Watch FIFA World Cup 2026™ LIVE, FREE and EXCLUSIVE

KD Lekir Kebanggaan TLDM Capai Misi Bersejarah Mengelilingi Australia

Kapal Diraja Lekir berlabuh di Port Melbourne dalam pelayarannya mengelilingi benua Australia. Credit: SBS Bahasa Melayu

Kapal Diraja Lekir berlabuh di Port Melbourne dalam pelayarannya mengelilingi benua Australia. Credit: SBS Bahasa Melayu

KD Lekir, kapal kombatan TLDM baru-baru ini menyertai latihan bersama tentera laut Malaysia-Australia yang turut membabitkan misi bersejarah pelayaran mengelilingi benua Australia. SBS Bahasa Melayu berpeluang melawat kapal perang diraja ini ketika ianya berlabuh di Pelabuhan Melbourne.


Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu

Bagi Komander Megat Sofwan Firdaus TLDM, misi pertama beliau sebagai Pegawai Memerintah kapal perang KD Lekir ialah mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia mengambil bahagian dalam Perbarisan Armada Antarabangsa atau International Fleet Review sempena ulangtahun ke-125 Tentera Laut Diraja Australia yang berlansung di Pelabuhan Sydney pada 21 Mac, 2026.

Sambutan ulangtahun ini serentak dengan latihan tentera laut Kakadu Exercise 2026 yang berlansung dua tahun sekali.

Latihan kali ini membabitkan 24 buah kapal perang dari 19 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan beberapa negara Asia Tenggara.

Misi pertama Kdr Megat Sofwan turut membabitkan pelayaran bersejarah KD Lekir mengelilingi benua Australia, bermula dari Darwin ke Sydney, dengan persinggahan di Melbourne sebelum menuju ke Perth untuk mengambil bahagian dalam satu lagi latihan tentera laut antara Malaysia dan Australia, dikenali sebagai MASTEK 2026.

Menurut beliau, latihan maritim sebegini penting untuk TLDM memahami operasi kapal perang negara lain yang mempunyai prosedur operasi berbeza.

Latihan maritim dengan negara asing bertujuan mendapat kesefahaman sewaktu berada di laut dari segi keupayaan saling pengendalian atau interoperability di antara kapal-kapal perang negara asing sekiranya berlaku krisis pada masa yang akan datang.
Pegawai Memerintah Kdr Megat Sofwan Firdaus TLDM / KD Lekir

Kdr Megat Sofwan menerangkan bahawa KD Lekir ialah sebuah kapal kombatan corvette sepanjang 97 meter dengan kelebaran 11 meter, membawa seramai 150 anggota krew dalam misi pelayaran 67 hari kali ini.

KD Lekir dilengkapi dengan meriam Bofors 57mm di bahagian hadapan, meriam 30mm di sebelah kiri dan kanan, juga peluru berpandu 40mm serta torpedo untuk peperangan bawah permukaan.

Kelajuan kapal kombatan ini mampu mencapai 22 knot, namun kelajuan ekonomi atau cruising speed ditetapkan sekitar 18 knot, persamaan dengan 40 km sejam.

Pelayaran KD Lekir dari Sydney ke Melbourne mengambil masa tiga hari.

Kapal buatan Jerman ini dibina pada tahun 1984 dan telah dipertingkatkan keupayaannya pada 2014 ekoran program pemanjangan usia perkhidmatan kapal.

Kdr Megat Sofwan amat berbangga dengan tanggungjawab yang diberi kepada beliau sebagai Pegawai Memerintah KD Lekir.

Saya bangga dengan semua anggota krew yang terlatih mengendali kapal jenis kombatan dilengkapi dengan sistem peperangan empat dimensi, iaitu udara, atas permukaan, bawah permukaan dan peperangan elektronik. Justeru, hanya orang-orang terpilih sahaja yang berpeluang berkhidmat atas kapal kombatan seperti KD Lekir ini.
Pegawai Memerintah Kdr Megat Sofwan Firdaus TLDM / KD Lekir

Selaku Pegawai Eksekutif atau XO, iaitu pegawai kedua tertinggi dalam perintah, Pegawai Laksana Lt Kdr Muhd Thohir Ahmad Apandi TLDM melaksanakan segala arahan, termasuk rutin harian di atas kapal.

Beliau memastikan pengurusan terbaik ke atas kesemua 150 anggota krew termasuk pengurusan dan perancangan masa serta memastikan kecekapan dan kemampuan mereka sentiasa mencapai piawaian.

Latihan bersama ini mencabar kerana kita berada jauh dari pangkalan atau homeground. Cuacanya berbeza, environment atau alam sekitar juga berbeza. Dan kita berurusan dengan anggota tentera laut dari pelbagai negara asing yang mengemukakan cabaran tersendiri, termasuk dari segi komunikasi.
Pegawai Laksana Lt Kdr Muhd Thohir Ahmad Apandi TLDM

Antara cabaran pelayaran KD Lekir dari Melbourne ke Perth ialah merentasi lautan bergelora yang di kenali sebagai The Great Australian Bight sepanjang 1,160km di antara Cape Carnot, South Australia, dan Cape Pasley di Western Australia.

Dari Perth, KD Lekir akan belayar pulang ke pangkalannya di Lumut, Malaysia, dengan persinggahan di Jakarta, Indonesia.

Semoga Kapal Diraja Lekir cemerlang dalam pelaksanaan misinya di Australia dan selamat belayar pulang ke tanahair.

Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.


Share

Follow SBS Malay

Download our apps

Listen to our podcasts

Get the latest with our exclusive in-language podcasts on your favourite podcast apps.

Watch on SBS

SBS World News

Take a global view with Australia's most comprehensive world news service

Watch now