Setiap tahun, ribuan orang berkunjung ke sebuah komuniti terpencil di timur laut Arnhem Land, di Northern Territory untuk menyertai Pesta Garma anjuran Yayasan Yothu Yindi. Siapa yang layak menyertai dan apakah yang menarik pengunjung ke pesta ini? SBS Bahasa Melayu mendalami pesta Garma dalam episod Australia Explained kali ini.
Tajuk Utama
- Garma ialah perhimpunan budaya kaum orang asli terbesar di Australia.
- Pesta ini berlansung setiap Ogos dan dianjurkan oleh Yayasan Yothu Yindi.
- Pesta ini dihadiri pemimpin politik, para penyelidik, pendidik, aktivis, seniman dan pertubuhan masyarakat.
Ikuti episod podcast menarik yang lain melalui SBS Bahasa Melayu.
Istilah dan makna Bahasa Orang Asli yang digunakan dalam podcast:
- Yolŋu: bererti ‘warga' dalam Bahasa Yolŋu Matha, merujuk kepada suku kaum yang tinggal di kawasan bandar serta pendalaman kawasan timur laut Arnhem Land.
- Yolŋu Matha: Merujuk kepada bahasa pertuturan suku kaum Yolŋu.
- Garma: Proses pembelajaran dua-hala dalam Bahasa Yolŋu Matha.
- Arnhem Land: Terletak di bahagian utara Northern Territory lebih kurang 500 kilometres ke timur laut Darwin.
- Nhulunbuy: Pekan terbesar di East Arnhem Land, Northern Territory, lebih kurang 1,000km dari Darwin.
- Gulkula: Tempat pertemuan tradisional.
- Ganbulapula: Nenek moyang dipercayai oleh suku kaum orang asli sebagai pembawa alat Yidaki kepada suku kaum Yolŋu.
- Yidaki: Turut dikenali sebagai didgeridoo, sebuah alat musik tradisional kaum orang asli.
- Miny’tji: Lukisan warisan tradisional.
- Manikay: Lagu-lagu warisan tradisional.
- Bunggul: Tarian keramaian tradisional.
- Bilma: Kayu gendang.
Amaran: Kaum Orang Asli dan Orang Kepulauan Selat Torres dinasihatkan bahawa podcast ini mengandungi beberapa nama individu kaum orang asli yang telah meninggal dunia.
Apakah Pesta Garma?
Pesta Garma dianjurkan oleh Yayasan Yothu Yindi.
Setiap tahun, pemimpin politik utama Australia, termasuk Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang menyertai pesta ini untuk mendengar serta mengambil bahagian dalam perbincangan yang dipimpin oleh komuniti warga pertama negara ini.
Turut hadir ialah para penyelidik, pendidik, aktivis, seniman dan pertubuhan masyarakat.
Namun, mereka bukan setakat menghadiri sebuah persidangan atau pesta muzik.
Mereka hadir ke Garma, satu perhimpunan kebudayaan kaum orang asli terbesar di Australia.
Dalam Bahasa Yolŋu Matha, Garma bermaksud 'proses pembelajaran dua-hala'.
Asal-Usul Pesta Garma?
Pesta ini bermula pada tahun 1999 hasil anjuran adik-beradik Yunupingu dan vokalis utama kumpulan Yothu Yindi, Dr M Yunupingu.
Matlamatnya ialah untuk merapatkan jurang budaya serta memperkasakan komuniti orang asli menerusi dialog dan sambutan budaya Yolŋu, termasuk mempersembahkan seni tradisional, lagu, tarian dan bunggul yang terkenal.
Di Manakah Pesta Garma Berlansung?
Pesta ini berlansung setiap tahun pada bulan Ogos selama empat hari … meraikan sebagai budaya Yolŋu.
Pesta ini berlangsung di Gulkula, sebuah tempat pertemuan tradisional bagi lima suku kaum serantau di timur laut Arnhem Land.
Daerah ini juga merupakan lokasi yang mempunyai kepentingan upacara bagi suku kaum Gumatj.
Menurut kepercayaan nenek moyang Yolŋu, di sinilah Ganbulapula, membawa Yidaki, iaitu alat muzik tiupan tradisional Orang Asli Australia, kepada masyarakat Yolŋu.
Sehingga hari ini, lokasi tersebut kekal menjadi tempat perhimpunan tahunan Pesta Garma.
Kepentingan Pesta Garma Di Australia.
Menurut Pengarah warga Pertama First Nations di SBS, Tanya Denning-Orman, Garma ialah tempat budaya dan upacara tradisi bertemu.
Katanya, Garma berada pada kedudukan yang sangat unik, bukan sahaja dari segi geografi, tetapi juga dari segi siapa yang berkumpul di tempat ini.
Selama ratusan tahun, tempat perhimpunan ini telah menjadi ruang yang menggalakkan kerjasama, perbincangan politik dan wacana.
Dalam konteks ini, Garma tidak seperti mana-mana acara lain di dunia.
Ia menghimpunkan sektor korporat, pemimpin politik dan kepimpinan warga pertama Australia, kesemuanya berkumpul di tapak ini untuk mengadakan perbincangan demi kebaikan bukan sahaja untuk masyarakat kaum orang asli, malahan untuk seluruh rakyat Australia.
Siapa Yang Boleh Menyertai Pesta Garma?
Walaupun sering dihadiri tetamu kenamaan, ramai yang tersalah anggap bahawa Pesta Garma hanya terbuka kepada mereka yang menerima jemputan sahaja.
Sebaliknya, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Yothu Yindi, Denise Bowden, Garma terbuka kepada semua.
Yayasan Yothu Yindi menganjurkan acara ini bukan sahaja melalui tajaan, malahan sebahagian besar hasil jualan tiket disalurkan kembali kepada komuniti di rantau ini.
Melaluinya, para seniman yang mengambil bahagian mampu dibayar demi usaha mereka menjayakan pesta ini.
Maklumat mengenai cara menghadiri Garma dipaparkan di laman web sekitar bulan Februari setiap tahun.
Anda hanya perlu melayari laman web dan membeli tiket.
Semudah itu.
Apakah Yang Berlansung Sepanjang Pesta Garma?
Ahli politik, pemimpin perniagaan, penyelidik, pendidik dan pertubuhan masyarakat yang menghadiri Pesta Garma menjadikannya tempat untuk membincangkan idea, membina kerjasama dan merangka dasar.
Di sinilah konsep "pembelajaran dua hala" yang menjadi asas Garma dilaksanakan, satu konsep Yolŋu yang mengiktiraf bahawa setiap warga mempunyai ilmu pengetahuan untuk dikongsi.
Inilah antara factor utama yang membolehkan Pesta Garma menarik kehadiran peserta dari seluruh Australia dan juga serata dunia.
Penganjuran Garma di bumi masyarakat Yolŋu juga amat penting kerana ia memberi peluang kepada para pengunjung mempelajari budaya Yolŋu di tempat asal ilmu terbabit diwarisi turun-temurun sejak ribuan tahun lalu.
Garma turut membuka ruang untuk masyarakat memahami dengan lebih mendalam salah satu budaya tertua di dunia yang masih terus hidup dan berfungsi sehingga kini.
Langgani atau ikuti podcast Australia Explained untuk mendapatkan maklumat serta petua membantu anda memulakan hidup baru di Australia.
Apakah anda mempunyai pertanyaan atau ingin mengutarakan topik menarik? Email australiaexplained@sbs.com.au
Anda boleh ikuti semua episod menarik paparan SBS Bahasa Melayu melalui podcast dan Facebook. Juga muat turun secara percuma SBS Audio App.






