Pemaparan Warga Pertama Australia Oleh Media Massa: Gambaran Negatif Dan Perubahan Yang DiPerlukan

FIRST NATIONS MEDIA REPRESENTATION HEADER ALC.png

Sekian lama, penyertaan kaum orang asli dalam industri media Australia dipenuhi dengan gambaran stereotaip atau mereka telah dikecualikan sesama sekali. Namun, situasi ini kian berubah dengan kewujudan saluran penyiaran orang asli, NITV, serta platform media sosial khusus untuk golongan Warga Pertama Australia. Saluran sebegini memecah tembok pengecualian serta bertindak sebagai pembesar suara kaum orang asli, sekaligus memupuk pemahaman di kalangan masyarakat umum negara ini mengenai perjuangan yang dilalui oleh kaum Aborigine dan Orang Kepulauan Selat Torres.


Tajuk Utama
  • Pihak media sekian lama mengecualikan kaum orang asli serta memaparkan imej stereotaip yang negatif.
  • Media orang asli bertindak sebagai pembesar suara, mengekalkan budaya serta mencabar tanggapan negatif terhadap Warga Pertama Australia.
  • Media sosial termasuk TikTok dan Instagram memaparkan kisah kaum orang asli negara ini.
Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa sekian lama, imej yang dipaparkan oleh media Australia menggambarkan kaum orang asli sebagai masyarakat yang bermasalah.

Setiap laporan akhbar, radio dan televisyen memaparkan gambaran negatif terhadap kaum orang asli negara ini.

Akibatnya, persepsi dan tanggapan masyarakat umum terpengaruh dengan imej negatif ini.

Leanne Djilandi Dolby ialah seorang wanita suku kaum Noongar, Yamatji Naaguja Nunda disebelah ibu beliau dan kaum Yawuru, Gija and Gooniyandi di sebelah bapa.

Menurut Dolby, ketika membesar, beliau tidak lansung melihat kisah komuniti orang asli yang positif di saluran media aliran umum.

Begitu juga dengan Adam Manovic, ahli suku kaum Kabi Kabi dan Gorreng Gorreng, yang juga Pengerusi the First Nations Media Australia, atau FNMA.

Kata beliau, "Tanggapan negatif terhadap kaum orang asli mempunyai kesan berpanjangan."

Tambah Manovic, "Media mempunyai pengaruh kuat terhadap pemikiran dan pandangan masyarakat umum sejak zaman surat khabar dan radio dari awal tahun 1900an. Medium ini membentuk tanggapan masyarakat umum terhadap kaum orang asli. Malangnya, gambaran yang wujud selama ini adalah imej stereotaip yang negatif."

Kajian terkini menunjuk hanya 9% warga asli Australia berpendapat pihak media memaparkan gambaran seimbang terhadap komuniti mereka.
First Nations media rep.png
Kiri: Tanja Hirvonen. Tengah: Adam Manovic. Kanan: Leanne Djilandi Dolby

Apakah Rintangan Sistemik Masih Wujud?

Halangan dan sekatan masih lagi dihadapi oleh pertubuhan media orang asli, termasuk First Nations Media Australia.

Pertubuhan ini menghadapi masalah mempengaruhi media umum akibat kekurangan dana serta infrastruktur yang sudah lapuk.

Manakala bagi pihak media umum pula, walaupun kini mereka mengelak memaparkan imej stereotaip kaum orang asli, namun mereka masih lagi gagal mengutarakan konteks budaya asli yang lebih mendalam serta memberi peluang kepada penyuaraan isu kaum orang asli yang jati dan tulen.

Adam Manovic menekankan kepentingan naratif warga pertama negara ini dikawali kaum orang asli sendiri bagi menangani segala cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Peranan Media Orang Asli

Saluran seperti First Nations Media dan NITV memain peranan penting mengambil balik naratif suku kaum orang asli negara ini supaya kisah dan imej mampu dibentuk oleh masyarakat orang asli itu sendiri dan bukan direka atau diterjemah dari sudut pandangan orang kulit putih.

First Nations Media kini mempunyai lebih 500 pekerja di seluruh Australia serta menyediakan saluran bagi kaum oang asli yang minat menceburi diri dalam bidang penyiaran.

Manakala, NITV pula atau nama penuhnya, National Indigenous Television, telah dilancarkan pada tahun 2007 dan kini menjadi sebahagian stesen ini, SBS Australia.

Matlamat NITV ialah untuk memaparkan segala isu berkaitan kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres.

Adam Manovic mahu sokongan lebih bermakna melalui peruntukan di bawah Akta Penyiaran Warga Pertama Australia yang boleh memastikan saluran dana berterusan.
NITV Muy Ngulayg
Sudut pandangan mendalam terhadap ilmu, budaya dan cerita turun-temurun kaum orang asli yang dipaparkan oleh First Nations Media.

Bagaimana Pemaparan Media Mempengaruhi Tanggapan Umum Terhadap Kaum Orang Asli?

Media orang asli membuka peluang kepada masyarakat ini menceritakan kisah mereka sendiri tanpa dicampur aduk atau dikaburkan oleh pihak asing yang tidak lansung memahami budaya mereka.

Sebelum ini, imej negatif yang seringkali dipaparkan oleh media utama terus memburukkan stereotaip negatif kaum orang asli.

Akibatnya ialah peningkatan sifat perkauman dan layanan buruk terhadap Warga Pertama negara ini.

Tanja Hirvonen ialah seorang ahli Persatuan Pakar Psikologi Kaum Orang Asli Australia dari suku kaum Jaru dan Bunuba.

Hirvonen menerangkan naratif negatif ini menyukarkan lagi kehidupan kaum orang asli setelah sekian lama musnah dan merana akibat polisi pentadbir orang kulit putih yang kejam dan bersifat perkauman.

Namun, kata beliau, "Gambaran positif membuka jalan kepada transformasi yang bermanfaat, memupuk kebanggaan budaya, mengukuh perhubungan antara komuniti serta menyumbang terhadap kehidupan yang lebih baik."

Kajian juga mendapati apabila pihak media utama memaparkan gambaran tepat yang menghormati dan menyokong kaum orang asli, ianya mampu mengurangkan prejudis dan diskriminasi, sebaliknya memupuk sokongan, perdamaian dan pemahaman di kalangan masyarakat umum.
Golongan muda mengikuti perkembangan hal-ehwal semasa melalui media sosial.
Media sosial mempunyai kuasa menangani tanggapan negatif terhadap Warga Pertama Australia. Credit: davidf/Getty Images

Media Sosial Sebagai Kaedah Perubahan

Kini, media sosial menjadi kaedah utama bagi Warga Pertama Australia berkongsi secara lansung kisah turun temurun bangsa mereka sendiri kepada masyarakat dunia.

Dengan cara ini, orang tengah yang lazimnya terdiri daripada golongan orang bukan asli, seringkali orang kulit putih, boleh diketepikan.

Platform seperti Tik Tok, Instagram dan Facebook membuka jalan kepada kaum orang asli memperbetulkan tanggapan negative yang sekian lama diutarakan oleh orang kulit putih di negara ini.

Menurut Adam Manovic, "Hashtag termasuk #IndigenousX kini menjadi tumpuan kaum orang asli menyuarakan kisah sebenar bangsa mereka."

Memandang Ke Masa Depan

Mengubah tanggapan dan persepsi negatif memerlukan usaha padu saluran media aliran umum dan media komuniti.

Ianya bukan setakat menyediakan ruang untuk kaum orang asli menyuarakan pandangan mereka.

Ia juga harus menyokong perubahan jangka masa panjang terhadap cara, gaya-bentuk serta bagaiman cerita-ceriata ini dikongsi.

Adam Manovic menggesa peruntukan perundangan baru seperti Akta Penyiaran Kaum Orang Asli bagi memastikan peruntukan kewangan disalur kepada platform media asli termasuk First Nation Media Australia dan NITV.

Tanja Hirvonen pula menggesa saluran media memastikan paparan imej orang asli yang tepat dan betul di setiap peringkat.

Manakala Leanne Dolby mahu melihat lebih banyak sambutan kejayaan kaum orang asli dipaparkan oleh semua saluran media.

Jelas Adam Manovic, "Mengukuhkan suara warga pertama Australia akan mempertingkat dan mengeratkan lagi tali persahabatan di antara masyarakat umum dengan kaum orang asli negara ini."

Sememangnya proses menangani tanggapan negatif terhadap kaum orang asli masih berterusan dan tidak akan berubah dengan sekelip mata.

Apa yang penting, kisah turun temurun kaum orang asli perlu disampaikan oleh mereka yang telah melalui riwayat tersebut.
Subscribe to or follow the Australia Explained podcast for more valuable information and tips about settling into your new life in Australia.   

Do you have any questions or topic ideas? Send us an email to australiaexplained@sbs.com.au.

Share
Follow SBS Malay

Download our apps
SBS Audio
SBS On Demand

Listen to our podcasts
Independent news and stories connecting you to life in Australia and Malay-speaking Australians.
Ease into the English language and Australian culture. We make learning English convenient, fun and practical.
Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS
SBS World News

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service