Bekas Perdana Menteri, John Howard, berkata usaha semasa untuk mengetatkan undang-undang senjata api Australia tidak sepatutnya dijadikan suatu pengalihan perhatian daripada keperluan mendesak untuk membanteras antisemitisme susulan insiden tembakan beramai-ramai di Bondi.
Howard tidak bersetuju dengan pengiktirafan Australia terhadap kenegaraan Palestin, sambil menuduh Perdana Menteri, Anthony Albanese, gagal mengambil tindakan yang mencukupi untuk menangani antisemitisme.
Tanpa menyentuh tindakan Israel sepanjang perang di Gaza, beliau berkata beliau berasa malu terhadap apa yang disifatkannya sebagai keruntuhan hubungan Australia dengan Israel.
Howard terkenal kerana mengetatkan undang-undang senjata api Australia selepas pembunuhan beramai-ramai di Port Arthur, Tasmania, pada tahun 1996, namun berkata bahawa antisemitisme merupakan isu yang lebih penting pada masa ini.
Tumpuan terhadap pemilikan senjata api sentiasa dialu-alukan dengan syarat ia bertujuan untuk mengetatkan undang-undang sedia ada dan menonjolkan kelompongan. Saya tidak mahu perdebatan ini digunakan sebagai alasan untuk mengelak perbahasan yang lebih luas mengenai penularan kebencian terhadap masyarakat Yahudi dan antisemitisme.John Howard, bekas Perdana Menteri Australia
Kesatuan Penembak Australia, sebuah kumpulan pelobi pro-senjata api, turut menyatakan bahawa semakan undang-undang senjata api hanyalah suatu pengalihan perhatian.
Graham Park daripada Kesatuan Penembak berkata isu ini merupakan isu keganasan, bukannya isu senjata api.
Media dan ahli politik di negara ini sering berkata bahawa kita mempunyai undang-undang senjata api paling ketat di dunia. Kononnya kita hebat. Namun setiap kali berlaku insiden, sama ada di kafe Lindt, insiden ini atau apa-apa sahaja, pastinya timbul isu pengawalan pemilikan senjata api. Hakikatnya, ia tidak berkesan. Ia tidak akan berkesan.Graham Park, Kesatuan Penembak Australia
Tambah Park, undang-undang senjata api yang kukuh sudah pun wujud, merujuk kepada Perintah Larangan Senjata Api di New South Wales, yang membolehkan polis menarik balik senjata api daripada individu yang mempunyai kaitan dengan unsur jenayah, kumpulan berunsur keganasan politik atau pemikiran ekstremis.
Beliau berkata terdapat instrumen perundangan yang hampir sama di hampir setiap negeri.
Sementara itu, Presiden Pengawalan Senjata Api Australia, Tim Quinn, berkata di bawah undang-undang semasa, wujud juga individu yang memiliki sehingga 300 senjata api.
Beliau menyokong pembaharuan sistem pelesenan senjata api supaya bilangan dan kategori senjata yang dimiliki seseorang pemegang lesen dihubungkan secara ketat dengan keperluan yang dapat dibuktikan.
Menurut Quinn, penembak rekreasi tidak sepatutnya dibenarkan memiliki pelbagai senjata api berkuasa tinggi.
Beliau menegaskan bahawa isu ini bukanlah soal memilih antara antisemitisme atau kawalan senjata api.
Beliau berkata antisemitisme merupakan satu masalah di Australia dan menyokong usaha mengetatkan pemeriksaan latar belakang keselamatan.
Kita sememangnya perlu meneliti pemeriksaan latar belakang. Saya maklum bahawa individu-individu ini telah berada dalam radar ASIO dan agensi lain. Saya tahu ia merupakan satu cabaran dari segi sumber untuk memantau mereka secara berterusan. Namun, pendaftaran senjata api mempunyai tanggungjawab kepada orang awam untuk memastikan keselamatan kita.Tim Quinn, Presiden Pengawalan Senjata Api Australia
SBS Bahasa Melayu cuba mendapatkan komen daripada beberapa individu dari komuniti Melayu yang mengguna senjata api sebagai rekreasi.
Sememangnya menjadi pengetahuan umum bahawa wujud segelintir warga Malaysia di negara ini yang gemar memburu.
SBS Bahasa Melayu difahamkan bahawa sebilangan pemegang senjata api ini menggunakan lesen yang diperolehi oleh majikan mereka yang memiliki ladang di mana golongan pemburu ini bekerja.
Namun, beberapa individu yang dihubungi enggan memberi sebarang komen rasmi kerana khuatir akan tindak balas negatif yang mungkin tercetus.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.







