawat Boeing 777 itu, antaranya 153 warganegara China, 50 rakyat Malaysia dan tujuh warganegara Australia.
Turut berada di dalam pesawat ialah warganegara Perancis, Indonesia, India, Amerika Syarikat, Ukraine dan Kanada.
Suami Sharma, K-S Narendran, masih terharu dengan kecelakaan yang menimpa isteri beliau.
Ada perasaan keliru dan kebingungan. Sehingga kini, sukar untuk mempercayai apa yang berlaku apabila mengenangkannya. Jadi, sebagai manusia, adalah lumrah untuk terus memikirkan dan mempersoalkan perkara yang masih belum terjawab. Dan seseorang tidak akan benar-benar tenang selagi tidak memperoleh jawapan yang munasabah dan jelas, kerana peristiwa ini telah mengubah kehidupan kami sepenuhnya.K.S. Narendran, suami Chandrika Sharma, salah seorang penumpang penerbangan MH370
Radar ketenteraan ketika itu menunjukkan pesawat terbabit telah menyimpang daripada laluan penerbangannya dan terbang kembali merentasi ruang udara utara Semenanjung Malaysia, sebelum memasuki kawasan Laut Andaman dan seterusnya membelok ke arah selatan.
Selepas itu, semua hubungan terputus dan sehingga kini pesawat itu belum lagi ditemui, kecuali tiga serpihan sayap yang terdampar di sepanjang pantai Afrika dan di pulau-pulau di Lautan Hindi.
Fuad Sharuji ialah bekas pengarah krisis MH370 di Malaysia Airlines.
Menurut Fuad, hampir 12 tahun lalu, beliau dikejutkan secara tiba-tiba.
Saya menerima panggilan sekitar jam dua pagi pada 8 Mac 2014 daripada pusat kawalan operasi yang memaklumkan bahawa MH370 telah hilang daripada radar kami. Ketika itu saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Saya segera meminta pengurus bertugas untuk mengesan pesawat lain yang berada berhampiran dan cuba menghubungi MH370.Fuad Sharuji, bekas pengarah krisis MH370 di Malaysia Airlines
Fuad berkata terdapat empat penerbangan di ruang udara selatan Lautan Hindi pada ketika itu.
Malangnya, keempat-empat pesawat gagal dan tidak dapat menghubungi Penerbangan MH370. Selepas itu, kami mengisytiharkan keadaan kecemasan.Fuad Sharuji, bekas pengarah krisis MH370 di Malaysia Airlines
Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan bahawa satu pencarian baru meliputi kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi akan dijalankan oleh syarikat robotik marin, Ocean Infinity, berpangkalan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Pencarian itu berdasarkan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’.
Ocean Infinity telah mengesahkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bahawa operasi pencarian dasar laut yang baru ini akan berlangsung selama 55 hari dan dijalankan secara berselang-seli.
Sekiranya bangkai pesawat ditemui, syarikat itu akan menerima bayaran sebanyak USD$70 juta, iaitu AUS$106 juta.
Dalam satu kenyataan, Ocean Infinity memaklumkan bahawa memandangkan sifat pencarian yang sensitif, semua komunikasi rasmi akan disalurkan melalui kerajaan Malaysia.
Pencarian awal sebelum ini membabitkan penyiasat dari Malaysia, China dan Australia yang menyisir kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di lautan Hindi.
Fuad Sharuji berkata teknologi hari ini jauh lebih canggih berbanding pencarian pada tahun 2014 dan 2018.
Kali ini, teknologi telah berkembang dengan ketara sepanjang lebih sedekad. Penggunaan AUV iaitu kenderaan autonomi di dasar laut yang lebih baik, pemetaan dasar laut yang lebih tepat, serta pemodelan yang lebih terperinci berdasarkan data satelit dan pergerakan hanyutan.Fuad Sharuji, bekas pengarah krisis MH370 di Malaysia Airlines
Ocean Infinity terbabit dalam dua pencarian lain awal tahun lalu bagi mencari bahagian utama pesawat yang hilang.
Pencarian terakhir pada Mac hingga April 2025 itu menumpukan kepada empat kawasan panas, kira-kira 1,500 kilometer dari barat daya Perth.
Namun, pencarian itu dihentikan akibat keadaan laut yang bergelora dan cuaca buruk.
Menurut Fuad Sharuji, sebahagian jawapan misteri ini terkandung dalam kotak hitam pesawat, namun beliau bimbang akan keadaan black box pesawat terbabit jika ditemui.
Jika kotak hitam ditemui, ia perlu dihantar untuk dianalisis. Sama ada ia masih boleh dibaca atau tidak adalah satu persoalan lain. Namun, dengan andaian, dan harapan, bahawa data tersebut masih boleh diakses, perakam suara kokpit, CVR, dan perakam data penerbangan digital, DFDR, mungkin dapat memberi gambaran tentang apa yang berlaku pada saat-saat akhir penerbangan.Fuad Sharuji, bekas pengarah krisis MH370 di Malaysia Airlines
SBS News telah menghubungi Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas, namun setakat ini masih belum menerima sebarang respons.
Bagi K.S. Narendran, persoalan yang masih tertanya, bagaimana sebuah pesawat yang sepatutnya selamat boleh hilang begitu sahaja dan kenapa ianya masih belum dijumpai.
Beliau mahu usaha pencarian diteruskan.
Apabila ditanya sama ada beliau menaruh harapan penuh pencarian kali ini akan berjaya, Narendran berkata penemuan pesawat terbabit bukanlah sesuatu yang boleh diraikan.
Harapan ini tidak mempunyai makna kegembiraan. Ia sekurang-kurangnya dapat menenangkan bahagian diri kami yang tidak pernah tenang selama hampir 12 tahun ini. Dan mungkin itu juga sesuatu yang berharga, sesuatu yang boleh diharapkan.K.S Narendran, suami Chandrika Sharma, salah seorang penumpang penerbangan MH370
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.














