Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Walaupun tahun ini Mohd Kamal Ismail dan Solsila Abu Samah tidak menganjurkan sambutan rumah terbuka Eidul Fitri secara rasmi di restoran mereka seperti tahun lalu, warga Melayu di sekitar Melbourne tetap ingin mengunjungi pasangan suami isteri ini.
Lebih mesra dikenali sebagai Pak Teh dan Sheila, tahun ini mereka terima panggilan telefon dari ramai kenalan warga Melayu yang ingin datang berhari raya di rumah mereka di subbandar Keysborough, Victoria.
Seorang demi seorang menelefon saya beritahu nak datang ke rumah. Mungkin sebab saya dan Pak Teh lebih berusia daripada mereka yang jauh dari kaum keluarga masing-masing di tanahair. Saya berbesar hati menjemput mereka datang ke rumah.Solsila Abu Samah, Melaka / co-host rumah terbuka
Bagi Pak Teh pula, kunjungan kekawan dari sekitar Melbourne ke rumah beliau untuk menyambut Eidul Fitri mengukuhkan ukhuwah di kalangan komuniti Melayu demi mengeratkan lagi silatulrahim.
Itulah hakikat ukhuwah yang telah dibina selama ini sesama insan di perantauan. Kita di sini tak ada adik beradik, jadi adik beradik kita ialah sahabat-sahabat yang hadir pada hari ini.Mohd Kamal Ismail, Sungai Petani / co-host rumah terbuka
Antara pengunjung hari itu, Elisa Azman, yang mengunjungi dari Malaysia untuk menyambut Eidul Fitri bersama suami beliau, Mohd Anuar, yang berada di Australia.
Walaupun sudah berumah tangga, Anuar dari Sungai Petani kini bersendirian di Australia selama lapan tahun, manakala Elisa bekerja di Malaysia.
Menurut Elisa, ini ialah kali pertama beliau menyambut Eidul Fitri di Australia dan apa yang dialami sememangnya tidak terduga.
Ini kali pertama berhari raya di Mebourne. Saya tak sangka suasana sangat meriah dan rupanya ramai warga Melayu di sini. Perhubungan lebih erat walaupun tak kenal tapi bila jumpa macam dah adik beradik. Di Malaysia, berhari raya hanya dengan adik beradik dan saudara mara sahaja. Di sini, networkingnya lebih meluas.Dr Elisa Azman / Pulau Pinang
Seorang lagi pengunjung ialah Faiz, berasal dari Banting, Selangor, yang datang ke Australia pada tahun 2016.
Faiz, atau nama samarannya, Black, mempunyai perniagaan sampingan menjual roti John di bazaar Ramadan dan pasar malam yang sering dianjurkan oleh komuniti Melayu Victoria di sekitar Melbourne.
Beliau tidak sangka berpeluang menjual sajian popular ini yang begitu laris di kalangan pengunjung pasar malam dan bazaar menggunakan pengalaman yang diraih di tanahair membantu rakan menjual roti John di pasar malam Dengkil.
Jadi, apakah saranan Faiz kepada warga Melayu di tanahair yang teringin datang ke negara ini untuk cuba mengubah nasib?
Kalau nak datang kerja di negara ini, pastikan keadaan mental keras, jangan biarkan mental terkoyak kerana pelbagai dugaan akan dihadapi. Orang di tanahair mungkin tengok kami di sini cari duit senang, tetapi hakikatnya, ALLAH SWT sahaja yang tahu.Faiz Black, Banting, Selangor / 10 tahun merantau
Berdasarkan bilangan pengunjung yang tidak putus datang berhari raya sepanjang hari bahawa pasangan suami isteri, Pak Teh dan Sheila, sememangnya popular di kalangan warga Melayu di sekitar Melbourne.
Antara sajian yang dinikmati tetamu pada hari itu, rendang daging, dalca, ayam masak merah, nasi briyani, laksa, waffle dan kaya balls serta pelbagai jenis biskut raya.
Jelas sekali, warga Melayu di Melbourne menyambut Eidul Fitri penuh keukhuwahan dan kemeriangan walaupun jauh di perantauan.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.











