Beliau merendah diri dan berbudi bahasa. Beliau juga tidak teragak memberi sokongan kepada rakan setugas. Beliau bertanggungjawab dan sentiasa memberikan yang terbaik. Inilah antara pujian ke atas Norazmi Nordin yang kini tamat perkhidmatan beliau selaku setiausaha pejabat di Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne. Zaini Ahmad berpeluang menemubual Azmi untuk meninjau apakah antara nilai dan sifat penting untuk berjaya dalam dunia diplomasi.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu
Setelah lebih tiga tahun berkhidmat di Melbourne, Norazmi Nordin, lebih dikenali sebagai Azmi, sememangnya rasa terharu untuk meninggalkan bandar indah ini.
Beliau menyifatkan perasaannya sebagai bittersweet, gembira dan pada masa yang sama agak sedih meninggalkan rakan sekerja beliau untuk memulakan perkhidmatan barunya di Kedutaan Malaysia di Bangkok.
Selaku setiausaha pejabat, Azmi bertanggungjawab memastikan pelaksanaan program Konsulat berlansung sebaik mungkin.
Selalunya saya di belakang tabir tetapi, Alhamdulillah, setiap orang yang saya jumpa telah memberikan komunikasi yang baik, telah memberikan perhubungan kerja yang baik dan pada masa yang sama, mereka menerima saya dengan baik. Itulah yang membuatkan saya rasa sedikit terharu dan agak sedih untuk meninggalkan Melbourne.Norazmi Nordin / Setiausaha Pejabat, Konsulat Jeneral Malaysia, Melbourne
Kejayaan Azmi melaksanakan segala tanggungjawab diakui oleh bos beliau sendiri.
Selaku Konsul Jeneral, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud, menganggap Azmi sebagai rakan sekerja yang baik dan bertanggungjawab.
Menurut Nik Nasyron, Azmi sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa jua keadaan.
Saya bersyukur kerana beliau turut menyumbang ke arah perpaduan di kalangan rakan sekerja yang lain. Dan saya ucapkan beliau selamat maju jaya di tempat baru.Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud / Konsul Jeneral Malaysia, Melbourne
jadi apakah antara nilai dan sifat unik yang diutarakan oleh Azmi sepanjang tiga tahun ini?
Bagi Konsul Muda, Mohd Adham Yahaya, keistimewaan Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne ialah suasana kerja yang saksama, tak kira pangkat, yang memupuk suasana harmoni.
Untuk Azmi, dia digelar sebagai pak pujangga dengan kata-kata kiasan beliau, susunan dan pertuturan beliau yang 'super-super' hebatnya. Itu secara baiknya dan secara nakalnya, 'all the best to find better colleagues than us'.Mohd Adham Yahaya / Konsul Muda
Kesopanan pertuturan dan budi bahasa ini juga dianggap nilai terbaik Azmi oleh seorang lagi perwakilan Malaysia di Australia.
Selaku Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Australia, Abdul Latif Nordin, menganggap Azmi sebagai seorang yang sentiasa merendah diri dan tidak teragak memberi bantuan dan sokongan kepada rakan setugas.
Tambah Latif, "Sebenarnya, Azmi ini saya anggap sebagai titik rujukan protokol saya."
Saya suka tengok gaya dia berinteraksi dengan orang, cara dia bercakap begitu sopan-santun sekali, cara dia makan. Kalau saya menghadiri majlis besar-besaran, kadang-kadang dia duduk sebelah saya, saya suka perhatikan dia.Abdul Latif Nordin / Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Australia
Bagi Norazmi Nordin, segala pengalaman pahit-manis sepanjang tiga tahun di Melbourne dianggap sebagai asam-garam yang membuat beliau lebih menyayangi ibu kota Victoria ini.
Saya akan merindui kepelbagaian Melbourne yang menerima kita yang bukan berkulit putih, menerima semua warna, semua bangsa dan semua jenis percakapan. Setakat ini, semua yang saya kenal adalah yang baik-baik sahaja dan saya harap Melbourne akan terus berkembang.Norazmi Nordin
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






