Komuniti Pasifika tempatan di utara Queensland sekali lagi berganding bahu menjayakan sambutan tahunan yang kini dikenali sebagai Pasifika Celebration. Pesta di Innisfail yang meraikan budaya kepulauan Pasifik memberi peluang kepada warga kepulauan yang baru tiba di bawah Skim Mobiliti Buruh Australia-Pasifik atau PALM bertemu dan mengenali komuniti mereka yang sekian lama telah menetap di negara ini.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Pesta Pasifika Celebration yang berlansung di Innisfail, kira-kira sejam perjalanan dari Cairns, kini menjadi acara tahunan yang menampilkan muzik, tarian dan budaya dari seluruh kepulauan Pasifik.
Pesta ini melihat perhimpunan masyarakat Pasifik dari komuniti Kepulauan Lautan Selatan atau South Sea Islander serta pekerja pendatang baru di bawah skim Pacific Australia Labour Mobility, atau PALM, yang sedang membina kehidupan baru di Australia.
Winan Vaele dilahirkan di Cairns, berketurunan Samoa, membesar di Australia, namun tidak lansung terasa diri beliau terpisah daripada budaya sendiri.
Saya rasa komuniti yang rapat macam di sini sebenarnya lebih baik. Kalau di Brisbane atau Sydney, bilangan warga Pasifik terlalu ramai. Di sini lebih mudah untuk kami mengenali serta berhubung sesama sendiri. Dan suasananya lebih santai.Winan Vaele / keturunan Samoa
Menurut Senator Queensland, Nita Green, acara tahunan ini membantu mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Ini antara acara yang kami adakan setiap tahun untuk menghimpunkan seluruh komuniti. Ia juga meraikan sumbangan besar pekerja PALM terhadap ekonomi tempatan, selain mengingatkan kita tentang hubungan yang sangat erat antara utara Queensland dengan rantau Pasifik. Kawasan ini sememangnya pintu masuk Australia ke Pasifik.Nita Green / Senator Queensland
Bagi kebanyakan masyarakat Pasifika, identiti mereka amat berkait rapat dengan gereja.
Namun, menurut Pastor Eterei Vaele, yang berketurunan Samoa dan Niue, bilangan penganut agama Kristian yang mengunjungi gereja kini tidaklah seramai seperti dahulu.
Apa yang boleh dilakukan ialah mendekatkan diri dengan Tuhan mengikut cara tersendiri sambil menghargai kepelbagaian budaya di negara ini, serta pandangan setiap komuniti tentang bagaimana agama masing-masing perlu diamalkan.Pastor Eterei Vaele
Apa yang pasti, kepercayaan, warisan dan budaya terus menjadi tonggak penting yang membentuk identiti komuniti Pasifika yang semakin berkembang di utara Queensland.
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






