1. Colours of Light Winter Night Market
- Setiap Sabtu dan Ahad
- 4.00 petang hingga 10 malam
- Penutup: 27 Julai, 2025
- Venue: 2A Frank Street, Noble Park, 3174
Tiga warga Melayu bersemangat keusahawanan, pasangan suami isteri, Md Kamal Ismail dan Solsila Abu Samah, lebih dikenali sebagai Pak Teh dan Sheila, bersama rakan karib mereka, Zahari Afendi, menyahut permintaan komuniti warga Malaysia di Melbourne yang merindui dan teringin mempunyai pasar malam di ibu kota negeri Victoria ini.
Dengan semangat berkoba ekoran kejayaan Bazaar Ramadan anjuran mereka bulan Ramadan lalu, Fendi, Pak Teh dan Sheila ambil keputusan menganjurkan pasar malam The Colours of Light Winter Night Market di Noble Park.
Ini adalah ulung kalinya sebuah pasar malam ala Malaysia dianjurkan oleh warga Melayu di Melbourne, selain bulan Ramadan dan perayaan termasuk Hari Kemerdekaan.
Menurut Fendi, "Perasaan takut dan risau itu memang ada sebab pasar malam sebegini belum pernah dianjurkan."
"Kami tak tahu sama ada orang akan datang atau tidak ke pasar malam ini", tambah beliau.
Tapi berdasarkan sambutan setakat ini, jelas sekali pasar malam pertama ini berjaya menarik minat warga Malaysia di Melbourne.
Pengunjung juga menyatakan keseronokan mereka mengunjung pasar malam pada musim sejuk kerana ianya lebih selesa.
Salah seorang pengunjung, Amirul, sanggup menuju ke pasar malam di Noble Park ini, walaupun beliau tinggal di bahagian utara Melbourne.
Katanya, "Seronok macam pergi ke pasar malam di Cameron Highlands pula."
Tambah beliau, tujuan mengunjung pasar malam di Noble Park ini juga demi memberi sokongan terhadap usaha rakan se-negara.
Rata-rata, The Colours of Light Winter Night Market berjaya membawa suasana pasar malam di Malaysia ke Melbourne di tengah-tengah musim sejuk.
Syabas kepada semua yang menjayakan pasar malam ala Malaysia ini.